Bab 44

38 3 0
                                    

INDAH gigit bibir bawah, menahan debar yang kian menggasak dada. Belakang tubuhnya disandar pada pintu peti ais sambil tangamnya naik melurut dada, gementar. Suara riuh di ruang tamu semakin menggemuruhkan jiwanya; suara keluarga Jay yang sudah bertapa di rumahnya hampir lima minit tadi.

Puas berperang dengan diri sendiri, akhirnya dulang cawan dan jag ditatang penuh berhati-hati ke ruang tamu. Ruang tamu rumahnya bukan ada penyaman udara pun, tetapi kenapa kulit dia rasa sejuk lain macam ya?

Saat mata menyapa 'tetamu' yang hadir, Indah menelan liur kesat saat riuh tadi tiba-tiba bertukar sepi. Semua mata memandangnya tidak lepas, kecuali Jay. Lelaki itu hanya menunduk. Entahlah kenapa.

Indah melutut perlahan-lahan di sisi meja kaca di tengah lalu meletakkan dulang perlahan. Gelas disusun satu persatu lalu dituang air oren di dalamnya. Selepas itu, dia bangkit bersalaman dengan Auntie Caera yang sedari tadi tidak lepas memandangnya sambil tersenyum. Sempat wanita itu memeluknya erat. Diselangi dengan Julia dan Jaina yang turut menghulur tangan untuk bersalam dengannya. Mereka bertiga sudah jauh berubah, kini sudah cantik bertudung.

"Jemput minum," pelawa Encik Izham sopan.

"Ya, ya. Terima kasih." Auntie Caera hanya tersenyum manis sebagai balasan dan mengangguk tipis. Gelas berisi teh suam yang terhidang di atas meja diambil dan disisip perlahan. Sementara itu, Indah melabuhkan punggung di sebelah Irzan sambil terketar-ketar.

Irzan ketawa kecil. Bahu Indah dicuit perlahan.

Indah jongket sebelah kening.

"Muka pucat tu, cover sikit. Tarik nafas, hembus. Relaks."

Indah hanya mengangguk, tetapi sebenarnya dia tidak dengar apa yang Irzan cakap. Dalam keadaan gementar seperti ini, telinganya tiba-tiba jadi tuli.

"Kalau dah tak ada apa-apa, saya mula dululah ya." Auntie Caera meletakkan gelas semula ke atas meja lalu tersenyum manis.

"Saya rasa tuan dengan puan dah tahu yang..."

"Ish, janganlah panggil tuan dengan puan. Panggil aje nama. Saya Izham, isteri saya Diana. Saya rasa umur kita bertiga ni pun macam dah nak dekat sama aje," celah Encik Izham sejurus membuatkan Auntie Caera terdiam sejenak sebelum mengangguk.

"Ya. Saya rasa Izham dengan Diana dah tahu kan yang anak saya ni dah lama kenal Indah?" Bahu kanan Jay ditepuk lembut oleh Auntie Caera.

"Ya, kami tahu," jawab Encik Izham dan Puan Diana serentak.

"Jadi, saya cakap terus ajelah ya? Anak saya ni berkenan nak jadikan Indah sebagai isteri dia. Jadi, apa kata Izham dengan Diana?"

Jay teguk liur. Mama dia sungguh berterus terang. Kalau dia? Mesti tergagap-gagap dulu kerana terlalu gelabah.

"Kalau Caera tanya saya, saya okey aje."

"Saya pun okey," jawab Puan Diana pula.

"Tapi, kena tanya tuan badan dululah. Soalnya dia watak utamanya dalam hal ni." Encik Izham tersengih sambil memandang Indah yang sudah terkebil-kebil memandang semua orang.

Alamak.

"Jadi, Indah? Macam mana?" soal Encik Izham sekali lagi.

Indah berdeham lalu membetulkan duduk. Dia menganggukkan kepala sekali, dan terus menunduk. Segan sebenarnya.

"Hah, dia nak. Kira jadilah ni, ya?" Encik Izham sengih buat kali kedua.

"Alhamdulillah..."

"Jay dah ada perancangan ke? Untuk tunang? Nikah dengan sanding nanti?" tanya Puan Diana setelah sekian lama mendiamkan diri.

"Errr, pak cik..." Jay garu kepala seperti cacing kepanasan.

"Hmm?"

"Boleh tak kalau saya nak minta izin pak cik dengan mak cik? Saya kalau boleh tak nak bertunang. Saya nak terus nikah dan buat majlis sanding. Buat sekali jalan aje." Jay berdeham sekali menghilangkan gugup.

"Oh, yang ini kau tak bagitahu aku pun!" Irzan yang daripada mula hanya senyap membisu tiba-tiba bangun dan menuding jari pada Jay yang sedang mengurut dada dek terkejut dengan sergahan tiba-tiba itu.

"Astaghfirullahalazim, Irzan Damir. Duduk duduk. Hang ni kan..." Encik Izham picit dahi pula. Irzan ini pun satu, agresif lain macam aje hari ni. Entah-entah sedih sebab adik sendiri sudah dilamar.

"Sorry sorry." Irzan tersengih malu. Baru teringat yang emak dan adik-adik Jay turut ada di sini. Memang memalukan betul.

"Errr, maaflah ya Caera. Anak saya yang sulung ni memang macam ini. Pelik sikit perangai dia." Encik Izham menggeleng kepala, turut menanggung malu.

"Oh, tak apa tak apa." Auntie Caera hanya tersenyum sebagai balasan.

"Oh ya, tentang tadi tu. Pak cik tak kisah pun kalau nak terus nikah tak tunang dulu. Tapi Indah okey ke?"

"Indah okey aje," jawab Indah jujur. Dia tidak kisah. Lagi cepat lagi bagus. Erk.

"Hah, baguslah kalau dua-dua setuju. Senang kerja kita."

"Ya." Auntie Caera turut melepas sebuah nafas lega. Selepas itu, mereka hanya berborak kosong diselangi tawa. Entahlah apa. Sesekali topik majlis perkahwinan mereka yang bakal berlangsung turut menjadi bualan mereka.

"Abang Indah ni umur berapa? Nama apa tadi?" soal Auntie Caera tiba-tiba mengalihkan pandangan pada Irzan yang sibuk menusuk pipi Indah dengan jari, tak habis-habis mengusik.

"Saya Irzan. Umur 28, sebaya Jay aje." Irzan sengih menampakkan gigi.

"Oh, lah. Sebaya aje. Dah kahwin ke?"

Irzan garu kening. Mula dah..

"Belum kahwin lagi."

"Dah ada calon ke? Auntie ada aje anak-anak kawan auntie yang muda lagi kalau nak dijadikan calon."

Pantas Irzan memaling wajah memandang Puan Diana dan Encik Izham silih berganti, meminta tolong melalui isyarat mata.

"Ah, Irzan memang tak ada calon lagi tapi dia tak nak kahwin lagi. Kerja dulu katanya. Lagipun kami tak nak paksa. Nanti kalau ada, dia bawalah calon jumpa kami. Kalau tak ada, kami tunggu aje sampai ada."

"Oh, yalah kan. Maaf ya auntie tanya." Auntie Caera tunduk memohon maaf, segan pula terlajak tanya tentang lelaki itu. Bab sensitif pula tu.

Irzan sengih, "Tak apa, auntie. Small matter."

"Eh, alang-alang semua dah ada dekat sini, apa kata malam ni makan malam aje dekat sini?" cadang Puan Diana menukar topik tatkala perbualan mereka terasa canggung.

"Boleh juga! Nak rasa air tangan bakal menantu saya ni," gurau Auntie sejurus mengundang tawa Encik Izham dan Puan Diana.

Arunika [ارونيكا] ✓Where stories live. Discover now