Aisya tersenyum tawar. Nasib dirinya diadukan kepada ibu dan ayahnya dengan harapan agar mereka mendengar akan setiap luahan deritanya itu.

Aisya menarik nafas yang dalam sebelum kembali meluahkan segala kesakitan yang terbuku di lubuk hatinya selama ini.

"Tapi semua itu dah berakhir, Tuan Riyyadh dah ceraikan Aisya. Aisya bukan siapa-siapa dalam hidup dia. Aisya redha. Tapi, Aisya tak mampu untuk tipu hati Aisya lagi...Aisya sayangkan dia...hati Aisya sakit bila tengok dia bermesra dengan kekasih dia. Tapi, Aisya sedar yang Aisya tak layak untuk mendampingi dia. Aisya miskin, Aisya tak berpelajaran, mana mungkin lelaki hebat macam Tuan Riyyadh sanggup untuk beristerikan Aisya. Nanti dia malu kalau ada isteri macam Aisya. Dan Aisya harap Tuan Riyyadh akan bahagia dengan kekasih dia. Doa Aisya sentiasa ada untuk dia."

Bibir dan dagu Aisya bergetar kuat. Menderu-deru air matanya mengalir ke segenap wajah.

Semakin kuat tangisannya apabila perutnya dipandang.

Bibirnya menarik senyuman yang bergetar.

"Aisya ada satu berita gembira untuk ibu dan ayah. Tak lama lagi, Aisya akan jadi seorang ibu. Aisya mengandung. Nanti ibu dan ayah akan jadi atuk dan nenek. Allah gantikan kesedihan Aisya dengan kehadiran anak ni. Aisya gembira sangat-sangat. Dan kalau ibu ayah ada, mesti ibu ayah akan gembira jugak. Tapi, dalam masa yang sama, Aisya takut. Ibu ayah tak ada untuk temankan Aisya bersalin nanti. Suami Aisya pun tak ada. Aisya takut..."

Tangannya dibawa mengusap pada perutnya. Anaknya bersama Riyyadh. Anak yang hadir menemaninya di saat dugaan yang hebat diturunkan kepadanya.

Sungguh besar dan hebat dugaan yang melanda Aisya.

Langit yang semakin gelap menghiasi alam membuatkan Aisya terpaksa mengundurkan diri.

Titis-titis hujan yang mula turun membasahi hidupan di bumi kini bersatu dengan air matanya.

Dikesat sedikit wajahnya yang basah itu.

"Ibu ayah, Aisya balik dulu ya? Hari dah makin gelap. Nanti, Aisya datang lagi. Aisya akan datang temankan ibu ayah dekat sini. Ibu ayah tunggu Aisya ya?"

Batu nisan ibu dan ayahnya diusap buat kali terakhir sebelum bibirnya mengucup dengan penuh rasa rindu.

"Aisya pergi dulu. Assalamualaikum."

Bersama hati yang berat, dia bangun dengan berhati-hati sambil tangan kecilnya menampung bawah perutnya.

Deraian hujan semakin lebat membasahi tanah. Malah, baju kurung Aisya juga mulai basah melekap pada tubuhnya.

Pandangannya agak terhalang dek kerana air hujan yang menimpa dengan lebat.

Namun, langkah masih diteruskan meskipun sukar dan kabur. Derapan langkah kecil Aisya akhirnya menapak keluar dari kawasan perkuburan itu. Akan begitu, tanpa dia sedar, ada sepasang mata yang tidak lepas memerhatikan setiap gerak gerinya dari awal. Menunggu detik yang sesuai untuk sang pemangsa itu menjalankan 'misinya.'

Jari jemari lelaki itu menari-nari pada stereng kereta sambil bibirnya bersiul gembira. Susuk tubuh Aisya yang berdiri di pinggir jalan ditatap bersama senyuman yang misteri. Bibir dijilat perlahan. Tugasannya hanya mudah.

Membunuh Aisya. Itu yang diarahkan oleh Tiara kepada lelaki berkepala botak itu.

Enjin kereta dihidupkan. Dia bersandar tenang sambil bersedia untuk menyerang.

Manakala Aisya yang hampir tumbang ke bumi, mencengkam kuat pagar besi yang berada di belakangnya. Gadis itu meringis lemah di saat satu denyutan yang kuat mula mencengkam kepalanya dengan tiba-tiba sahaja. Wajah basah Aisya berkerut menahan asakan yang berdenyut hebat di dalam isi kepalanya.

𝐌𝐫𝐬.𝐑𝐢𝐲𝐲𝐚𝐝𝐡 𝐙𝐚𝐲𝐲𝐡𝐝𝐢𝐭𝐡 : 𝐇𝐢𝐬 𝐒𝐞𝐜𝐫𝐞𝐭 𝐖𝐢𝐟𝐞 [✓]Where stories live. Discover now