Bab 21: Diberi Kuku Hendak Mencengkam

Start bij het begin
                                    

Athari menghela nafas perlahan.

“Benar, semua orang tahu keluarga diraja Inderagana hanya terdiri daripada empat orang sekarang. Kita mempunyai seorang puteri dan seorang putera. Tapi, mengapa… sementara Puteri Zulaikha dapat dilihat membesar di istana, Putera Zulkarnain pula harus membesar berasingan?”

“Bukankah kerana Tengku Putera lemah jantung seperti Tuanku Raja?” Lanang menjawab tanpa fikir panjang.

“Adakah Tengku Putera yang kita lihat malam itu ada tanda-tanda sakit?”

Lanang tergamam. Perlahan-lahan dia menekup mulut. Baru tersedar sesuatu. Putera Zulkarnain begitu lincah, cergas dan bertenaga ketika bertarung. Bahkan, mampu menumbangkan lawan-lawannya dengan mudah. Putera itu juga mengendalikan kuasa Karunianya dengan baik.

Lantas, segala pengetahuan am yang Lanang ada tentang putera itu runtuh seruntuhnya.

“Engkau tinggal jauh dari kota ini, jadi wajar engkau tidak tahu. Memang itulah yang diuar-uarkan pihak istana dari dahulu lagi. Pada mulanya tiada yang menyangkal, melihatkan sejarah kesihatan Tuanku Raja Zulaqram sendiri. Namun, mulut tabuh dapat disumbat. Mulut orang bagaimana menyumbatnya? Lama-kelamaan, golongan bangsawan mulai resah dan gelisah apabila Tengku Putera tidak pernah dibawa menziarahi istana ini. Mereka mulai mendesak kemunculan Tengku Putera. Engkau rasa, mengapa?”

Hampir mendesis sendiri, Lanang menjawab, “Aku… aku tidak tahu. Aku sangka keluarga diraja damai-damai sahaja?”

Athari menggeleng. Naifnya.

“Fikirlah, Lanang. Kita ada dua calon pewaris takhta. Seorang puteri yang bukan anak gahara, namun disayangi rakyat jelata manakala seorang lagi putera anak gahara yang disokong oleh para petinggi kerajaan. Sampai di sini, engkau mengerti maksudku?”

“Tapi, Tengku Putera Zulkarnain sudah mengumumkan tidak ingin menentang ayundanya!” bidas Lanang.

“Sebab itulah aku mahu tunggu dan lihat. Aku juga ada matlamat yang sama denganmu. Tapi, jika kau ingin berubah fikiran lakukan sekarang. Berada berdekatan dengan Tengku Putera, walaupun kita hanya pengawal, kita mungkin terheret dalam perebutan takhta antara putera dan puteri negeri kita ini. Dengan kepulangan Tengku Putera, para bangsawan yang selama ini menyokong baginda pasti akan mula bergerak. Adakah engkau bersedia untuk menghadapi sepak terjang istana?”

Kali ini, tiada jawapan daripada Lanang. Dia meraup wajah dan terus membatu. Athari pula mendesah nafas panjang. Dia mengerling tingkap yang masih terbuka. Langit sudah benar-benar gelap. Masa untuk membuat keputusan mungkin baru sahaja tamat.

Tiba-tiba, bunyi loceng berbunyi deras.

Bagai disentak, Athari dan Lanang terus menerpa keluar. Di beranda yang bertentangan, mereka berdua menemui Bakti ada di sana bersama dua orang lagi penghuni berek yang lain. Mereka sempat bertukar pandangan keliru.

“Bagusnya berek ini! Semuanya serba baru!”

Pintu utama berek mereka sedang terbuka luas, dan segerombolan lelaki membanjiri masuk tanpa diundang. Walaupun tanpa kain samping atau tanjak rasmi berwarna kuning pinang, mudah untuk mengenali mereka itu siapa. Hanya Satria Istana yang memakai baju seragam hitam dengan rekaan kolar cekak musang.

Para Satria Istana itu membuat ruang tengah berek seperti tempat mereka sendiri. Bilik demi bilik di tingkat bawah dimasuki, seperti mencari penghuninya. Bingkisan yang ada di atas bangku juga dikerumuni dan dibelek-belek tanpa izin.

“Ada tujuh bingkisan lagi yang masih tersisa!” laung salah seorang dari mereka.

Seorang lelaki yang duduk sambil melunjur kaki di atas meja, memerhatikan sekeliling. Athari dan penghuni-penghuni berek yang lain menonjol dalam keramaian itu dengan pakaian mereka yang berwarna.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu