Bab 6

181 18 1
                                    

WAJIHAH mundar-mandir banyak kali di hadapan bilik Kayyisa sehingga mengundang aneh dalam diri Eijaz. Dia yang ketika itu ingin keluar daripada bilik untuk menjamu sarapan automatik terbantut. Serta-merta tubuh si kakak ipar didekati sebelum Eijaz bertanya sangsi.

"Kak Waji, kenapa berdiri depan bilik Kayyisa? Kak Waji okey?"

"Dari semalam Kak Waji tak sedap hati la, Eijaz. Boleh tak kita buka pintu bilik Kayyisa? Eijaz mintalah kunci dengan umi." Tangan Wajihah setia berada di atas perutnya yang memboyot.

"Kayyisa okey je kut, Kak Waji. Tak payah risaulah. Kesian dekat baby." Itu saja balasan Eijaz. Dalam kepala tak terbayang apa-apa perkara buruk. Putus cinta saja pun. Takkan la sedih sehingga memudaratkan diri.

"Hati Kak Waji tak tenanglah, Eijaz. Sekejap je, kita tengok keadaan Kayyisa. Kak Waji dah ketuk banyak kali tadi tapi dia tetap tak buka." Kali ini ujaran Wajihah lebih kepada memujuk. Dia tahu mereka semua tidak mahu mengganggu Kayyisa kerana gadis itu sememangnya suka berkurung jika ada apa-apa mengganggu emosinya.

Mahu tak mahu, akhirnya Eijaz bersetuju juga. Sekurang-kurangnya dapatlah melegakan hati Wajihah apabila mereka nampak sendiri keadaan Kayyisa. Sudahlah wanita itu sarat mengandung, bimbang memberi efek kepada kandungannya.

"Okey, Kak Waji tunggu sini kejap. Eijaz pergi turun bawah, cari kunci dekat umi."

Dalam lima minit menunggu, kelibat Eijaz tiba semula di hadapan bilik Kayyisa. Wajihah menanti dengan sabar. Kunci yang berjaya didapatkan daripada Puan Sajidah dimasukkan ke dalam lubang tombol sebelum tempat pemegang itu dipulas Eijaz. Kemudian, pintu ditolak laju ke hadapan.

Membulat mata Wajihah melihat Kayyisa terbaring longlai di atas sejadah. Eijaz apatah lagi, kelam-kabut mendapatkan adiknya yang terbujur lemah dengan wajah yang pucat.

"Ya Allah, Kayyisa!"

"Cinta Kayyisa!" Eijaz panik.

︵‿︵‿୨♡୧‿︵‿︵

BUKA saja mata, kelibat Encik Hasan dan Puan Sajidah menjamah penglihatan Kayyisa terlebih dahulu. Kepala yang terasa nyeri automatik dipegang sebelum matanya diliarkan ke segenap ruang. Apa Kayyisa tahu, dia berada di dalam sebuah bilik yang dikelilingi dengan warna putih. Setiap ahli keluarganya sedia di situ, menanti dengan wajah bimbang.

Encik Hasan dan Puan Sajidah berdiri di sebelah kanan dan kiri katil. Manakala Nadhif, Eijaz, Anaqi dan Wajihah duduk di sofa yang telah disediakan. Bilik ini kelihatan seperti sebuah bilik persendirian.

Apabila sudah yakin tentang keberadaannya, Kayyisa perlahan-lahan meniti sesuatu di bibir. Wajah abi dipandang dahulu sebelum dia alihkan pula kepada umi.

"Kenapa Kayyisa ada dekat sini, umi? Kayyisa tak sukalah. Kayyisa nak balik."

"Mana boleh, sayang. Kayyisa demam. Badan dehidrasi sangat sampai pengsan. Doktor tak benarkan balik lagi," bicara Puan Sajidah lembut sambil mencapai tangan kiri si anak yang tidak dipasang dengan branula. Terasa kehangatan tangan itu saat kulit mereka bersentuhan. Tidaklah sepanas pagi tadi tetapi sekurang-kurangnya suhu badan Kayyisa mulai turun selepas iv drip.

"Itulah, lain kali bila orang suruh makan tu makan. Dah sakit macam ni siapa susah? Putus cinta pun sampai tahan lapar, lepas tu mulalah demam. Tak cukup tenaga, pengsan."

"Jaz..." Keras nada suara Nadhif menegur Eijaz. Kepala digeleng perlahan.

Orang tengah sakit pun nak berkasar. Ya, Nadhif tahu Eijaz memesan kerana dia la yang paling risau sewaktu ceroboh bilik Kayyisa pagi tadi. Isterinya tak senang duduk apabila fikirkan Kayyisa sehingga menyuruh Eijaz membuka pintu. Nadhif pula keluar sarapan dengan Fayyad kerana alang-alang mereka nak ke bengkel untuk mengambil keretanya yang rosak tempoh hari. Ini pun, baru saja tiba tapi entah ke mana Fayyad menghilang.

"Dah, dah. Jangan serabutkan lagi kepala Kayyisa. Kayyisa ada nak makan apa-apa? Dari semalam Kayyisa tak makan, tak minum. Semua orang tengah risaukan Kayyisa," tanya Nadhif seraya bergerak menghampiri katil adik perempuannya.

"Abang cik belikan. Cakap la nak makan apa." Anaqi turut sama tampil mengambil berat.

Dalam kalangan adik-beradik mereka, Eijaz sajalah yang jenis kasar. Tak pandai tunjuk dan layan Kayyisa sebagai seorang adik perempuan. Dia main redah saja seperti Kayyisa itu anak lelaki. Cara dia tunjuk kasih sayang sesama adik-beradik lebih kepada kekasaran, bukanlah kelembutan.

Tika itu, Kayyisa tiada daya nak melawan kata-kata abang ngahnya. Dia cuma mampu senyap. Tak mahu fikir tentang itu lagi sementelah ia hanya membuatkan otak Kayyisa kusut. Gelengan diberi tanda Kayyisa tidak mahu apa-apa. Dia tak ada selera nak makan, dan tak ada apa-apa makanan yang dia inginkan.

"Makanlah sikit, Kayyisa. Isi perut yang kosong tu. Umi risau, abi pun risau." Encik Hasan bersuara pula.

Memikirkan Puan Sajidah dan Encik Hasan, Kayyisa akhirnya mengangguk, disertai dengan gumaman.

"Kayyisa nak makan..."

"Assalamualaikum. Eh? Kayyisa dah sedar? Saya ada belikan nasi ayam tapi tak terfikir pula nak beli lebih. Ada tujuh bungkus je, tak cukup untuk lagi sorang." Pintu bilik tersebut dibuka Fayyad. Sekaligus mematikan kata-kata Kayyisa. Fokus setiap orang kini terhala kepada lelaki berpakaian warna nude itu.

Mata Kayyisa jatuh pada plastik yang dijinjit oleh Fayyad. Lelaki itu meletakkan makanan yang dibeli di atas meja dikelilingi dengan sofa. Aneh sebentar Kayyisa dengan kehadiran Fayyad secara tiba-tiba di ruangan itu. Bagaimana lelaki tersebut boleh berada di sini bersama ahli keluarganya sedangkan dia cuma orang luar?

"Waalaikumsalam. Ya Allah, susah-susah je Fayyad."

Fayyad senyum nipis apabila dia disambut mesra oleh Encik Hasan.

"Tak ada la, pak cik. Tak susah pun. Dah masuk waktu tengah hari ni. Mesti semua orang lapar sementara tunggu Kayyisa bangun."

"Patutlah menghilang punya lama. Pergi merayau dekat kafe rupanya kau." Nadhif mencelah.

Terkucil ketawa Fayyad.

"Baguslah Fayyad ni. Boleh jadi menantu abi. Kan, abi?" Gurauan tak kena tempat oleh Eijaz menyepikan sekejap suasana bilik.

Dengar ketawa kecil Encik Hasan, diikuti dengan deheman dan batuk daripada Anaqi serta Nadhif memecahkan kejanggalan yang hadir.

"Abang ngah..." Kayyisa menyeru dengan nada serius. Matanya tajam memanah wajah Eijaz. Geram betul dia dengan abang yang satu itu. Cakap tak pandang kiri kanan.

"Apa? Betullah aku cakap. Kau pun dah putus dengan Airil, kan? Apa masalah kalau Fayyad jadi menantu abi?"

Ini satu hal lagi yang membuatkan Kayyisa pelik. Sejak bila pula dia bagitahu dia dah putus dengan Airil? Kalau ikutkan, mereka belum benar-benar memutuskan hubungan. Cuma, Kayyisa dan Airil menjarakkan diri demi kebaikan masing-masing. Tentang keinginan Encik Hasan agar Airil datang ke rumah biarlah dikuburkan saja buat masa ini. Kayyisa tidak mahu lagi fikirkan tentang perkahwinan. Biarlah dia fokus membaiki diri sahaja.

"Eijaz... sudahlah cari gaduh dengan adik tu. Kayyisa pun baru sedar dari pengsan. Kejap lagi, pengsan kali kedua pula." Puan Sajidah menggeleng kepala. Dalam diam, dia juga menahan senyum sebentar tadi. Siapa saja tak suka jika seseorang seperti Fayyad menjadi menantu.

"Hmm... Kayyisa nak makan nasi ayam ni ke? Kalau nak makanan lain, saya boleh belikan dekat kafe." Malas mahu berlama-lama dalam topik itu, Fayyad mengajukan pertanyaan lain kepada Kayyisa. Jantungnya kini berdetak tidak sekata apabila diusik oleh ahli keluarga Encik Hasan. Walaupun bilik tersebut mempunyai aircond tapi bahangnya tidak boleh dibawa bincang.

"Err... tak payahlah. Saya suruh abang cik je belikan."

"Tak apa, saya belikan."

Wajah Kayyisa berkerut. Degil juga mamat ini rupanya. Kayyisa tak ada masa nak berlawan mulut. Setiap orang yang berada di ruangan ini pun seperti memberi ruang untuk mereka berdua. Macamlah Kayyisa tak dapat tangkap senyuman yang memekar di ulas bibir masing-masing.

"Ikut awaklah. Saya nak bihun sup."

~

Sorry lama tak update. Saya try tamatkan cerita ni awal tahun depan kalau tak ada aral. Sebenarnya, nak update semalam tapi ada hal lain pula hshshs. Jangan lupa vote & comment.

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now