Bab 2

23 4 0
                                    

SELEPAS meletakkan bagasi di tepi dinding, Aidan terus merehatkan tubuhnya di atas katil. Sebelah tangan naik dan direhatkan di atas dahi. Dia mahu berehat sebentar selepas penerbangan yang berjam-jam di atas langit biru. Seketika, telefonnya yang berada di sebelah berbunyi minta diangkat dengan segera.

    Telefon terus dilekapkan ke telinga selepas ibu jarinya menggesek ikon hijau tanpa melihat nama si pemanggil. Satu suara yang amat dikenali mula menyapa gegendang telinganya.

    "Helo."

    "Assalamualaikum, abangku yang tersayang." Sapa seseorang dengan nada geram.

    Berkerut wajah Aidan sesaat sebelum membalas.

    "Eh, Aifa. Waalaikumusalam. Ada apa telefon aku ni?"

    Agak pelik apabila adiknya itu menelefon kerana setahu dia Aifa sedang sibuk dengan hujung semester yang dipenuhi dengan peperiksaan di universiti.

    Aifa berdeham sekejap sebelum berkata. Kepalanya ligat menyusun kata kerana bimbang Aidan akan mengamuk.

    "Kau kat mana? Mama kata dia telefon, kau tak angkat."

    Aidan hela nafas panjang. Dia dah agak soalan itu akan terpacul keluar dari mulut adiknya itu.

    "Aku baru aje turun dari flight. Ni pun aku baru buka telefon," ujar Aidan. Bukan dia tak tahu selepas turun di lapangan terbang, dia sedar banyak panggilan tak dijawab daripada keluarganya. Dia langsung tidak memberitahu sesiapa bahawa dia akan bercuti ke Paris. Selain itu, banyak juga panggilan dari perempuan gila itu, siapa lagi kalau bukan Emelia?

    "Flight?!" Terjerit Aifa apabila mendengar kata-kata Aidan sebentar tadi. Dia tak salah dengar, kan?

    Aidan menjarakkan sedikit telefonnya daripada telinga. Bingit telinganya asbab jeritan Aifa boleh tahan kuat, nasib tak rosak gegendang telinga.

    "Kau pergi mana? Terbang sampai ke mana? Jauh betul kau terbang lepas putus cinta. Hati dah hancur sangat ke tu?" Sedar apabila tersasul mengenai hubungan Aidan dan Emelia yang sudah menemui titik penamat, Aifa mengetap bibirnya. Aduh!

    Bercantum kening Aidan sekejap.

    "Mana kau tahu ni?" soal Aidan dengan dingin. Sudah la hatinya sedang sakit gara-gara Emelia berlaku curang terhadapnya, sekarang Aifa pula menyebut perihal itu. Makin bertambah perit luka di hati.

    Aifa menggumam.

    "Bekas kekasih kesayangan kau tu la telefon aku macam nak ajak gaduh. Selagi tak jawab, selagi tu la dia asyik call aje. Stress gila! Bila aku jawab, dia sibuk tanya kau ke mana la apa," jawab Aifa dengan jujur. Dengan Aidan ni, dia mana boleh tipu langsung. Kalau nak tipu pun, sekejap saja akan kantoi busuk. Menyampah betul!

    Aidan mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak dia berasa bersalah terhadap adiknya itu. Kerana masalah dia dengan Emelia, Aifa pula jadi mangsa Emelia. Itu la sasaran Emelia apabila Aidan tak menjawab panggilan atau balas mesej.

    "Gaduh apa pula kali ni? Kes apa?" tanya Aifa dengan gaya santai. Sudah terbiasa dengan pergaduhan Aidan dan Emelia.

    "Tak ada apa la. Biasalah kan... cinta tu tak semestinya memiliki. Dah tiba masanya untuk putus." Dengan bersahaja, Aidan membalas kata. Dia tak mahu kusutkan fikirannya dengan perihal Emelia.

    Aifa berdecit.

    "Macam teruk aje bunyi. Cuba kau kongsi dengan aku, apa yang jadi sebenarnya? Gaduh apa sampai nak putus ni? Bukan kau cinta mati sangat ke dengan si Emelia tu?" Pelik juga Aifa dengan tindakan drastik Aidan kali ini. Sebelum ni apabila bergaduh dengan Emelia, tak ada la teruk macam ni.

Rewrite This LoveWhere stories live. Discover now