Prolog II

57 10 7
                                    




Syaoran gagal. Gagal untuk terus setia di sisi Raja Andika. Dan semuanya, angkara Permaisuri Gemawan. Belum sempat dia lelapkan mata semula, telinganya sekali lagi dijengah dengan tengkingan ibundanya dari kamar sebelah.

"Kalau abang tak mampu buang Syaoran, biar saya saja yang buat! Saya sendiri yang akan bunuh dia. Saya sendiri yang akan lempar mayatnya ke laut. Biar dimakan ikan-ikan yang buas!"

Bagai perakam suara, ayat itu bergema di dalam kepala. Lagi dan lagi sehinggakan Syaoran tak mampu menitiskan air mata. Bahkan putih matanya berubah kemerah-merahan. Rasa sakit di dada bukan main kepalang apabila lariannya langsung tiada henti. Biarpun jejak sudah keluar dari perkarangan istana. Bersama kaki semakin berdarah memijak tanah tanpa alas.

Baginya Permaisuri Gemawan sudah keterlaluan. Amat. Sanggup menjadi membunuh anak sendiri semata-mata bertunjangkan ramalan sendiri. Pembawa bala? Syaoran ketap rahang. Di umur belasan tahun begini pun sudah lalui satu demi satu hinaan dari ibu kandung sendiri.

Dia lari bukan kerana dia sakit mendengarkan kata-kata ibundanya. Tetapi dia tidak mahu menjadi bebanan terbesar dalam hidup Raja Andika. Ayahandanya yang seorang itu sudah banyak menahan diri dari sakiti dan lukakan hati Permaisuri Gemawan.

Syaoran tahu, ayahandanya menahan rasa. Setiap kali mereka bertengkar, pasti ayahnya menggenggam tangan sendiri sehingga adakalanya menyebabkan luka. Dari sakiti isterinya, Raja Andika lebih rela sakiti diri sendiri.

Syaoran tak suka!

Bukkk!

Bergolek tubuh kecil itu akibat tersadung seketul batu yang tergam pada tanah.

"Allahuakhbar..." Berkerunyut dahinya melihat luka pada ibu jari kaki kanan. Lembut hujung jari cuba mengitari kawasan luka.

Entah sudah berapa jauh dia berlari keluar dari istana, kemudian ke pekan sehinggalah kini dia berada di kawasan jeti yang tidak ramai orang. Rata-rata baru habis berniaga dan bersedia ingin mencandat sotong pada waktu malam.

Bibir bawah digigit kejap, menahan sakit yang kian pedih. Dalam keadaan yang begitu, Syaoran meniti pokok demi pokok sehingga ke sebatang pokok yang rendang. Setelah memastikan dirinya ditedui pokok yang rendang itu, perlahan-lahan dia labuhkan duduk di situ.

Nafas lega dihela. Tersandar dia memandang langit. Bila teringat semula kata-kata bondanya tadi, hati kian rasa dirabak. Bibir yang bergetar, terus digigit. Lagi lama dia bertahan di dalam rumah itu, tembok kekuatannya semakin lemah. Biarpun masih punya ayah sebagai tempat bersandar, anak mana yang bertahan lama apabila ibu sendiri memandang diri ini sebegitu hina?

Bunyi derap langkah seseorang dari belakang, buat Syaoran duduk tegak. Terus dia mendongak ke arah semak samun yang agak tebal di depannya.

Seorang. Tidak. Lebih dari seorang wanita jelita sedang berjalan menuju ke arahnya. Pakaian mereka serba putih dan masing-masing mempunyai bakul rotan di pelipat siku. Ada yang menjunjung bakul rotan dan ada juga yang hanya memegang timbunan kain di dada.

Dan di tengah-tengah mereka, ada seorang wanita yang pakaiannya sedikit menonjol. Di tangannya cuma ada bakul rotan yang dipenuhi dengan epal merah yang kelihatan masak ranum. Syaoran yang sedari tadi terpegun, langsung tak mampu beralih dari tempat duduknya.

"Siapa engkau?" Laju Syaoran menyoal bersama kerutan di dahi.

Wanita itu senyum manis sambil menghulurkan sebiji epal merah. "Kamu Putera Aduka, bukan? Putera Aduka Syaoran."

Syaoran tidak terus menyambut huluran itu. Dilihat wanita itu atas bawah dan beberapa lagi wanita yang lain. "Engkau masih belum menjawab soalan beta. Siapa kamu semua? Macam mana kamu semua boleh tahu beta ada di sini?" Atau mereka adalah dayang suruhan Raja Andika sendiri? Syaoran musykil.

Tanpa bersuara, wanita itu duduk bersimpuh di hadapan Syaoran.

"Buat pengetahuan Tuanku, patik bersama dayang yang lain bukanlah dari istana tetapi kami hanyalah anak-anak peladang dari pekan di seberang utara." Lembut saja bicara wanita itu. Faham benar perasaan kanak-kanak itu.

Syaoran mula mempercayai sedikit akan kata-kata wanita itu. Melihat dari segi pemakaian mereka, mereka bukan penduduk pekan berdekatan. Dia berdeham kecil. Bahunya jatuh, perlahan-lahan mula selesa dengan para wanita di hadapannya.

"Makanlah epal ini. Patik yakin pasti Tuanku kelaparan setelah letih sendirian di hutan serba lebat ini." Sekali lagi, huluran epal merah diberikan.

Tertelan air liur Syaoran melihat epal itu. Merah yang menggoda. Terbayang terus kemanisan epal yang akan mengalir ke tekaknya. Mengisi rasa lapar yang dia tahan sejak senja. Sekali mata mereka berdua bertemu, wanita itu mengangguk lagi sekali. Epal disua semakin dekat ke arah Syaoran.

"Te-Terima kasih."

Maka, senyuman wanita itu kian melebar. Sebaik sahaja Syaoran menggigit epal tersebut, barulah dia teringat bahawa dia masih belum tahu empunya nama setiap wanita di hadapannya.

"Boleh beta tahu nama kalian?" Soalnya sambil mengunyah.

Para wanita itu saling berpandangan antara satu sama lain sebelum utarakan pandangan ke arah Syaoran semula. Dan kali ini, renungan mereka berubah. Seorang demi seorang wanita di belakang wanita berbakul epal itu lesap menjadi debu.

"Kenapa mereka berubah menjadi pasir? Siapa engkau sebenarnya!" Syaoran yang baru saja hendak berdiri, lututnya terasa longgar. Syaoran jatuh terbaring ke tanah. Epal di tangan sudah bergolek ke tanah.

Susuk tubuh wanita jelita tadi turut berubah menjadi seorang wanita yang wajahnya berkedut dan hodoh. Belum sempat Syaoran ingin berkata apa-apa, pandangannya berubah gelap dan lidah langsung berat. Bisu. Berbalam.

"Engkau ini sangat mudah untuk ditipu! Hahaha!" Tawa wanita hodoh itu meledak. Suaranya garau dan kasar, pasti membingitkan telinga sesiapa saja yang mendengarnya!

Itulah ayat terakhir yang Syaoran dengarkan sebelum dia mula sesali akan perbuatannya yakni – melarikan diri dari istana.

Nang Syaoran ( TAJUK SEMENTARA )Where stories live. Discover now