*******


Datuk Gong mula merasakan yang amat rugi jika dia terus bersikap mesra sebegini. Orang takkan berasa takut dengannya. Sekaligus tidak menghormati statusnya sebagai Datuk Gong di Kampung Mudah ini. Dia perlu melakukan sesuatu. Dia perlu menjadi misteri. Dia perlu menjadi serius. Dia perlu menjadi seseorang yang tegas.

"Aku sudah hantar hantarkan risalah tawaran ke seluruh kampung yang ada di tanah melayu. Tentang perkhabaran jumlah kekayaan yang boleh dikutipkan oleh mereka yang berhijrah dan menakutkan manusia disini. Mungkin kelak, kehebatan hantu dari tanah melayu ini, akan mampu menghalau hantu dari luar negara itu, pulang ke tanahairnya. Apa kata kalian?"

Di dalam bilik mesyuarat, sepertinya ada pesta. Kegembiraan yang tidak terkawal sedang melanda dengan hebatnya. Mereka tidak peduli, andai kata harta habuan itu tidak masuk ke poket mereka sendiri. Asalkan ianya tidak masuk ke dalam poket orang luar. Itu saja. Kadangkala, semangat cintakan negara yang sebegini, entah elok dihargai ataupun tidak sebenarnya.


*******


Angin kuat tiba-tiba hadir memukul ke dinding rumah kayunya. Datuk Gong terkejut, sekaligus mematikan lamunannya pada kejadian yang berlaku di bilik mesyuarat sebentar tadi. Daun-daun pokok yang terlepas pegang dari dahannya, mula bertiup masuk ke dalam melalui tingkap. Suasana malam yang sudah sedia mendatangkan sedikit seram ke dalam jiwa manusia, menjadi semakin gerun. Ada satu susuk hantu yang sedang melangkah ke sini, dan ilmu serta keupayaannya cukup hebat. Datuk Gong dapat merasakannya.

Tapi, adakah apa yang dirasakan olehnya itu, benar?

Persoalan itu, akan terjawab dengan sendirinya sebentar lagi.


*******


Susuk tubuh itu terus berjalan. Melalui kawasan yang sedikit semak samun, namun ada laluan yang kelihatan di atasnya. Dia ke sini bersama dua misi. Yang pertama, dia mahu membawa pulang semua jenis kekayaan ke kampung halamannya. Dia yang baru sahaja berkahwin dengan salah sehantu gadis yang paling cantik di dunia, mahu menyediakan hanya yang terbaik untuknya. Di kampung halamannya sendiri, dia perlu bersaing dengan susuk hantu yang lebih hebat. Dia tidak mahu membuang masa.

Risalah yang dijumpainya ketika berlegar mencari strategi hidup sambil menyepak pasir, berjaya memberikan sedikit cahaya pengharapan kepada dirinya. Walaupun di dalam hati, masih lagi ada kerisauan yang berbaki.

Apakah manusia yang masih lagi berjaya mengail hati isterinya itu, sudah berhenti turun ke laut?

Ataupun masih lagi sama perangainya tidak mahu berubah?

Itu sebenarnya yang melambatkan sedikit perjalanannya ke sini.

Tetapi, masa depan keluarganya adalah taruhan. Untuk maju, ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Adalah amat tidak beruntung jika segala cerdik akal dan kemahiran yang dia ada itu, tidak digunakan sepenuhnya.

Di Kampung Mudah ini, dia mahu berjaya!

Dia tiba di hapadan rumah kayu yang agak uzur. Dari cakap-cakap hantu yang ditemui ketika dalam perjalanan ke sini, semua hantu perlu mendaftarkan diri. Persaingan terlalu hebat. Maka, perlu ada rekodnya agar senang hendak diuruskan dikemudian hari.

"Sejahtera ke atas kamu, ada sesiapa di dalam?" ujarnya sambil kemudian mengetuk pintu sebanyak tiga kali.

Tiada sebarang respon.

Dia seperti mengetahui, ada sesuatu yang tidak kena. Lantas, dia menghaibkan diri dan bergerak mengelilingi rumah kayu itu. Dia menemui satu tingkap yang terbuka. Dari bukaan tingkap itu, dia nampak ada seorang lelaki tua yang berjanggut panjang, sedang menutup mulut sambil ketawa di balik pintu. Kemudian, lelaki tua itu sambung menekap telinganya pada pintu, untuk mendengar sebarang reaksi. Ketahuanlah dia bahawa si tua ini sedang mengujinya.

Agak lucu juga melihat karenah orang tua ini.

Dia pun turun semula ke bawah dan bergerak ke hadapan pintu utama. Kalau benar dia mahu diuji, kita lihat, siapa yang akan benar-benar teruji, bisik hatinya.

Tangan diletakkan pada pintu. Dengan ilmu yang ada, disebarkan haba pada pintu, agar ia kepanasan dan bahang.

"Ouch!" jerit suara di balik pintu.

Dia tersenyum.

Pintu terbuka secara tiba-tiba dan kebetulan, dia sedang berdiri dengan posisi yang meyakinkan. Sekaligus, memberikan aura yang lain macam pada sesiapa sahaja yang melihatnya.

"Kau ada menyentuh pintu ini?" tanya Datuk Gong.

"Aku baru tiba. Baru saja memberi sapa. Aku tidak ada menyentuh apa-apa pun," ujarnya dengan yakin dan tegas.

"Apa tujuan kau datang ke mari?"

"Maafkan aku. Datangnya aku, dari kampung yang jauh di hulu. Ke mari kerana mahu mencari rezeki, yang dijanjikan melalui sekeping risalah ini," ujarnya sambil menghulurkan risalah.

Datuk Gong menghembus nafasnya kuat. Dia cukup geram apabila ada hantu lain yang lebih pandai berbahasa daripadanya. Namun, tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan.

"Baiklah, siapa nama kau?"

"Pontianak."

"Aku tanya, siapa nama kau. Bukannya apa jenis kau. Tidakkah kau memahami soalanku?"

Dia tersenyum sedikit, sehingga menampakkan taringnya.

"Kareem," ujarnya.

"Kareemnak," ujarnya lagi.

- Bersambung -

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 29, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

DihantuWhere stories live. Discover now