Bab 24

40 4 0
                                    

Jay mengeluh dan menghempas tubuh ke katil. Butang baju kemejanya dibuka satu persatu lalu ditarik cabut daripada tubuhnya, membiarkan udara sejuk daripada pendingin hawa biliknya menyapa kulit tubuh yang terdedah. Nafas dihela berat sambil matanya tidak lepas memandang siling bilik.

Kosong.

Kosong seperti jiwa dan fikiran ketika ini.

Sama kosong.

Wajahnya ditekup ke bantal sambil mata terkatup rapat. Selepas beberapa minit, telefon pintarnya yang tersorok di bawah bantal diambil lalu dibuka. Indah masih belum balas pesanan mesej terakhirnya. Mungkin masih belum sedar daripada pengsan atau sudah tidur. Entahlah.

"Kau buat apa dekat anak aku?!"

Suara nyaring bak halilintar itu ditelan Jay dengan sebuah keluhan berat. Indah yang masih tidak sedarkan diri di dalam gendongannya, perlahan-lahan diserahkan pada Irzan yang sedang berdiri di sebelah Puan Diana, bingung. Wajah Puan Diana pula sudah merah menahan marah.

"Saya cuma... bawa Indah ke sini. Dia tiba-tiba pengsan."

"Tiba-tiba pengsan?" soal Puan Diana diselangi sebuah tawa sinis.

"Tak ada istilah tiba-tiba pengsan kalau kaulah penyebab anak aku pengsan tu!"

"Umi..." Irzan geleng kepala dan perlahan-lahan meletakkan tubuh kaku Indah ke atas sofa rumah mereka. Wajah keruh milik Jay dijeling sejenak.

Kasihan lelaki itu.

"Macam mana boleh pengsan ni?" soal Irzan pula, tenang. Dia tidak mahu tuduh melulu seperti Puan Diana pula. Kuncinya hanya satu iaitu tenang.

"Aku tak tahu. Kami berdua baru habis berbuka sekali. Waktu nak balik tu, dia tiba-tiba pengsan," jawab Jay sambil tertunduk. Lebih kepada gerun melihat wajah Irzan yang tegas lain macam.

"Oh, berbuka sekali? Padanlah... aku dah cakap dekat kau jangan dekat dengan anak aku, kan? Kau ni pekak ke? Ke tak faham bahasa?" Nada suara Puan Diana meninggi buat kali kedua.

"Umi, tak salah pun nak berbuka puasa sekali. Boleh tak umi jangan besar-besarkan hal ni?" Irzan mengeluh, dahi dipicit sekejap.

"Umi tak kisah! Umi dah cakap daripada awal yang umi tak suka lelaki luar ni! Sekali umi tak suka, maksudnya umi memang tak suka!"

"Kau... aku tak nak kau jumpa Indah lagi. Jangan. Jumpa. Anak. Aku. Lagi." Perkataan itu ditekan Puan Diana satu-persatu dengan mata yang terjegil.

"Saya tak buat apa-apa pada anak makcik, kenapa pula saya perlu jauhkan diri? Saya hanya kawan dia, tak lebih daripada itu." Jay kemam bibir.

"Kau memang tak gunalah! Kau berhambus sekarang! Menyampah! Jangan jejak kaki dekat rumah aku lagi. Berhambus!" Puan Diana naik berang dan menolak-nolak bahu Jay walaupun hanya bergerak sedikit. Irzan pantas menahan lengan Puana Diana lalu menenangkan wanita itu.

"Kau... balik dululah. Nanti kita borak lain. Pergi balik dulu..." Irzan beri isyarat mata supaya Jay cepat-cepat meninggalkan rumah mereka. Dia sudah terlalu faham akan sikap panas baran Puan Diana. Kalau Jay tidak beredar, silap haribulan lelaki itu boleh dimaki hamun.

Jay hembus nafas berat dan mengundur perlahan-lahan. Sempat wajah bengang Puan Diana ditatap sekali imbas sebelum dia terus melangkah meninggalkan rumah yang auranya suram itu.

Jay mengeluh buat kesekian kali. Puan Diana hanya mengingatkannya kepada bekas ayahnya yang ganas itu. Daripada gaya Puan Diana menengkingnya sahaja sudah mencetuskan suatu getar di dalam dadanya.

Dia benci bekas ayahnya itu, benci semuanya. Namun sikap Puan Diana semuanya sama dengan lelaki itu, semuanya perlahan-lahan membawa semula sisi manusia yang dia tidak suka. Cuma yang bezanya, Puan Diana bukan seorang kaki pukul.

Mungkin.

Daripada posisi meniarap, Jay terus duduk dan mencapai telefon pintar. Dia rindu mama. Dia perlukan seseorang untuk diajak berbual. Nama kontak Puan Caera terus ditekan lalu skrin telefon ditekap ke telinga kanan. Seminit menunggu, barulah panggilan bersambung.

"Mama... kitak sik busy kah? (Mama... awak busy ke?)" soal Jay dengan nada suara meleret.

"Sik laa, tengah kemas rumah tok. Kenak? (Tak pun, tengah kemas rumah ni. Kenapa?)"

"Jay rindu Mama..."

"Aih, rindu? Balitlah sitok, (Aih, rindu? Baliklah sini,)" jawab Puan Caera mudah.

"Mok jak tapi kamek kerja...tapi...kelak lah kamek cuba mintak cuti dekat bos. (Nak tapi saya kerja... tapi... nantilah saya cuba minta cuti dekat bos.)"

"Sik payahlah, tiket mahal nak? Simpan jak duit ya. (Tak payahlah, tiket mahal kan? Simpan aje duit tu.)"

"Kamek ada duit la... (Saya ada duitlah...)" keluh Jay.

"Simpan jak duit kau ya. Nantik Krismas kelak baruk kau balik sitok. (Simpan aje duit kau tu. Nanti Krismas baru kau balik sini.)"

"Hmm..." Jay hanya menggumam. Selepas itu, mereka hanya berborak kosong. Yang sebenarnya, Jay hanya mahu berbual untuk menghilangkan segala kekusutan di dalam kepalanya.

"Suara kau macam lain jak, Jay? Kau sik sihat kah? (Suara kau kenapa lain ni, Jay? Kau tak sihat ke?)" soal Puan Caera lembut.

"Sihat jak. Cuma rindu mama... (Sihat aje. Cuma rindu mama...)"

"Mengada-ada. Dahlah, mama mok letak telefon dulu ni. Mok sambung kemas rumah. Bye! (Mengada-ada. Dahlah, mama nak letak telefon dulu ni. Nak sambung kemas rumah. Bye!)"

"Okey, mama. Bye. Jaga diri." Talian dimatikan dan Jay terus bergerak ke tepi tingkap, memandang langit kelam yang hanya disimbahi cahaya bulan pudar dan beberapa taburan bintang.

Sejujurnya, dia hendak berbual dengan mamanya lagi tetapi dia tahu mamanya itu tidak berapa sudi. Puan Caera bukan seorang pendengar yang baik.

Tak apalah. Tak apa.

Tidak semena-mena, telinganya menangkap suatu suara merdu. Bukan pertama kali dia dengar suara itu malah setiap hari. Tetapi hari ini, suara itu bagai menyentakkan jiwanya yang terasa kosong.

Azan Isyak.

Buat seketika, Jay hanyut dibuai suara merdu itu.

Tenang.

Tidak sedar yang tiba-tiba setitis air mata gugur daripada tubir mata kirinya, jatuh tepat di atas tapak tangan yang elok dibuka.

"Kenak... aku nangis ni? (Kenapa... aku menangis ni?" Jay kemam bibir dan mengesat air mata yang entah sejak bila semakin deras mengalir.

"Tak guna..." Jay terus sembamkan wajah dan menghamburkan tangis yang ditahan-tahan sejak tadi sehingga bahunya terinjut-injut.

"Kenapa..."

Arunika [ارونيكا] ✓Where stories live. Discover now