Bab 1: Pemilik Bilik Gelap

194 4 0
                                    

Gelap. Bilik tidur itu cuma disirami cahaya yang terpancar daripada skrin-skrin komputer di atas meja belajar. Berns memasuki ruangan tersebut bersama muk berisi milo panas di tangan. Tiada inisiatif langsung daripadanya untuk menerangkan bilik berkenaan dengan mengetik punat lampu. Dia selesa dengan suasana misterius begini. Kegelapan menenangkannya.

Sambil menghirup milo pekat, dia menelaah isi papan gabus pada dinding yang bertentangan dengan meja belajar. Bayang-bayang tubuhnya bergentayangan menutupi sebahagian besar dinding itu. Dia mundar-mandir mengikut selirat benang merah yang dipacak paku-paku tekan pada papan tersebut, memikir. Paku-paku itu menjadi tempat gantung keratan-keratan surat khabar, artikel dan nota tentang beberapa 'kes dingin' yang sedang disiasatnya. Dua daripada keratan surat khabar dan artikel memapar tajuk berita berikut:

Kemalangan Gudang Perusahaan Hamdan: 3 Cedera, Seorang Maut

Kes Rompak: Mangsa Dibunuh Kejam

Menyeluruhi peta kes di depannya, Berns memerhati satu-persatu gambar-gambar mangsa yang terlibat dalam kes kemalangan gudang Perusahaan Hamdan dan juga kes rompak yang berlaku lebih 24 tahun yang lepas.

Daripada poket hoodie, dia mengeluarkan sekeping gambar pemuda dalam linkungan awal 20-an. Gambar itu dipakukannya ke papan gabus bersebelahan foto lama Hamdan bersama isterinya yang ketika itu sedang sarat mengandung. Bersama foto tersebut disertakan sekeping nota post-it yang tertulis, 'Adam Hamdan - Pewaris Syarikat'.

Penggera telefon yang berbunyi tiba-tiba merencatkan fokusnya ketika itu. Berns menyeluk kocek seluar, mengeluarkan telefon pintar yang menyala dan bergetar. Tantrum gajet berkenaan dia matikan - pukul 10.00 malam. Dunia maya sudah memanggilnya.

Berns bergerak ke meja belajar dan melabuhkan punggung ke kerusi boleh pusing. Muk milo panas mendarat di atas meja. Hoodie varsity yang dipakainya ditarik habis menutup kepala, dan headphones dengan mouth piece khas dikenakan ke telinga. Dia membuat cubaan suara beberapa kali sebelum mendaftar masuk ke laman rahsia pasukan Satwa Tenggara. Deep web dia selam.

Kruhhhh! Kruhhh! Kruhhh!

Terkejut! Bunyi berkeruh mendengung kuat, membingit gegendangnya.

"What the...." Tidak jadi dia mencarut. Sebaliknya Berns terlepas tawa sebaik melihat kartun harimau ganas bermata satu yang sedang berdengkur, siap dengan buih hingus yang kembang kempis, di dalam petak avatar di sudut kanan skrin komputer.

"Apahal malaun ni membuta dekat sini sorang-sorang?" Berns berkerut dahi, menggeleng pendek, tak puas hati.

Soalannya dijawab harimau ganas bermata satu dengan berdengkur lebih kuat lagi.

Kruhhh... Kruhhh... Kruhhh...

"Nak kena dia ni!" Jari-jemarinya dipatah-patahkan. Tengkuknya diregangkan, meletupkan juga temulang di situ. Tersenyum. Berns sedia untuk mengejutkan lena pemilik avatar harimau ganas bermata satu itu.

"Siap kau!" Dia merapatkan diri ke meja belajar. Dua tangan tangkas bekerja di papan kekunci. Sepasang mata meliar menatap informasi yang muncul di dua skrin komputer, kanan dan kiri.

Pada dinding papan gabus di belakang, kelihatan liuk bebayang tubuhnya yang seakan-akan bertanduk dua. Cetakan lampu jalan di luar pada penyangkut baju yang tersangkut di tingkap menghasilkan ilusi itu. Suasana bagai merestui rencana nakal Berns yang sedang berlangsung.

***

Memekak! Tidur Hisyam terganggu dengan suara garau yang menggelikan bulu telinga. Dia melibas headphones di kepala, menghalau pencemaran bunyi tersebut. Alat itu tertanggal lalu terjatuh ke lantai. Senyum. Mata kekal terpejam rapat. Seronok dia melayan mimpi bermain kejar-kejar dengan Selena Gomez di tepi pantai. Bising siaran TV yang terpasang, langsung tidak mengganggunya. Pipi melenyek-lenyek dada meja yang bertakung air liur basi. Senyum leretnya menjadi sengih merenyam. Hisyam terusan hanyut.

KoyakWhere stories live. Discover now