Aduh... Adrina lupa wanita di hadapannya ibu segala degil. Sukar termakan pujukan.

“Hani, dengar cakap aku. Kau kena rehat...”

“Kenapa kau asyik suruh aku rehat? Aku dah cakap aku sihat, kan? Aku nak tengok anak aku. Kau macam tak bagi aku tengok anak je. Kenapa dengan anak aku? Ada something yang kau dan semua orang tak bagitau aku ke? Kalau setakat dia dekat NICU sebab tak cukup bulan, benda tu normal, kan?” Tihani menyerang Adrina dengan pelbagai soalan.

Tangan Adrina dipegang. Dia terus mendesak Adrina supaya menceritakan segala-galanya. Pasti ada yang tak kena. Dia yakin sangat ada sesuatu yang mereka sorokkan dari pengetahuannya.

Ketika Adrina tunjukkan gambar Arrian dia sudah dapat mengagak sesuatu. Arrian terlihat sangat kecil dalam gambar itu.

Apakah kerana Arrian lahir tak cukup bulan, maka pelbagai masalah timbul disebabkan itu? Dia mencongak hari, juga tarikh dia dijangka bersalin.

“Kenapa dengan Arrian? Apa yang kau sembunyikan daripada aku?”

Tihani mula panik. Sungguh dia ketakutan. Bagaimana jika terjadi sesuatu kepada bayinya disebabkan kecuaian dirinya menjaga diri? Dia cukup tahu diri. Meskipun dia sudah berusaha sekuat mungkin, dia sedar ada banyak kekurangan yang gagal diatasi sepanjang proses kehamilannya, lebih-lebih lagi hal yang melibatkan mentalnya.

“Rin, jawab soalan aku! Jangan diam macam ni. Rin!”

“Hani, istighfar. Jangan macam ni. Arrian... Arrian okey. Cuma tak cukup berat aje. Kena letak bawah pemantauan doktor sebab doktor nak pastikan tahap perkembangan Arrian positif. Kau jangan risau, ya.” Pujuk Adrina cuba menenangkan Tihani.

“Kalau setakat berat tak cukup, kenapa kau tak bagi aku tengok Arrian?”

“Sebab kau lemah lagi. Aku tak nak apa-apa jadi pada kau.” Yang benarnya dia tidak mahu Tihani melihat Arrian yang berselirat dengan wayar.

“Betul ke? Kau tak tipu aku?” Tanya Tihani meminta kepastian. Hatinya berat mahu percayakan kata-kata Adrina. Nalurinya berat mengatakan masih ada sesuatu yang janggal.

Adrina angguk. “Betul...”

“Anak aku minum apa?” Tihani pegang dadanya. “Kenapa susu aku tak nak keluar?”

Sejak dia sedar baru dia perasan susu dadanya belum keluar. Normalkah situasi ini? Bukankah seharusnya kelenjar susunya sudah menghasilkan susu?

“Hani, relaks. Bukan semua perempuan lepas melahirkan terus keluar susu dada. Ada yang ambil masa beberapa hari. Kau mungkin salah seorang.”

“Tapi...”

“Pasal Arrian kau jangan risau. Hospital bagi susu formula terbaik untuk anak kau.”

Ah, dia mahu memberikan susunya kepada Arrian, bukan susu lembu. Apa guna dia jadi ibu jika hal sekecil ini pun tak mampu dia lakukan.

Dia tak dapat rasakan nikmat melahirkan Arrian. Arrian lahir dalam keadaan dia tak sedarkan diri. Sekarang dia dihadapkan dengan masalah susu tidak mahu keluar. Selepas ini apa lagi kenyataan yang perlu dia hadap?

Bahu Tihani diusap lembut, “Kau rehat ya. Aku nak pergi surau sekejap. Kau kena jaga diri kau. Jangan fikir bukan-bukan. Ingat, Arrian perlukan kau.”

Selagi Ada CintaWhere stories live. Discover now