Gila! Betapa kejamnya Gate terhadap gadis-gadis ini. Mengapa perlu melayan mereka sebegitu rupa? Selepas sahaja si ketua itu mengugut untuk membunuh, Dafinah terus menyantap hidangannya.

'Maaf, Dafinah. Aku tahu kau tengah berada dalam ketakutan sekarang ini! Aku tak boleh nak tolong kau keluar sebab aku pun senasib dengan kau.' Mukanya diraup kasar.

Dia tidak terkata-kata lagi apabila Gate mengarah Young dan Joe meniarapkan lagi empat orang gadis yang sedari tadi memerhatikan situasi tersebut. Makanan itu ditumpahkan sama seperti yang dia lakukan kepada Dafinah tetapi tidak selembutnya. Makanan itu terburai di atas lantai begitu sahaja. Dia mahu melawan tetapi keberaniannya tiba-tiba hilang. Dia sudah tahu apa nasib yang bakal menimpanya. Dia kini tidak ubah seperti seorang pengecut.

Bodoh betul apabila teringat semula kejadian sebentar tadi. Ya, Tuhan... Ampunkanlah dosanya yang satu ini.

Dia tidak sanggup untuk tengok semua itu di depan matanya sendiri. Selama dia bekerja dengan mereka, inilah pertama kali dia melihat sendiri betapa kejamnya layanan Gate dan yang lain-lain kepada perempuan yang tidak bersalah. Dia tahu mereka pengedar dadah yang hebat dan berani menentang apa sahaja bala yang datang, tetapi tak akanlah tiada sifat simpati langsung? Memanglah gadis-gadis ini mangsa, tetapi janganlah dilayan buruk sebegini! Entah apalah nasib mereka selepas dijual nanti.

Akibat tidak tahan menonton kelakuan kejam lelaki-lelaki itu, dia terus keluar dari bilik itu tanpa sebarang kata. Sempat dia menjeling raut wajah Dafinah yang meminta belas kasihan terhadapnya. Apa yang dia boleh buat? Perempuan itu sendiri yang terjebak dalam masalah itu... Biarlah dia yang menanggung semua ini kerana dirinya juga tidak stabil sekarang ini.

Mengapa mindanya kacau-bilau dan hatinya sakit seolah-olah ditoreh dengan pisau yang tajam apabila teringat kejadian tadi? Walhal dia tidak mahu mempedulikan tentang nasib malang mangsa-mangsa itu semua. Ah! Huzaiman... Kau itu penjenayah! Bekas banduan pula itu! Sudah terang lagi bersuluh kau pendosa! Pada bila-bila masa sahaja kau akan dihumban semula masuk ke dalam bilik besi atas kebodohan kau sendiri. Bisikan-bisikan itu sering mengganggu hidupnya seakan-akan mengatakan bahawa dia langsung tiada peluang untuk hidup dengan sempurna seperti yang diingini.

Batang tubuhnya disandarkan pada dinding bangunan luar itu sambil berbicara melalui udara.

"Ibu... Fuad harap ibu tak sedih tengok hidup Fuad macam ini. Maafkan Fuad sebab tak dapat nak jadi anak yang baik." Huzaiman sangat rindukan mendiang ibunya dan berharap dia mendengar apa sahaja yang diluahkannya.

Kesedihan menyelubungi, kotak rokok dikeluarkan dari poket seluar lalu dia menarik keluar sebatang. Hati yang gundah sedikit sebanyak dapat dikawal setelah menyedut asap rokok itu. Dia tak pernah minta untuk menjadi orang jahat dan dia tak pernah terfikir dia akan lakukan perkara ini dalam hidup. Rambutnya diramas kasar memandang kawasan gelap yang hanya dipenuhi dengan batang-batang pokok tebal. Cahaya matahari yang masih samar sedikit sebanyak menerobos di celah-celah pokok-pokok tadi.

Tidak lama kemudian, Spoon menghampirinya lalu bersandar sama seperti tubuhnya.

"Cigarette please?"

Pinta Spoon sambil kolam matanya turut memerhati permandangan yang mula kian cerah di hadapan mereka.

Huzaiman bermuka masam tetapi diberikan sahaja sebatang rokok kepada Spoon. Rokok itu dibakar hujung kemudian disedut. Kepalanya mendongak merenung siling atap yang bocor. Asap dihembus perlahan-lahan dari ruang mulutnya. Mereka berdua tidak berbicara langsung selama beberapa minit, tetapi tiba-tiba Spoon bersuara perlahan.

"Kasihan?"

Spoon nampaknya dapat menangkap perasaannya sekarang ini. Dia diam tak membalas. Batang rokok berbara disedut keras dengan kening mengerut tajam.

Rahsia Kau dan AkuWhere stories live. Discover now