PROLOG

1.6K 90 10
                                        

Hembusan bayu laut terasa hangat, sehangat tubuhnya dalam menanti detik untuk masuk ke dalam bangunan usang di pesisiran laut itu. Jantungnya berdetak hebat, selari dengan otaknya yang sedari tadi tidak boleh berhenti berfikir dek hatinya terdetik sesuatu yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Dari jarak 10 meter, matanya menangkap figura target yang mesti diselamatkan pada malam itu. Seorang remaja berusia dalam lingkungan 17 tahun, tubuhnya diikat kemas di kerusi dengan kepalanya diserkup dengan kain hitam. Remaja itu adalah anak Menteri Pertahanan yang diculik sejak dua hari lepas. Insiden penculikan yang tidak diwarwarkan kepada umum demi menjaga kesejahteraan mental umat sejagat.

Takkan anak Menteri Pertahanan pun boleh kena culik? Lemah! Kalaulah sistem pertahanan negara kita lemah begini, macam mana kita nak lawan anasir luar?

Itulah yang Dato' Sri Mutakhir jelaskan kepada pihak atasan, yang membuatkan mereka inilah si jargon daripada empat beradik pihak keselamatan negara akhirnya ditugaskan untuk misi berprofil tinggi. Misi yang membuatkan Team Shadow daripada 404 Special Force yang keanggotaannya terdiri daripada gabungan tentera darat, udara, dan laut serta pihak polis akhirnya beroperasi semula setelah tiga bulan "berehat" daripada menjalankan misi penuh ekstrem.

"Alpha, clear!" Suara Aries kedengaran dalam earpiece, menunjukkan kawasan dalaman bangunan selamat.

Leo menaikkan siaga. Perasaannya semakin berasa tidak enak kerana sedari tadi nalurinya berbisik bahawa semua ini perangkap. Masakan tiada seorang pun pengganas yang berkawal di bangunan ini? Namun, perasaannya dibenam rapat ke kerak bumi dek Scorpio yang bertindak sebagai sniper yang berada di bangunan sebelah memberi isyarat supaya masuk ke dalam.

"All clear." Itulah yang dikata oleh Scorpio dan dia tiada alasan untuk membantah. Tidak ada bukti yang membenarkan telahannya.

"Roger, pasukan masuk." Leo menyahut dengan menekan helm taktikalnya.

Pantas lima batang tubuh lengkap berpakaian taktikal hitam lengkap bersenjata menyusup masuk ke dalam bangunan. Pergerakan mereka tangkas dan senyap. Langsung tiada bunyi. Yang ada cuma bayang-bayang hitam bergerak pantas menuju ke arah target.

Dalam satu barisan tersusun, Leo berada dalam posisi paling belakang. Senjatanya diangkat penuh waspada, sinar matanya tajam meneliti dalam gelap. Cahaya rembulan yang samar-samar menerobos masuk ke dalam bangunan sedikit sebanyak membantu, walau hakikatnya hanya sepuluh peratus sahaja untuk mengesan sebarang objek atau serbuan tidak diingini.

Saat ini, perasaan tidak enak kembali menggeruh dalam diri. Keadaan terlalu senyap dan ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Pantas dia cuba bersuara, ingin menzahirkan rasanya kepada Scorpio yang turut sama bertindak sebagai ketuanya dalam operasi pada malam itu. Namun, hasratnya terbantut lagi apabila tiba-tiba Libra yang berada di posisi paling hadapan mengangkat tangan.

Leo memicingkan mata, melihat ke arah yang dimaksudkan. Nampaknya, Libra juga mungkin berasa sepertinya apabila melihat figura remaja itu tidak bergerak. Remaja yang berikat kaki dan tangan, bajunya koyak rabak dan penuh dengan kesan lebam, luka dan darah kering kelihatan terkulai layu di kerusi.

"Target di lokasi," kata Libra.

"Confirm target?" balas Leo.

"Negatif, tunggu pengesahan," jawab Cancer.

Identiti remaja itu perlu dikenal pasti sebelum mereka meneruskan operasi menyelamat. Sama seperti Libra yang syak bahawa semua ini mungkin perangkap, Cancer turut memilih untuk mengesahkan terlebih dahulu identiti remaja itu. Mereka semua tahu bahawa operasi ini bukanlah mudah, jadi semua ini perlu menjadi indikator agar tiada satu pun nyawa bakal melayang.

BULLETPROOF CODEWhere stories live. Discover now