Bab 5

48 4 2
                                    


Seminggu kemudian...

SKRU diperkemaskan sebelum Achbar menolak badannya keluar dari bawah kereta. Spanar yang diguna turut dicampakkan ke dalam kotak perkakas membaiki kereta yang berada berdekatan dengannya.

Hari ini bengkel tidak sibuk seperti hari sebelumnya. Banyak kereta yang telah siap dibaiki telah diambil oleh pemiliknya sejak semalam. Yang tinggal hanya beberapa buah kereta sahaja yang mengambil masa lebih lama untuk dibaiki.

Teh O ais yang tersangkut pada paku di dinding diambil sebelum disedut rakus bagi menghilangkan dahaga. Boleh tahan panas bila hampir setengah jam berada di bawah kereta.

"Dah siap ke bang?"

Achbar berpaling ke arah Fakrul yang sedang melangkah masuk ke dalam bengkel bersama bungkusan di tangan.

"Belum. Kau ke mana lama sangat? Kata nak pergi bank."

"Dari bank la ni bang, ramai sangat orangnya itu yang lama. Lepas tu singgah beli pisang goreng ni sekejap. Jom bang jamah ni dulu."

Fakrul berlalu ke arah kerusi dan meja yang tersedia di dalam bengkel tersebut dan membuka plastik berisi pisang goreng yang baru dibelinya tadi. Tidak lama kemudian Achbar ikut serta setelah mencuci tangan.

"Panas lagi ni bang, lebih baik makan sekarang. Bila dah sejuk nanti dah lemau, tak sedap."

Achbar angguk setuju sambil menyuap sekeping pisang goreng ke mulut. Sungguh, pisang goreng lebih sedap dinikmati ketika masih panas begini. Ketika Achbar mengambil kepingan kedua, telefon yang diletakkan di atas meja berbunyi. Tanpa lengah panggilan tersebut dijawab.

"Ya mak su, ada apa?" Soal Achbar setelah menjawab salam wanita yang dipanggil mak su itu.

"Achbar sibuk ke? Mak su nak minta tolong dengan Achbar ni."

"Tolong apa tu mak su? Kereta rosak ke?" Sempat kepingan kedua pisang goreng disuap ke mulut. Sambil mengunyah dia bersedia menantikan jawapan Mariam.

"Sepatutnya mak su kena pergi airport, jemput anak saudara mak su yang datang dari KL. Tapi tadi mak su dapat panggilan daripada jabatan kebudayaan, mereka nak jumpa mak su petang ini."

Achbar angguk faham.

"Jadi mak su nak minta tolong Achbar jemput anak saudara mak su dekat airport, boleh tak? Ke Achbar sibuk?"

"Sekarang ke mak su?"

"Ya sekarang. Flight dia sampai pukul 4.30 petang nanti."

Achbar pandang jam yang tergantung di dinding. Tinggal satu jam sebelum penerbangan anak saudara Mak Su Yam tiba. Bisik Achbar.

"Boleh mak su, nanti saya jemput anak saudara mak su dekat sana."

"Alhamdulillah, terima kasih Achbar." Jelas kedengaran nada lega dalam suara Mariam.

"Nama dia Bree. Sekejap lagi mak su hantar gambar Bree kepada Achbar ya. Takut nanti tertukar orang pula."

Achbar melepaskan tawa mendengar gurauan Mariam.

"Baik mak su, boleh."

"Kalau macam tu mak su letak dulu ya. Terima kasih Achbar."

"Sama-sama mak su." Nafas dihela perlahan sebaik sahaja panggilan ditamatkan. Achbar terus memandang skrin telefon sementara menantikan gambar yang akan dihantar oleh Mariam.

"Kenapa bang? Siapa yang telefon tadi tu?"

Achbar berpaling ke belakang dan duduk semula di sebelah Fakrul. "Mak Su Yam, minta tolong jemput anak saudara dia dekat airport. Dia tak boleh jemput katanya."

ENCIK ACHBAR & MISS BWhere stories live. Discover now