Bab 27

37 3 0
                                    

Selamat hari raya, cinta.

Sekejap lagi aku datang. Butang baju Melayu tercabut pula ni.

Indah sengih seorang diri dan membalas ucapan hari raya juga sebelum telefon pintarnya terus disumbat ke dalam poket baju kurung Kedahnya.

"Along makan tak ajak pun," tegur Indah lalu menarik kerusi meja makan. Dia menongkat dagu merenung Irzan yang sedang menguyah nasi impit dengan rendang ayam. Pelik? Ya. Itulah Irzan. Yang pelik-pelik, bagi sahaja pada lelaki itu.

"Gastrik, sorry tak tunggu. Meh la makan." Irzan meletakkan sebuah piring kecil dan seketul nasi impit di atas pinggan lalu pinggan tersebut ditolak perlahan. "Makan."

"Indah tak suka nasi impit..."

"Nak ketupat ke? Tengah kukus tu." Bibir dijuih pada periuk kukus di atas dapur yang masih berasap-asap.

"Okey..." Indah hanya tersenyum nipis dan menongkat dagu semula. Kembali merenung wajah tenang Irzan yang menyambung makan dengan penuh berselera.

"Dah kenapa pandang along macam tu?" Irzan kerut dahi. Risau. Manalah tahu kalau Indah kena rasuk pagi-pagi rasa macam ini.

"Along ni kan... lama-lama Indah pandang, boleh tahan handsome juga kan?" sengih Indah. Tak apa, hari ini hari raya. Biarlah dia puji sedikit, manalah tahu tiba-tiba dapat duit raya daripada Irzan, kan?

"Habis tu selama ni tak handsome ke?" balas Irzan sambil meneguk sedikit air sirap.

"Handsome jugalah. Tapi sikit aje sebab sebelum ni asyik berkerut-kerut aje dahi tu. Streslah katakan. Kalau orang tengok pun, seram. Macam manalah Kak Tasnim boleh suka dekat singa macam along ni." Indah geleng kepala.

Irzan putar bebola mata ke atas. Mulalah nak naik topik Tasnim pula ini.

"Tapi tak apalah, cinta kan buta. Maksudnya Kak Tasnim boleh terimalah along yang sentiasa nak menyinga aje dekat tempat kerja," sambung Indah lagi. Sejujurnya, dia sendiri agak gerun dengan Irzan ketika di hotel kerana lelaki itu sungguh berbeza personalitinya ketika bekerja. Hendak nampak Irzan senyum ketika hotel pun sangatlah susah kecuali jika lelaki itu sedang berurusan dengan pelanggan. Kalau tidak, seharianlah dia akan mencuka di dalam pejabat atau ketika meronda di lobi.

"Along tak suka dia, romantically. So don't bring up her name here. Dia cuma pekerja along. Titik."

Indah berdecit dan memuncung. Sebenarnya sehingga hari ini, dia masih belum jumpa cara untuk menarik minat Irzan terhadap Tasnim. Bagi Indah, Tasnim itu cukup pakej. Cantik? Boleh tahan. Baik? Terlebih baik. Sopan? Sopan juga.

Cuma Irzan sahaja yang masih tidak mahu buka kunci hati itu. Susah! Walhal selama ini Indah kerap memberi 'hint' yang Tasnim menaruh perasaan pada Irzan. Sebenarnya, Tasnim sendiri yang pernah mengaku dahulu tetapi itu hanya rahsia mereka berdua. Tetapi sebanyak mana petunjuk yang Indah beri sekalipun, Irzan tetap blur jika melibatkan hal perasaan ini.

Atau mungkin Irzan hendak menjadi anak teruna tua.

Entahlah.

"Berangan aje kerja."

Indah terus menapak masuk ke dunia realiti semula. Bibirnya menarik sebuah sengih.

"Umi mana?" soal Indah menukar topik. Dia tahu topik Irzan dengan Tasnim ini tiada kesudahan pun.

"Tadi tengah pakai tudung."

"Abah?"

"Tengah bersiap."

"Oh... Eh, Jay dah sampai!" Indah terus bangun daripada kerusi saat matanya menyapa bayang seseorang di sebalik pintu pagar. Pasti Jay hanya berjalan kaki ke sini.

Arunika [ارونيكا] ✓Where stories live. Discover now