Tinggal hanya beberapa langkah saja lagi dia menghampiri kereta mewahnya dalam Amaara tidak sedar, dia tiba-tiba saja dirempuh kasar oleh seseorang. Bagaikan nangka busuk punggungnya jatuh ke lantai.

"Aduh! Sakitnya punggung aku!" terlepas seringai kecil dari bibir munggilnya.

"Amaara!" lekas Jiha mendapatkan Amaara.

"Maaf, cik... Maaf... Saya betul-betul tak sengaja," tegur satu suara garau. Beg-beg kertas yang bertaburan dikutip laju.

"Maaf, maaf! Kau ni buta ke apa?! Sampaikan aku yang cukup besar ni pun kau nak langgar!" marah Amaara. Atas bantuan Jiha lekas dia bangun berdiri. Wajah sang jejaka yang sedang menunduk itu direnung bagaikan harimau yang sedang kelaparan.

Wajah yang setia menunduk tadi lekas diangkat. Melihatkan dua wanita cantik yang berdiri di hadapannya ini, pandangan lekas dilarikan. Tak selesa dia melihatkan pemakaian kedua-dua gadis ini.

"Saya betul-betul minta maaf. Saya tahu salah saya sebab jalan tak tengok depan. Saya nak cepat tadi," ujar sang jejaka serba salah.

"Aku peduli apa kau nak cepat sekalipun. Mata tu ada pakailah bukannya simpan buat pekasam!" hambur Amaara.

"Maara, dahlah tu. Dia dah minta maaf dah kan? Tak payahlah kau nak marah-marah lagi. Malulah orang tengok," celah Jiha. Tak selesa apabila ada yang mula berbisik-bisik melihatkan adegan tidak berbayar itu.

"Saya betul-betul minta maaf. Takpelah kalau cik rasa, cik ada cedera dekat mana-mana kita boleh ke klinik. Saya akan bayar kos rawatan dan kos ganti rugi pada cik," lembut sang jejaka berbicara.

Tersungging senyuman sinis dibibir Amaara. Mata merenung tajam ke wajah yang langsung tidak mahu bertentang mata dengannya itu. "Kau? Nak bayar ganti rugi pada aku? Berapa sen sangat duit yang kau ada? Silap hari bulan kau nak bayar bil klinik aku pun tak cukup. Aku ni belum cukup kejam lagi nak paw orang miskin macam kau ni."

Melihatkan kebisuan sang jejaka, Jiha lekas bersuara. "Maara, dahlah tu. Jomlah kita balik. Daripada kau buang masa melayan mamat ni, baik kita blah," ajak Jiha.

"Nasib kau baik hari ni sebab aku nak cepat. Tapi pastikan lepas ni aku tak jumpa kau dekat mana-mana dah. Jangan berani-berani muncul depan aku lagi," keras amaran diberikan.

"Baik cik. Maaf sekali lagi daripada saya," tutur sang jejaka.

"Kau punya maaf tu boleh berambus," tanpa amaran beg kertas miliknya dirampas kasar. Usai itu dengan penuh gaya, kaki melangkah meninggalkan sang jejaka yang terkebil-kebil sendirian.

Hembusan nafas dihela berat. Dada yang berentak tidak seirama diusap perlahan-lahan. "Astaghfirullahalazim..." gumam Razif sendirian.


*****


GAUN labuh berwarna merah dengan potongan belahan di bahagian dada tersarung kemas ditubuh langsingnya. Rambut panjang miliknya pula di sanggul rapi sekaligus menampakkan leher jinjangnya yang putih dan gebu itu.

Jika melibatkan majlis korporat sebegini, Amaara pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mempamerkan penampilannya yang cukup menarik. Tujuannya adalah satu, mahu memancing perhatian golongan VVIP yang pasti akan mengejarnya hanya kerana mahu mendapatkan perkhidmatannya kelak.

Puas hati dengan penampilannya, langkah diatur penuh gaya menuju ke kenderaan mewah milik Dato Saiful yang sudah sedia menunggunya. Tubuh diloloskan masuk ke dalam perut kereta bersama senyuman menggodanya.

Dato Saiful yang sudah terpancing nafsunya saat melihatkan penampilan Amaara yang kelihatan sungguh seksi itu lekas merangkul tubuh langsing wanita itu. Dilabuhkan ciuman dipipi Amaara tanpa rasa bersalah. Tangan pula sudah dibawa merayap ke sana sini merasai lekuk tubuh wanita itu.

Arah Mana Syurga (E-BOOK) Where stories live. Discover now