Bab 5

220 18 1
                                    

SUASANA di dalam kereta senyap sunyi. Tiada sebarang bicara keluar daripada mulut Kayyisa mahupun Fayyad. Kayyisa memilih untuk melayan perasaan. Manakala Fayyad pula memilih untuk fokus kepada pemanduan. Lama keadaan antara mereka hening sehinggalah Fayyad sendiri membuka mulut.

            "Awak buat apa malam-malam macam ni dekat luar? Abi dengan abang awak tahu tak?" Lembut suara Fayyad menutur.

Tetapi, tetaplah membuatkan telinga Kayyisa berasa panas. Anak matanya laju menjeling Fayyad melalui cermin pandang belakang. Tak cukup dengan tiga orang abang yang sedia ada, kali ini Fayyad pulakah ingin menambah kuota menjadi empat?

            "Perlu ke awak tahu?" Dingin. Kayyisa tidak rasa ingin bercakap apa-apa sekarang ini. Hatinya masih lagi terganggu dengan apa yang jadi antara dia dan Airil semasa di restoran tadi.

Fayyad sedikit pun tidak terusik dengan balasan yang diterima. Dalam diam, dia mengerling Kayyisa di sebelah. Gadis itu banyak termenung sejak masuk ke dalam keretanya. Membuatkan Fayyad juga tertanya apa yang dia fikirkan dengan wajah kosong itu.

            "Perlu, sebab saya kenal abi dengan abang awak. Secara tak langsung, saya juga bertanggungjawab atas keselamatan awak bila dia orang tak ada."

Kayyisa mempamer muka jelik. Jawapan itu sangatlah poyo baginya. Tak sangka, orang luar seperti Fayyad ada keyakinan sebegitu rupa, seolah dia la abang kandung Kayyisa.

            "Hmm... yalah. Lupa, awak dah jadi anak angkat merangkap anak kesayangan abi." Kayyisa membalas acuh tak acuh. Bebola mata diputar ke atas.

Fayyad senyum nipis. Anak kesayangan? Itu rupanya pandangan Kayyisa terhadap dia selama ini. Tapi, Fayyad tak nafikan dia agak rapat dengan Encik Hasan. Keserasian mereka sudah seperti seorang anak dan ayah. Dan, Fayyad sukakan kenyataan itu.

            "Pandai awak teka. Jadi, awak kenalah jawab soalan saya tadi."

            "Kalau saya tak jawab pun, awak dah dapat agak kan sebenarnya?" Kayyisa sengaja berkias dahulu.

            "Jumpa boyfriend?" teka Fayyad bersama kening yang terangkat. Tangan kekal mengawal stereng dengan lagak tenang.

Kayyisa menggumam malas sebagai jawapan. Sungguh, dia tiada mood untuk bercakap mengenai Airil ataupun hubungan cinta mereka sekarang ini. Dalam masa yang sama, dia sedang fikirkan juga apa yang dikatakan kepada si teman lelaki tadi. Seriuskah dia ingin berhijrah? Bercakap memang mudah tetapi jika tiada usaha, maka hasilnya juga tiada.

            "Ada apa jumpa dia malam-malam? Lain kali kalau nak jumpa, lebih baik jumpa waktu siang. Tapi, lagi elok kalau tak berjumpa terus. Awak perempuan, Kayyisa. Bahaya keluar sorang-sorang jumpa lelaki."

            "Memang tak berjumpa dah pun lepas ni. Awak tak payah la nak bebel saya macam mana abang-abang saya bebel. Saya tak nak dengar. Saya serabut." Muka Kayyisa berubah cemberut.

Fayyad diam. Agak terkejut dengan apa yang Kayyisa katakan. Benarkah apa yang dia fikir? Maksudnya, gadis itu sudah putus dengan teman lelakinya? Mahu bertanya lebih lanjut, Kayyisa pula nampak beremosi walaupun tiada air mata yang keluar setakat ini.

            "Saya tahu saya ni orang asing di mata awak, dan saya tak layak cakap macam ni. Tapi, awak kena tahu teguran abang-abang awak tu tandanya sayang. Apa-apa yang dia orang cakap, awak dengarlah sebab dia orang cuma nak menjaga awak. Saya lelaki, abang-abang awak pun lelaki. Jadi, kita orang lebih tahu tentang lelaki."

            "Apa maksud awak ni? Cuba cakap bagi jelas. Awak ingat saya faham ke?" Memicing mata Kayyisa. Tiba-tiba diberi tazkirah pendek oleh Fayyad, sudahlah ayatnya berlapis-lapis. Kalau tak nak dia faham, baik tak payah cakap.

Cinta KayyisaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang