Kisah Selingan #1: Ragam Helmi dan Zack

Start from the beginning
                                    

"Apa mimpi buat Teh O tiba-tiba ni? Setahu awok, miker tu kalau dipaksa pun belum tentu nak buat."

"Ala, saja je. Tekak awok tiba-tiba berasa berkenan nak perkena Teh O sama biskut lemak. Salah ke?"

"Ah lantak mikerlah. Ha, tuangkan ke awok secawan."

Teh O dituang lalu dihulur ke Zack. Zack menghirupnya nipis. Sekali lagi, matanya menjadi putih dan anak mata hitamnya naik atas. Kaki kanan Zack mula menggigil-gigil.

"Fuh. Tehnya wangi, manisnya cukup. Memang mantap. Awok rase, miker patut gantikan Pak Munir tu. Sebab makin lama awok tengok, makin tak ada kualiti Teh-O yang dia buat. Berbulu je awok rasa."

Helmi hanya tersengih. Dia tidak mahu melayan sangat pujian si Zack ni. Kerana, dia ada misi.

Sekarang, semuanya sudah bertenang. Teh O sudah dihirup Zack dan dia pun sudah mula memandang ke kejauhan. Waktu ini amatlah sesuai untuk dia memulakan misi asalnya itu.

"Kau tahu, aku dengar cerita anak dara si Mahmud tauke Getah yang belajar dekat Universiti Malaya tu balik. Ada dia tolong abahnya menjaga kaunter mengutip getah sekerap sana nun. Tolong bayarkan lantun getah penoreh jual. Siapa ke pun nama anak dia pun..."

"Salmah! Salmah balik?" mata Zack sudah bersinar dan kali ini, bukan disebabkan Teh O Helmi, mahupun barang-barang lain.


*******


Salmah adalah gadis idamannya semenjak sekolah dulu. Zack menjadi mat motor pun kerana frust tatkala Salmah mengambil keputusan untuk belajar di Kuala Lumpur. Bagi Zack, di mana-mana pun boleh belajar jika mahu. Tidak perlu sampai ke Kuala Lumpur sana. Zack mula menjadi murung tatkala dia mendengar pula khabar angin mengatakan yang Salmah bakal bertunang dengan rakan sepengajiannya di Universiti Malaya sana.

Tiga hari tiga malam Zack tidak keluar dari bilik. Yang hanya didengar adalah bunyi tangisan yang halus, dan sebutan nama Salmah yang agak perlahan namun berulang kali. Ketika itu, dia tidak tahu mahu mengadu kepada siapa akan nasib dirinya. Dalam keadaannya yang sedang duduk antara dua sujud itu, Zack menadahkan tangannya ke atas. Berdoa kepada Tuhan, agar diperkenankan hajatnya yang satu ini. Pintanya, pisahkan Salmah dan bakal tunangnya itu. 

Kerana sesungguhnya, Zack merasakan yang tidak ada lelaki lain yang lebih layak dari dirinya. 

Zack mengungkapnya doanya dengan penuh bersungguh, walaupun dia sedar bahawa tangannya itu amat jarang sekali di tadah untuk berdoa, inikan pula diangkat untuk mendirikan solat. Namun itu saja cara yang dia mampu lakukan sekarang.

Tuhan masih sayangkan Zack.

Hal ini kerana sebaik sahaja Zack habis berdoa, Usin Radio dengan penuh kelam-kabut datang ke rumah. Menyampaikan berita bahawa Salmah bergaduh dengan kekasihnya dan tidak jadi bertunang.

Mendengar perkhabaran itu, Zack terus naik ke atas meja dan melaungkan azan dengan sekuat hati. Malam itu, dia berazam untuk solat di awal waktu dan sentiasa berjemaah di masjid bermula esok. Azamnya itu hanya bertahan 3 jam sahaja kerana subuh pagi itu agak dingin. Dan selimutnya menjalankan tugas yang amat cemerlang dalam memberikan sensasi hangat yang lain macam. Kelopak mata menjadi terlalu berat dan untuk kali yang ke 3650, Zack gagal juga mengerjakan solat subuh, sama ada secara berjemaah ataupun bersendirian. Adat manusia, hanya mengingati Tuhan tatkala dilanda musibah.


*******


"Miker biar betul Salmah balik! Miker jangan beda'ah dengan awok! Masuk nerake nanti!"

"Ah, tak sior teman nak beda'ah miker. Awok bukan dapat mende pun. Lantak mikerlah nak percaya ke idoknya," ujar Helmi. Yang kemudian sambung mengirup Teh O-nya.

Umpan sudah dipasangkan pada mata kail dan dilontarkan ke sungai. Tidak ada perkara lain lagi yang boleh dibuat melainkan menunggu. Sama ada ikan mahu memakannya atau tidak.

Zack tidak senang duduk. Kebetulan pagi ini, dia tidak menoreh. Kemalasan melanda dirinya dan dia memilih untuk tidur saja. Dia tidak mahu pergi ke kaunter pengumpulan getah sekerap dengan tangan kosong. Jatuh kredibilitinya nanti di mata Salmah. Mahu si Salmah menyangkakan bahawa dia seorang lelaki yang tidak bermatlamat dan pemalas. Suami apa bendanya kalau berperangai seperti itu? Dari Salmah membayangkan dia sebegitu, dia lebih rela jika Salmah membayangkan dirinya sebagai seorang bad boy. Zack masih lagi tekun memikir, apakah caranya untuk dia datang ke kaunter pengumpulan itu dengan gaya membanggakan. Sudah pasti ada cara.

Kemudian, dia teringat bahawa pagi tadi Helmi ada menoreh. Lantas hal itu membuatkan dia senyum sendiri sambil mengatakan kepada dirinya, bahawa itu adalah idea yang paling mantap pernah difikirkan oleh akalnya,

Esok paginya, giliran Helmi pula yang tersenyum di pintu. Tatkala melihat, kasut but getah yang sering dipakai oleh Zack untuk ke kebun getah sudah pun tiada ditempatnya.

*******

"Tengkorak kamu Salmah dekat kaunter kumpul getah! Awok nampak nenek Hendon je dekat situ! Mana ada Salmah!" marah Zack.

Hendon adalah seorang nenek, berumur 75 tahun, gemar mengunyah sireh, dan agak uzur. Namun kalau bab membebel dan mengomel, dialah yang paling juara sekaligus mampu mencetuskan rasa jengkel ke dalam hati. Selain dari itu, nenek Hendon juga agak gatal orangnya. Dan dia, memang sudah lama berkenan dengan Zack.

"Kahkahkah, awok silap la tu. Awok kan rabun jauh."

Zack jadi kecewa.

Harapannya yang menggunung hendak melihat Salmah, hancur sekelip mata. Badannya yang penat bekerja mengutipkan getah sekerap orang lain, menjadi semakin lemah dan tak bermaya. Rasa dikhianati itu pedih dan sekarang ia semakin tak tertanggung lagi. Air matanya hampir saja mahu mengalir, namun ditahankan. Dicapainya kunci Gaban Hitamnya yang ada elok di atas almari, begitu juga helmet yang ada di sebalik pintu.

Gaban Hitam dihidupkan dan ianya meluncur laju keluar dari rumah tanpa sempat dipanaskan dahulu enjinnya seperti selalu. Zack berdendam dengan Helmi lantas dia berniat mahu membalasnya satu hari nanti. Namun, cara membalasnya itu dia tidak mahu fikirkan dulu. Kerana sekarang, dia cuma mahu fikir dekat kelab malam mana yang beroperasi pukul 12 tengahari ni.

Untuk pertama kalinya, dia mahu membeli arak dan mabuk.


TAMMAT

DihantuWhere stories live. Discover now