Walaupun itu agak menjengkelkan tapi sedikit sebanyak, dia kagum. Hirzan tak kekok berjumpa orang-orang baru. Berborak pun macam dah kenal lama. Nasib baik lelaki itu cuma mengaku mereka berdua hanya kawan. 

Depan emak aje bukan main menggeletis.

Dan sekali lagi, suara Atasha yang sedang gelak.

"Tapikan, kau tak pelik ke kenapa boleh jumpa?"

"Peliklah! Dalam puluhan ribu manusia, kenapa boleh terserempak dengan dia? Tapi fikir pun bukan aku dapat jawapan. Yang aku lagi hairan sekarang ni, mamat tu macam telan gula berlori-lori. Ayat manis semacam." Qis mencebik. Sama aje macam masa tengah bercinta dulu.

"Manis-manis nak curi hati kau lah tu. Aku syak dia nak ada hubungan balik dengan kau..."

Dan Qis... Juga terfikirkan hal yang sama.

"Memang taklah. Aku takkan termakan ayat manis dia. Tak ada peluang kedua." Qis tegas dan nekad. Kalau kena bergaduh dengan emaknya pun dia bersedia.

"Kalau kau tersungkur juga? Sebab jauh dalam dasar hati Qis Arlynna masih ada samar-samar nama Hirzan Daniq." Atasha tiba-tiba tanya dan kata begitu.

Qis diam sejenak. Dia yakin boleh. Hirzan pun belum tentu serius. Mungkin cuma hatinya saja tercuit dengan tingkah dan bicara lelaki itu.


***


SELESAI mengaminkan doanya, Qis menoleh ke belakang bila ada orang masuk bilik. Qisha pergi ke meja solek untuk membetulkan tudungnya. Qis pula bangun dan sidai sejadah dan telekungnya pada ampaian.

"Ayah dengan mak dah pergi ke?" soal Qis.

"Dah lama pergi," jawab Qisha.

Kenapa entah macam tergesa-gesa sangat nak pergi makan malam. Siap beri nama dan alamat kedai makan lagi dalam group Whatsapp keluarga besar. Suruh datang awal. Mungkinlah... Mungkin nak jaga tempat. 

Disebabkan bilik air dalam chalet ni cuma satu jadi mereka semua kena bergilir-gilir untuk guna. Apa lagi Qis kalau mandi, lambat mengalahkan puteri mewangi yang nak kena tabur bunga-bunga dalam kolam lepas itu usaikan solat maghrib.

Sudahnya pesan ayah, "Nanti Qis bawalah kereta ayah pergi restoran tu. Pergi sekali dengan adik-adik. Emak dengan ayah naik dengan maksu."

Qis berlalu ke meja solek. Dia pakai produk penjagaan muka macam biasa. Kemudian sekadar rias wajah ala kadar. Bedak foundation, pemerah pipi bagi naik seri, kening disikat bagi kemas, Bulu matanya disapu dengan maskara sedikit dan akhir sekali oleskan lipmatte jenama Wardah berwarna nude dan ada sedikit tona merah jambu dalamnya.

Dah siap!

Qis cepat-cepat ikat jam pada pergelangan tangannya lalu sangkut beg tangan ke bahu dan mengatur langkah keluar dari bilik. Kedua-dua adiknya sudah lama siap dan tunggu di ruang tamu.

"Jom!" Qis capai kunci kereta yang ada di atas meja. Lepas adik-adiknya keluar, kad akses bilik dicabut dari kotak putih dan tutup pintunya. Automatik terkunci sendiri.

Bila tengok Waze, restoran itu tak ada lah jauh mana. Lebih kurang 20 minit juga. Tempat nampak penuh macam tak ada parkir.

"Korang turun dulu. Akak nak cari parking. Lepas tu pandai-pandailah call ayah tanya dia kat mana," kata Qis.

"Okay..." balas Qhaira kemudian dia turun dari kereta sekali dengan Qisha.

Qis masuk balik gear dan gerakkan stereng. Kereta bergerak perlahan sambil mata mencari kotak parkir yang kosong. Paling tak pun mana-mana tempat yang boleh dia letak kereta ini.

"Siapalah yang parkir macam ni... Makan ruang. Ingat kereta kau besar sangat ke nak makan ruang macam tu," bebel Qis sendiri. Mana tidaknya, kotak parkir tu boleh muat dua kereta. 

Tapi tak jauh dari situ, kebetulan ada kereta yang baru keluar dan Qis terus masuk.

"Alhamdulillah." Bolehlah walaupun jauh nak jalan kaki ke kedai makan itu.

Masa melangkah, hidungnya terbau laut. Dek gelap malam, dia tak perasan yang restoran ini tidak jauh dari pantai. Masuk saja, ruang di sebelah kanan penuh dengan orang yang sudah duduk di meja makan. Sebelah kiri pula lebih kurang macam pasar. Mungkin tempat untuk pelanggan pilih makanan laut yang mereka mahu.

Qis teruskan melangkah. Telefon dibelek untuk telefon Qisha dan tanya keberadaan mereka.

"Qis Arlynna."

Terdengar nama diseru, kepala menoleh. Sedikit terkejut sebab Hirzan berdiri di sebelah.

"Eh Hirz, makan kat sini juga ke?" soal Qis sekadar berbasa-basi. Walaupun jawapannya sudah tentu ya. Kalau tidak, tak ada lah Hirzan di sini. 

"Ha'ah. Sejak sampai memang inilah kedai yang kami pergi. Kau cari family kau ke?"

Qis teragak-agak nak angguk. Mulut pula sampai tak terkeluar nak bercakap. Pandangan dibuang ke arah lain bila perasan yang Hirzan pandangnya. Semacam... Renungan mata lelaki itu, yang dia suka pandang ketika mereka buat panggilan video sekali-sekala. 

Sekarang tiba-tiba tak boleh. Kenapa ya? Malu... Kekok? Tak biasa dipandang mahram? Banyaklah kau Qis Arlynna. Fikirannya tengah berperang saat ini.

"Aku nampak diorang tadi. Jom aku bawa kau ke sana." Hirzan mendahului langkah. Qis ikut di belakang.

Tiba di satu ruang dalam kedai ini, dahi Qis berkerut pelik. Kenapa meja keluarganya yang lain di sana? Dia mengintai di sebalik tubuh tinggi Hirzan untuk tengok. Terkejut sebab emak, ayah, adik-adiknya termasuk atuk dan nenek duduk semeja dengan orang-orang yang dia tidak kenal.

Kecuali... Wanita yang dia jumpa sewaktu main ATV siang tadi. Kejap... Jangan cakap yang ini keluarga Hirzan.

"Ini ke Qis Arlynna? Manis molek orangnya. Makcik ni ibu Hirzan. Makcik yang suruh Hirzan jemput keluarga Qis makan malam sekali dengan kami. Qis okay kan?" Suara seorang wanita yang nampak macam sebaya emak Qis.

Qis terus senyum dan bersalam dengan wanita itu.

"Apa khabar makcik? Qis... Okay je. Seronok dapat jumpa dan kenal." Qis terus senyum dan mengerling tajam kepada Hirzan.

Hirzan pula cuma tahan senyum.

His ReturnWhere stories live. Discover now