Bab 10

49 8 1
                                    

Ini bab terakhir yang kita share dekat sini ya. Apa-apa nanti kita update semula. Happy reading!


SAMBIL menulis, Mariam menjengah ke luar kilang batiknya mencari kelibat Sabreena yang sejak tadi tidak kelihatan. Katanya mahu ke pasar mini sahaja tetapi sehingga masuk ke waktu Zuhur Sabreena masih belum pulang.

Nafas ditarik dalam. Fokusnya terhadap kerja sudah lama hilang sejak menerima panggilan daripada kakaknya di Kuala Lumpur. Jauh di sudut hati dia agak terasa dengan kata-kata kakaknya itu. Nampak seperti dia yang beria ingin menumpang kasih anak saudaranya sendiri.

Beginilah nasib orang yang tidak punya waris. Usahkan kasih sayang anak dan suami, kasih sayang saudara sendiri juga tidak mampu digapai. Kertas yang berada di tangan hampir direnyuk bagi melempiaskan segala rasa yang terbuku di hati.

"Mak su!"

Pantas Mariam mengangkat wajah bila terdengar suara Sabreena memanggil namanya.

"Haaa panasnya..."

Masuk sahaja ke dalam kilang, Sabreena terus melabuhkan duduk di kerusi hadapan meja kerja Mariam. Kaki dilunjurkan ke hadapan dengan badan yang disandarkan ke belakang. Menghilangkan lelah dan bahang akibat cuaca panas di luar.

"Bree pergi mana?"

"Pergi pasar mini beli barang sikit mak su." Jawab Sabreena dengan kepala yang mendongak memandang siling.

"Lamanya. Bukan jauh pun pasar mini tu."

Mata Sabreena terkebil-kebil memandang siling. Dia dapat rasa ada kelainan dalam nada suara mak sunya itu. Badan ditegakkan semula dan Sabreena memperbetulkan duduk sebelum dia memandang Mariam yang sedang memandang ke arahnya.

"Mak su okey?"

"Bree memang dah nekad ke nak kerja dekat sini dengan mak su?"

Soalan berbalas soalan membuatkan mereka berdua diam sejenak. Menunggu jawapan yang dinanti sehingga akhirnya Sabreena memilih untuk menjawab soalan Mariam.

"Dah seminggu Bree dekat sini mak su. Kenapa? Mak su tak yakin ke yang Bree nak kerja dengan mak su? Sebab Bree keluar beli barang tadi ke?"

Baru hari ini dia minta untuk keluar pada waktu bekerja. Itupun setelah menyelesaikan tugasnya mendokumentasi urusan perniagaan batik mereka.

Mariam menghela nafas dengan sedikit berat.

"Mak su rasa ada baiknya Bree balik ke KL dulu, jumpa dan bincang dengan mama tentang perkara ini. Lebih bagus kalau mama dengar dari mulut Bree sendiri."

Kening Sabreena mula bertaut. "Kenapa, tiba-tiba je mak su..."

"Minggu lepas mama Bree call mak su dan minta mak su pujuk Bree supaya balik ke KL semula. Sebab itu mak su tanya Bree nak tinggal dekat sini berapa lama. Memang mak su suka Bree tinggal dekat sini, tapi mama lebih perlukan Bree di sana."

"Mak su, kita dah pernah bincang kan tentang perkara ni."

"Tapi mak su tak nak dituduh yang mak su tak bagi Bree balik ke sana."

"Siapa yang tuduh mak su? Mama?" Wajah Sabreena mula berubah tegang. Tidak sangka mamanya sanggup menuduh mak su begitu. Walhal mak su itu bukannya orang lain, adik dia sendiri.

Mariam menghela nafas keras. "Kalau tak nak balik, call mama. Cakap sendiri dengan dia kenapa Bree nak tinggal dekat sini. Sampai bila nak bergaduh dengan mama?" Nada suara Mariam mula berubah.

"Bergaduh dengan mak sendiri sampai tak nak bercakap. Tak baik tahu tak Sabreena. Awak tu anak, kenalah mengalah dengan mak."

"Mak su tak faham..."

ENCIK ACHBAR & MISS BWhere stories live. Discover now