Bab 1 (A)

115 4 0
                                    

5 TAHUN SEBELUM...


MATA Ainaa tak berkelip memandang pakaian bayi di dalam pangkuannya. Setiap satunya dibelek satu per satu sehinggalah matanya terarah pada baju yang dipakai oleh Zaheen untuk kali terakhir.

Terketar-ketar tangannya ketika mengambil baju itu. Masih terbayang-bayang di mata senyuman Zaheen ketika memakai baju ini. Comel! Anak dia sangat comel!

Dihidu lama bauan Zaheen yang masih melekat di baju itu sebelum dibawa ke bibir. Dikucup lama dan perlahan-lahan air matanya mula gugur. Setitik demi setitik.

Baru sepuluh hari. Sepuluh hari yang sangat membahagiakan tetapi kini kebahagiaannya telah direnggut pergi.

"Anak ibu..." Baju Zaheen dicium lama. Tidak dipedulikan air mata yang mengalir laju. Tangan membawa kesemua baju itu rapat ke dada. Kali ini tangisannya pecah. Semakin lama semakin kuat sehinggakan dadanya terasa sakit.

Sakit! Sakitnya Ya Allah!

"Ainaa..." Maryam melangkah masuk ke dalam bilik. Hatinya terusik melihat Ainaa yang sedang memeluk baju-baju Zaheen.

Sebaik saja dimaklumkan oleh Puan Husna mengenai keadaan Ainaa yang banyak berkurung di dalam bilik, Maryam terus ke sini. Lihat sajalah keadaan Ainaa sekarang.

Mata sembap, hidung merah. Maryam tahu hati Ainaa hancur berkecai. Ditinggalkan suami dan kini anak yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari pula telah pergi meninggalkan Ainaa buat selama-lamanya.

Dengan langkah perlahan, dihampiri Ainaa yang masih menangis. Masih lagi menghidu dan mengucup baju-baju Zaheen sehinggakan air mata Maryam turut mengalir membasahi pipi. Dia yang hanya melihat keadaan Ainaa turut terasa sakit, apatah lagi Ainaa yang sedang menanggung beban derita.

Spontan Maryam mengusap perutnya. Dapat dirasakan tendangan lembut dari dalam perutnya. Tak boleh dibayangkan jika dia berada di tempat Ainaa. Mungkin dia akan jadi lebih teruk agaknya.

"Ainaa..." Sekali lagi Maryam menyeru. Kali ini dia terus duduk di sebelah Ainaa seraya tangannya mengusap bahu Ainaa. Menyalurkan kekuatan yang tidak seberapa kepada Ainaa.

"Anak aku, Mar..." Suara Ainaa bergetar hebat. Nafasnya menjadi pendek, menahan esakan yang tiada penghujung.

Sakit. Hanya itu yang dirasakan oleh Ainaa sekarang. Terasa seperti hatinya dihancurkan berulang kali setiap kali melihat segala barangan Zaheen.

"Aku tahu, Ainaa."

"Aku sayang anak aku, Mar."

Maryam menyeka air matanya. Dia perlu kuat untuk Ainaa. Jika dia sendiri lemah, Ainaa akan menjadi semakin lemah. Dipaut tubuh Ainaa rapat ke tubuhnya. Berkali-kali juga bibirnya beristighar di telinga Ainaa.

"Semua ini jadi kerana ketentuan Allah, Ainaa. Aku tahu sakit tapi kau kena sabar. Allah tak menduga hamba-Nya lebih daripada kemampuan hamba-Nya itu," ucap Maryam lembut.

Kemudian dicapai tangan kanan Ainaa dan dibawa ke perutnya. Diletakkan tangan Ainaa di situ supaya Ainaa dapat merasakan pergerakan anaknya. Melihat tangisan Ainaa yang semakin berkurangan membuatkan Maryam tersenyum kecil.

"Anak aku, anak kau juga. Kita jaga sama-sama. Kalau ada apa-apa jadi dekat aku, aku nak kau jaga anak aku. Jadi ibu susuan dia. Jadi ibu dia."

Sejak semalam, Maryam sudah memikirkan perkara ini. Jika ditakdirkan dia tidak mampu memberikan susu badan kepada anaknya, Maryam mahu Ainaa yang menjadi ibu susuan. Dan Hakeef turut bersetuju. Tiada sebarang bantahan daripada suaminya itu.

Mata sembab Ainaa memandang Maryam lama. Kemudian, matanya tertancap pula pada perut Maryam. Tendangan demi tendangan yang dirasai oleh Ainaa mendamaikan hatinya. Seolah-olah anak Maryam sedang cuba memujuk.

Perlahan-lahan Ainaa mengangguk. Anak Maryam, anak dia juga. Dia akan sayangkan anak Maryam seperti anaknya sendiri. 

Bila DenganmuWhere stories live. Discover now