Prolog I

249 31 9
                                    




Figura gadis berambut tocang satu itu dilihatnya dengan mata yang bersinar galak. Meskipun masa main mereka berdua baru saja tamat, matanya langsung tak mampu beralih dari melihat gadis itu. Apatah lagi tiba-tiba saja gadis itu berpaling bersama senyuman manis di bibir delimanya.

"Syaoran!" Gadis itu memanggil dari jauh.

"Ya, Nang ku yang satu?" Sahutan Syaoran buat Nang tersengih suka.

"Esok kita akan bertemu lagi ke?"

Melebar senyuman Syaoran. Angguk. "Pasti! Aku akan tunggu kau di sini seperti biasa tau, Nang!"

"Baik. Akan patik ingat janji Tuanku itu." Puas hati.

Nang lantas berpaling semula bersama wajah yang tersipu malu. Selang beberapa saat, figura itu hilang di balik semak. Pun begitu, Syaoran masih tersenyum. Hubungan akrab yang terjalin antara Syaoran dan Nang telah lama bertahan semenjak mereka kecil. Teman sepermainan tak kira masa.

Namun setelah mereka semakin bertambah usia ke awal remaja, masa main mereka mula dicatu. Waktu bertemu apatah lagi. Tempat belajar mereka juga sudah diasingkan atas titah Raja Andika, iaitu bapa Syaoran sendiri. Disebabkan perbuatan itulah, semangat Syaoran untuk menuntu ilmu kian berkurang.

Semuanya kerana Nang tiada di sisinya.

Nang pula seorang anak Bendahara Tun Lanang. Untungnya gadis itu, bapanya seorang yang sangat penyayang. Setiap kali Tun Lanang pulang dari istana, pasti beliau pasti akan bawa hadiah yang dikirimkan oleh Nang. Dan itulah – satu-satunya pembakar semangat Syaoran! Sentiasa.

"Putera Syaoran, mahu ke mana?" Pertanyaan dayang istana menghentikan langkah Syaoran. "Kan sudah malam ni? Putera masih mahu bermain?"

Syaoran menggaru pipi yang tidak gatal. "Beta mahu ke pustaka kecil. Ada kerja yang beta mahu selesaikan sebelum ke kelas esok." Itulah, waktu petang bermain sampai habis bertangguh kerja sekolahnya.

Dayang itu hanya mengeluh kecil. Baru berumur belasan tahun sudah pandai tidur lambat kerana urusan kerja. "Mahu patik temankan?"

Syaoran menggeleng. "Beta mahu berseorangan. Kamu pulanglah ke kamar dan tidur. Beta janji beta takkan beritahu pada ayahanda." Sengih nakal.

Setelah mendapat kebenaran untuk masuk ke pustaka, lantas dia mendekati sebuah rak buku yang menempatkan buku-buku sejarah dan beberapa subjek asas sekolahnya. Namun belum sempat dia menarik apa-apa buku, telingnya menangkap bunyi suara ayahandanya di luar pustaka. Selang beberapa saat, suara ibundanya pula kedengaran meninggikan suara.

Tak sedap hati ingin meneruskan agendanya di pustaka, lantas kaki mengorak langkah menuju ke pintu pustaka. Perlahan-lahan dia menjengulkan kepala ke luar pustaka.

"Sudah berapa kali abang harus beritahu Gemawan, kita takkan dapat ubah apa-apa. Allah sudah aturkan segalanya untuk kita, untuk Syaoran! Kenapa kamu masih berdegil mahu bertekak soal isu ini lagi? Kamu tidak takut kalau Syaoran terdengar apa yang baru kamu katakan tadi?" Dengan nada yang masih berlembut, Raja Andika persoalkan perbuatan Permaisuri Gemawan tadi.

Tangan kecil Syaoran semakin erat memegang daun pintu pustaka. Perbalahan yang sudah lali di telinganya, tak pernah sekali pun Syaoran terlepas. Setiap bait kata ayahanda mahupun ibundanya, semua bagai masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Tubuh kecil itu tersandar pada pintu pustaka. Tangan diangkat ke paras dada lalu menadah, ingin berdoa. Mata dipejam rapat-rapat. Kata Nang, jika sedang bersedih, Syaoran harus berdoa pada Allah supaya rasa itu hilang.

Syaoran sedih kerana dirinya menjadi asbab ibu bapanya bergaduh.

"Kenapa saya harus takut? Semuanya sudah terbukti, abang. Dengan kekurangan yang ada pada Syaoran, sudah banyak malapetaka berlaku di dalam istana ini. Bukan satu tetapi dua kali kandungan isteri abang ini gugur! Abang ingat Gemawan tidak penat ke usung ke sana ke mari mayat dalam perut Gemawan ini selalu?" Suara Permaisuri Gemawan Perak kedengaran sangat letih. Penatnya dia berhadapan dengan satu demi satu keguguran.

Syaoran tahu. Tapi apa Syaoran boleh buat? Syaoran sudah sedaya upaya menjauhkan dirinya dari Permaisuri Gemawan. Jadi apa lagi asbab semua keguguran itu?

"Sayang, itu semua luar kuasa kita. Bukannya kita tak jaga kamu sepanjang kamu mengandung. Bahkan abang sendiri sudah jauhkan Syaoran dari kamu. Apa lagi yang kamu mahukan dari Syaoran? Tak cukup ke kamu menjauh darinya selama dia hidup?" Suara Raja Andika juga tidak kurangnya. Memujuk dan terus memujuk.

Kuat gigi Syaoran terketap. Ya Allah. Baru sekejap tadi rasa bahagia menjadi penghuni di dalam hatinya. Kenapa hanya dalam sedetik, rasa itu pergi sebaik sahaja dia terdengarkan keluhan dan rengusan ibubapanya?

"Buang sajalah Syaoran tu, abang. Kita bukannya tidak boleh ada anak lain."

Hati Syaoran yang sudah sedia retak, kini terhempas ke tanah. Pecah dan berderai. Mata yang sudah berkaca, laju menurunkan mutiara jernih. Kenapa ibunda tak pernah sekali pun mengeluarkan kata-kata yang mampu gembirakan Syaoran? Semua yang keluar dari mulut ibunda sentiasa berjaya menghasilkan retakan dalam hatinya.

Apa kurangnya Syaoran? Tangan yang tadinya sedang berdoa kini sudah melekap ke wajah, menutup muka yang kian basah dengan air mata. Perlahan saja tangannya jatuh ke dada, menekan lembut pada tempat yang terasa kian mengetat.

"Sudahlah. Jawapan kamu semuanya tidak masuk akal. Gemawan katalah apapun Gemawan nak buat. Tapi idea kamu untuk buang Syaoran, sekalipun abang takkan setuju. Syaoran, anak lelaki abang. Anak lelaki abang yang paling abang sayang, abang cinta! Kalau bukan kerana Syaoran, kamu pun sudah lama ibu abang ketepikan. Syaoran itu sudah selamatkan kamu dari dibuang dari keluarga abang, tahu?!"

Dan setelah Raja Andika menoktahkan pergaduhan mereka, terus suasana di koridor itu terasa suram. Bunyi derap langkah kaki mereka juga sudah tidak kedengaran. Dencingan loceng dari perhiasan emas Permaisuri Gemawan juga tidak kedengaran, menandakan mereka sudah tiada di situ.

Wajah yang lencun dengan air mata dikesat dengan belakang tangan. Mukus disedut supaya melancarkan pernafasannya. Syaoran tergelak. Niatnya ingin belajar sehingga lewat malam. Tetapi dek menangis sampai ke tahap ini tanpa esakan, membuatkan dia berasa penat. Dengan langkah yang lemah, dia menapak ke kamar tidur.

Selang beberapa minit, wangian Raja Andika langsung menghuni ruang kamarnya. Syaoran berpura-pura tidur dan tubuh membelakangi ayahandanya. Tidak lama selepas itu, satu kucupan jatuh pada pelipisnya.

"Ayah sentiasa sayangkan Syaoran sepenuh hati ayah. Ayah tak nak Syaoran bersedih selalu. Apa yang ayah buat selama ni semuanya demi kebaikan Syaoran. Ayah sangat sayangkan Syaoran. Anak ayah. Satu-satunya anak ayah." Lirih suara Raja Andika buat Syaoran memggigit bibir bawah. Kuat.

Setelah satu kucupan jatuh pada kelopak mata kanannya, Raja Andika beransur pergi. Itulah rutin ayahandanya setiap malam. Kasih yang Raja Andika berikan inilah yang berjaya memujuk hati Syaoran setiap kali dia berduka dengan sikap Permaisuri Gemawan.

Syaoran... mungkin masih boleh bertahan untuk sehari dua? Demi ayahandanya.

Nang Syaoran ( TAJUK SEMENTARA )Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon