"Jadi petang ni kau ada kelas tambahan lagi?" tanya Adam pada Arash.

"Ya," jawab Arash sepatah.

Adam memandang Arash dengan wajah tidak puas hati. "Asyik ada kelas petang saja. Kenapa rajin sangat? Kau dah pandai, mahu apa lagi?" 

Bukan aku yang belajar, aku yang ajar orang. Masalahnya ini arahan pengetua, tak akanlah aku mahu tolak mentah-mentah." Arash menjawab dengan tangan yang digerak-gerakkan bagi menunjukkan keterpaksaan.

Menjulingkan mata ke atas, Adam menyiku lengan Arash. "Yalah, memang aku kena balik rumah seorang diri selalu. Okeylah, aku nak balik kelas aku," tuturnya dalam nada yang sukar ditafsir. Dia lekas melangkah laju ke arah kelasnya yang berada di tingkat yang sama.

Arash berhenti daripada melangkah. 'Aduhai, merajuk pula ke adiknya yang seorang ini?' 


📸📸📸


Pintu rumah terbuka luas, kelihatan Adam berdiri di muka pintu dengan wajah ceria. Tangannya sedang menjulang dua buah piala bagi menunjukkan kejayaannya. Dia telah meraih tempat pertama dalam acara lontar lembing dan lompat jauh di peringkat daerah. Jika berlawan antara sekolah-sekolah, memang dialah menjadi ayam tambatan sekolahnya! 

"Assalamualaikum!" Adam memberi salam pada penghuni rumah. Tiada jawapan yang diterima. Hanya kawasan ruang tamu yang gelap sahaja menjadi santapan matanya.

 Walaupun dia tidak hadir ke sekolah hari ini kerana perlu pergi ke stadium sukan, Arash masih tidak pulang awal daripadanya. Sudah pukul 4.00 petang dan tiada sesiapa pun yang dapat dilihat.

"Bonda, Arash masih belum balik?" tanya Adam dengan lantang. Dia bergegas keluar semula melihat kasut yang disusun pada rak. Sepasang kasut yang dicarinya tiada di situ.

Dengan keluhan kuat, Adam menutup pintu semula. Bunyi pintu itu dikunci secara automatik memenuhi kesunyian rumah disertai lampu dan penyaman udara yang terpasang sendirinya. Dua buah piala tersebut diletakkan ke atas meja sebelum dia merebahkan diri ke atas sofa.

 Arash di sekolah, walid pula bekerja dan bonda pasti ke rumah rakannya. Maka tinggallah Adam sendirian di rumah, menghadap kekosongan.

Sedang dia merenung siling rumah lama-lama, bunyi passcode di hadapan pintu rumah ditekan-tekan menarik perhatiannya. Adam langsung tidak bergerak untuk membuka pintu, malah menunggu seseorang itu melangkah masuk. Jika benar dia merupakan penghuni rumah ini, pastilah pintu akan terbuka setelah insan itu berjaya memasukkan kod rumah mereka. 

Pintu terbuka, Adam dapat lihat Arash yang sedang terjenguk-jenguk ke dalam. Dia sedang menantikan sesuatukah?

"Cari apa tu? Bonda tidak ada di rumah," ujar Adam tiba-tiba, membuatkan Arash terperanjat dengan keberadaan kembarnya itu.

"Oh, Adam dah balik dulu rupanya," tutur Arash kemudian melangkah ke dalam rumah. Beg galas diletakkan ke sisi tangga rumah lalu dia mengambil tempat di atas sofa bertentangan dengan adiknya. "Macam mana sukan tadi? Juara?" soalnya dengan senyuman yang tidak dapat ditahan.

Adam sudah tersenyum lebar. Dia mendepakan tangannya, menunjukkan pingat yang tersarung pada lehernya disertai dua buah piala di atas meja. Bangga, itu yang dirasakan ketika ini padakala dia menunjukkan kejayaannya pada Arash.

Terangguk-angguk, Arash menepuk tangan sambil mengucapkan tahniah berkali-kali. "Nanti kita ajak bonda dan walid makan dekat luar. Kita kena sambut juga kejayaan kau ni, bukan senang nak juara berturut-turut." Pujinya dengan senyuman.

Agent Clone : Misi Pencarian (Terbit ✅️)Where stories live. Discover now