Pantai Jason Bay, Kota Tinggi, Johor.
7:02 a.m.AIR mata yang laju mengalir diseka dengan tapak tangan. Dihamburkan segala tangis yang tertangguh. Sakitnya tidak terperi. Jika boleh memilih, tentu sahaja dia tidak ingin lahir dari keluarga sekarang. Tentang ibu yang sering mencipta parut di hati. Dia mencintai ibu sebagaimana dia mencintai diri sendiri. Tiada alasan untuk membenci wanita itu meski hanya dihadiahi luka. Kadang ibunya tidak sedar bahawa setiap perkataan dan perbuatan yang terzahir, sudah berjaya merobekkan sekeping hati dan harapan anak sendiri.
Sebagai anak bongsu, dia harapan terakhir dalam keluarga. Dan benar kata orang, anak bongsu harus kuat. Terutamanya dari segi mental. Anak bongsu harus lapang dada untuk mengalah. Tapi, anak bongsu itu juga manusia biasa, bukan?Indah mengeluh sekali. Tak sedar yang matanya sudah sedikit membengkak. Air matanya langsung tidak segan untuk turun pagi ini. Sekilas, telefon pintarnya dibawa keluar dari poket seluar lalu jam dibelek sebentar.
Sudah dua jam dia di sini. Memandangkan dia ‘cuti’ hari ini, seawal lima pagi dia sudah sampai ke sini. Indah dan tenang. Tetapi ketenangan dia terganggu sedikit saat ada manusia lain di sini. Nasib jauh.
Lelaki. Ada seekor kucing di dalam gendongannya. Lelaki itu hanya berpakaian hoodie hitam bersama seluar jogger pants. Turut tergantung sebuah kamera di lehernya, mungkin hendak mengambil gambar matahari terbit. Melihatkan itu, langsung mengingatkan Indah yang dia juga selalu datang ke sini untuk mengambil gambar matahari terbit. Tetapi bukan hari ini. Hari ini lain. Hari ini untuk dia luahkan segala rasa seorang diri.
Indah mengeluh buat sekelian kali, wajahnya diraup kasar. Pipinya yang terasa sedikit melekit disapu-sapu.
“Haih, dekat sini rupanya dia. Ingatkan hilang pergi mana tadi,” ujar satu suara yang Indah amat kenal.
“Along…” Terus Indah angkat wajah memandang Irzan yang terus melabuhkan punggung di sebelahnya. Lelaki itu hanya mengenakan hoodie hitam dan seluar jogger pants. Sama seperti lelaki tadi.
“Pukul berapa sampai sini tadi?”
“Lima pagi.”
“Awalnya. Tak solat Subuh?” soal Irzan lagi.
“Cuti…” Indah terus melentokkan kepala pada lengan kiri Irzan. Biarlah, abang dia sendiri. Bukannya haram.
“Adik abang ni lari daripada umi kan sebenarnya?” duga Irzan sambil mengusap lembut kepala adiknya yang berlapik tudung itu. Dia tahu dan terlalu faham yang hubungan antara Indah dan uminya, Puan Diana sentiasa dingin.
“Tak adalah, mana ada.”
“Tipu,” potong Irzan laju.
“Jangan marah umi lama sangat. Seteruk mana pun perangai umi, dia tetap umi kita. Dah jom balik. Kita sarapan sekali, abah suruh balik.”
“Kejaplah, lima minit. Orang nak ambil udara segar lagi ni.” Indah menahan lengan kiri Irzan yang sudah hendak berdiri. Seketika kemudian, dia kembali menongkat dagu memandang lelaki yang sedang mengendong kucing tadi. Comel.
“Nak ambil udara ke… nak usha mamat yang tengah dukung kucing tu?” soal Irzan berbaur gurauan.
“Hah? Eh, mana ada!” Indah cepat-cepat mengalihkan pandangan daripada terus memandang lelaki berhoodie hitam itu. “Orang tengok kucing tu aje, comel…”
“Nak ke? Along pergi ambil kejap,” ujar Irzan sejurus mengangkat tubuh mendekati lelaki itu yang masih ralit mengusa-usap manja kepala kucing oren.
“Eh, Along! Aduh…” Indah garu kepala dan lekas pura-pura membetulkan tudung saat Irzan dengan bangganya menegur lelaki itu tadi. Mereka berbual seketika sebelum Irzan menunjukkan kucing tersebut dan lelaki berhoodie hitam lantas menghulurkan kucing seperti yang dipinta. Kemudian, mereka sambung berbual lagi sebelum Irzan menepuk bahu lelaki itu sekali dan akhirnya melangkah mendekatinya.
YOU ARE READING
Arunika [ارونيكا] ✓
Romance"Lelaki untuk membimbing, bukan dibimbing." ..... لَكُمْ دِيْنُكُمْ وَلِيَ دِيْنِ "Untukmu agamamu, dan untukku agamaku." [QS, Al-Kafirun: 6] ..... Raw version, typo bersepah, perkataan bahasa Inggeris dan bahasa Sarawak tak ditulis dalam italic...