PAGI ini tiba-tiba mereka semua dipanggil ke bilik mesyuarat. Ada mesyuarat tergempar katanya. Mata Aileen melilau mencari kelibat sang suami.

Hujung bibirnya ternaik sedikit saat matanya bertembung dengan mata lelaki itu. Hayl pula cepat-cepat memandang ke arah lain. Pura-pura tidak melihat Aileen.

“Apa awak buat ni Cik Aileen? Saya nak awak buat semula.” Helaian kertas itu dihentak kuat ke atas meja.

Aileen terdiam. Dia rasa macam nak menangis je sekarang ni bila semua mata yang berada di dalam bilik mesyuarat itu terhala padanya.

“Baik puan,” balas Aileen akur. Dia hanya menundukkan kepalanya. Malu nak bertentang mata dengan yang lain.

Hayl mengetap bibir melihat isterinya dimarahi orang atasan. Dan... Dia tak mampu nak buat apa-apa sekarang ni. Urusan kerja Aileen tiada kena-mengena dengannya jadi dia tidak boleh masuk campur.

Aneh. Aileen itu seorang yang peka dan teliti dengan kerjanya. Sepanjang dia bekerja di sini, belum pernah lagi dia melakukan kesalahan seperti ini.

“Jangan campur adukkan urusan kerja dengan urusan peribadi.”

Telinga Aileen mengesan sindiran pada ayat wanita itu. Tahulah dia kini satu pejabat sudah tahu tentang masalah peribadinya. Tentu saja mereka sudah tahu yang kini Hayl sudah mempunyai isteri yang lain selainnya.

Habis saja mesyuarat, Aileen cepat-cepat berlalu meninggalkan bilik mesyuarat itu. Hayl pula hanya mampu memerhati kelibat isterinya itu menghilang. Terbit rasa bersalah di hatinya kerana tidak mampu buat apa-apa untuk mempertahankan Aileen.

Sejujurnya dia tidak marahkan Aileen. Dia cuma sedikit kecewa dengan wanita itu. Hayl tahu semua ini berpunca daripadanya. Tapi dia agak terkilan dengan tindakan Aileen. Tindakan Aileen seolah-olah mahu dia pergi jauh daripada kehidupan wanita itu.


SUDAH tiga hari Hayl bermalam di rumah Dhia. Membuatkan Dhia tertanya-tanya. Mengapa Hayl tidak pulang ke rumah Aileen?

Walaupun Hayl tidur di rumah Dhia, mereka tidak tidur di dalam bilik yang sama. Awal-awal lagi Hayl sudah memberitahu Dhia yang dia tidak akan menyentuh wanita itu.

Dhia sedikit terkilan namun dia akur dengan keputusan Hayl. Dia faham perkahwinan ini bukanlah atas kemahuan Hayl sendiri.

“Hayl tak balik rumah Aileen ke?” soal Dhia.

Hayl yang sedang menonton televisyen itu tersentak. Sejujurnya hatinya memberontak mahu pulang berjumpa dengan Aileen. Dia rindukan wanita itu. Tapi melihat Aileen langsung tiada usaha untuk memujuknya, Hayl batalkan niatnya.

Mujurlah mereka bekerja di bawah bumbung yang sama. Hayl masih dapat curi-curi melihat Aileen walaupun hanya daripada jauh.

“Bila Dhia jumpa doktor?” soal Hayl. Sengaja menukar topik perbualan mereka.

Dhia menghela nafas perlahan. Dia melabuhkan duduk di atas sofa bersebelahan dengan Hayl.

“Pagi esok.”

“Nak Hayl temankan?” tawar Hayl.

Dhia menggeleng. “Dhia boleh pergi sendiri.”

“Kalau nak Hayl temankan, Hayl boleh ambil cuti.”

“Takpa ke?” soal Dhia sebak. Sedikit terharu dengan keprihatinan Hayl.

Sejujurnya dia sangat takut untuk bertemu dengan doktor esok.

“Esok Hayl temankan.” Hayl senyum segaris. Dia tahu Dhia bimbang. Sejujurnya dia sendiri terkejut bila Dhia memberitahunya yang dia menghidap kanser limfoma.

Jika Harus Begitu Where stories live. Discover now