Bab 14

47 4 0
                                    

"Alamak, alamak. Mati gue. Mati gue." Indah terus menggelabah ke kiri dan kanan. Kepalanya sekejap digaru-garu sambil menjenguk ke luar tingkap kereta.

"Kenapa?" soal Jay pelik. Tiba-tiba aje minah ni pun.

"Abah saya... tu..." Indah tekup wajah dengan tapak tangan. Habislah dia kalau Encik Izham nampak yang dia keluar berdua dengan Jay. Sudahlah tadi dia beritahu yang Jay itu adalah Grab yang mengambilnya. Ini mesti balasan sebab dia menipu abah sendiri.

"Kenapa kalau abah kau pun? Bukannya kita buat apa-apa."

Indah menjeling wajah selamba Jay, "Nanti dia marah saya!"

"Dah tu? Abah kau dah nampak dah pun kereta ni. Tak boleh buat apa-apa," jawab Jay bersahaja langsung membuatkan Indah ketap gigi lagi. Tak membantu langsung!

"Abah kau garang eh?"

Indah geleng, "Tak garang. Tapi risau abah saya tanya macam-macam."

Jay tertawa halus dan terus menghentikan kereta betul-betul di hadapan pagar rumah tinggi berwarna hitam itu.

"Jay! Kenapa awak berhenti betul-betul depan rumah? Ya Allah..." Indah rasa hendak menangis.

"Aku nak kenal-kenal dengan abah kau. Jom," ajak Jay dan terus mematikan enjin. Pintu dibuka lalu lelaki itu terus keluar dari kereta dengan selamba.

"Sama aje dengan along..." Indah mengeluh dan turut keluar dari kereta perlahan-lahan. Sempat dicapai plastik besar buku yang Jay belikan tadi.

"Amboi? Shopping?" Encik Izham mengusik sambil menjongket kening.

"Siapa ni? Pakwe hang ka?'

Indah laju menggeleng.

"Saya Jay, pakcik. Kawan Indah." Jay tunduk hormat dan bersalaman dengan Encik Izham yang sedang tersengih.

"Ya ke kawan?"

"Ya, pakcik."

Indah sudah garu kepala. Terus dia berlari ke pintu rumah mendapatkan Irzan yang sedang ketawa terbahak-bahak.

"Along, tolonglah backup Indah dengan Jay..." Lengan Irzan ditampar malah tawa lelaki itu makin menjadi-jadi.

"Along!"

"Ish, yalah." Irzan sengih menghabiskan sisa tawa lalu berjalan santai ke arah Encik Izham lalu menepuk-nepuk bahu lelaki itu.

"Okey ke keluar dengan budak ni? Dia nakal tak? Ada minta mainan tak?" soal Irzan pada Jay, mengusik.

Mendengar itu, Encik Izham dan Jay ketawa serentak manakala Indah sudah memuncung.

"Taklah, baik aje. Tak ada minta mainan pun." Jay tersenyum nipis.

"Riuh-riuh apa ni?" sampuk satu suara sejurus membuatkan Indah mengeluh dan berdiri di sebelah Irzan lalu memaut erat lengan lelaki itu.

"Siapa ni?"

"Kawan Indah," jawab Indah senada.

Puan Diana jongket sebelah kening. Tubuh Jay ditilik dari atas wajah, naik semula pada wajah lelaki itu.

"Orang mana ni?"

"Saya orang Sarawak, makcik," jawab Jay sopan. Dia tahu aura Puan Diana tidak berapa enak sekarang. Walaupun dia tidak kenal dengan wanita itu, namun dia tahu. Kalau tidak, mana mungkin Indah menangis teruk di pantai saban hari hanya disebabkan wanita itu.

"Muslim?" soal Puan Diana lagi.

"Umi..." Bahu Puan Diana ditepuk Irzan perlahan. Irzan geleng kepala. Soalan berkaitan agama sememangnya sensitif.

"Bukan, makcik." Jay menjawab tenang.

Puan Diana juih bibir dan angguk, "Baguslah. Kalau nak kawan, boleh. Tapi kawan aje, jangan lebih-lebih," ujar Puan Diana senada sebelum terus melangkah masuk ke dalam rumah semula.

"Haih..." Encik Izham geleng kepala dan menepuk bahu Jay sekali. "Janganlah terasa hati dengan bini pakcik tu. Dia tu hari-hari datang bulan."

Jay sengih, "Tak apa. Saya minta diri dulu."

"Eh, tak nak masuk dulu ke? Boleh borak-borak lagi sambil minum teh."

Jay garu kepala dan menggeleng, "Tak apalah. Lain kali aje, saya kena balik."

"Ah, yalah. Hati-hati tu. Nanti apa-apa jadi, anak aku ni sedih pula." Bahu Indah ditepuk-ditepuk, sengaja menambah bahang di wajah gadis itu. Sebagai seorang ayah, bukannya dia tak tahu yang Indah ada perasaan pada Jay.

Jay ketawa dan angguk, "Pergi dulu." Langkahnya terus diatur semula ke kereta.

Indah lambai tangan hingga kereta Jay hilang dari pandangan mata.

"Besar dah anak abah ni... dah jatuh cinta ya?" Encik Izham senyum tipis dah menggosok kepala Indah yang berlapik tudung.

"Heh, ma-mana ada!"

Encik Izham tertawa nipis, "Abah tahu. Abah nampak cara dia pandang Indah."

"Abah tak marah Indah ke?"

"Tak. Tapi abah cuma harap Indah pandai jaga batas dengan dia. Jaga diri, jaga batas dan jaga maruah Indah yang Indah jaga selama ni. Okey?"

Indah angguk dan memeluk tepi bahu Encik Izham manja. Dia fikir abahnya itu akan marah.

"Eleh, tadi cakap kawan aje. Nipu je kerja." Irzan juling bebola mata ke atas dan menampar belakang kepala Indah.

"Ish, sakitlah!" Indah ketap gigi.

"Jadi betullah Indah ada hubungan dengan lelaki tu?" sampuk Puan Diana yang berdiri di hadapan pintu. Dia dengar semuanya.

"Kan Indah dah cakap yang kami ni berkawan aje," keluh Indah. Susahlah kalau macam ini.

"Yalah, umi. Jay tu pun kawan along juga." Irzan cuba menenangkan keadaan.

"Habis tu kenapa along tak ikut diaorang keluar sekali? Kenapa keluar berdua?" Puan Diana peluk tubuh, memandang wajah Irzan dan Indah silih berganti.

Encik Izham pula sudah menggeleng kepala dan melangkah masuk ke dalam rumah, malas hendak bertengkar lagi. Sakit telinga dan sakit hati.

"Sebab along ada kerja tadi nak kena buat. Itu yang along bagi aje diaorang keluar berdua. Jay ada ajak along juga tadi." Irzan menjelaskan tenang walaupun jelas ianya dusta.

Puan Diana kecilkan mata, "Indah, kalau umi tahu Indah ada hubungan dengan lelaki tu, siap eh. Umi cakap awal-awal ni, umi tak suka dia."

"Aik, umi tak kenal lagi umi dah cakap umi tak suka?" Irzan jongket sebelah kening.

"Sebab dia tak sekufu dengan kita! Umi tak suka. Dah jelas-jelas dia cakap tadi yang dia bukan Muslim."

"Dah tu? Kalau dia bukan Muslim pun, dia kacau hidup umi ke?" soal Indah geram.

Puan Diana ketap gigi. "Jangan nak kurang ajar sangat. Kalau Indah ada hubungan dengan dia, putus. Jangan nak mengada-ada ada hubungan dengan lelaki macam itu. Dia tak layak masuk dalam keluarga kita."

Indah mendengus kasar dan terus melangkah masuk ke dalam rumah dengan bebal.

"Umi ni... janganlah macam tu..." Irzan turut mengeluh dan membuntuti langkah laju Indah. Dia pun kadangkala penat dengan sikap Puan Diana. Cuma dia bersabar kerana dia tidak mahu bersikap kurang ajar.

Arunika [ارونيكا] ✓Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu