Bab 2

11 4 0
                                    

Julai 2105

Shah Alam, Selangor

Mata yang terpejam dibuka perlahan-lahan.

Hitam.

Cuma warna itu yang menyapa penglihatan. Sangkaan si gadis, mungkin anak matanya sedang menipu, cuba memberontak. Lalu dia mengelipkan mata berkali-kali. Namun apa yang terpampang di hadapan hanyalah warna hitam.

Si gadis tidak puas hati. Dia segera menggerakkan tangan kanan ke hadapan muka.

Besar bola matanya. Bentuk tangan langsung tidak terlihat.

Apa yang terjadi? Adakah dia buta? Mengapa tiada warna lain yang dilihatnya melainkan warna hitam?

Dia memicit lengan kiri dengan sekuat hati.

Sakit.

Kawasan yang dipicit tadi terasa berdenyut-denyut. Rasa sakit itu membuat hatinya lega sedikit. Dia masih lagi dapat merasai kesakitan. Sekurang-kurangnya dia pasti yang dia masih hidup.

Dia memalingkan kepala ke kiri dan ke kanan. Hanya kegelapan melatari suasana. Hatta satu bayang-bayang pun tidak terlihat olehnya.

Sekilas hatinya terdetik, di mana dia berada sekarang ini? Di tempat mana dia sedang berbaring? Bagaimana dia boleh berada di sini? Persoalan-persoalan itu menari-nari di ruangan minda. Dia cuba mengingat kembali apa-apa perkara yang boleh memberikan dia sebarang idea tentang keberadaannya di tempat itu.

Tiada memori, tiada apa-apa peristiwa terlintas di fikiran. Ingatannya kosong.

Dia segera membangunkan diri daripada tempat pembaringan yang keras dan sejuk. Satu idea terlintas di benaknya, mungkin dia boleh mendapatkan sesiapa di situ. Mungkin ada orang lain selainnya di tempat itu.

"Hello!" Dia menjerit. Suaranya bergema di sekeliling. "Ada sesiapa di sini?" soalnya.

Sia-sia.

Hanya sunyi dan sepi yang menyambut.

Lantas dia berdiri. Kaki digerakkan ke hadapan. Baru dua langkah dia berjalan, tubuhnya menjunam ke bawah. Serta-merta mukanya mencium satu permukaan keras.

"Uh ... uh ...." Dia mengerang kesakitan.

Dengan hentakan yang begitu kuat, dia pasti tempat dia berbaring tadi memiliki ketinggian sekurang-kurangnya satu meter. Tidak mahu lagi mengambil risiko berjalan dalam gelap, dia memilih untuk merangkak sahaja.

Sambil merangkak, tangan kanannya meraba-raba di hadapan agar dia bisa menemukan sesuatu. Jika tempat dia berada sekarang ialah sebuah bilik, lambat laun dia pasti akan bertembung dengan dinding bilik. Mungkin dia boleh mencari pintu keluar selepas itu.

Pergerakannya terhenti tatkala jari-jemari kanannya menyentuh sesuatu. Dia meraba-raba objek yang disentuhnya; permukaan yang licin dan sejuk. Dia berdiri perlahan-lahan sambil melekapkan kedua-dua tapak tangannya pada permukaan licin itu.

Dinding.

Dia lalu merendahkan kembali tubuh ke posisi merangkak. Tapak tangan kanannya masih terlekap pada dinding tersebut. Badan pula disokong oleh kedua-dua kaki dan tangan kiri. Tapak tangan kanan yang melekap pada dinding digerak dengan berhati-hati ke hadapan, mengikuti pergerakan kakinya.

Akhirnya, tapak tangan kanannya menyentuh suatu permukaan yang berbeza daripada permukaan tadi. Dia cepat-cepat berdiri lalu meraba permukaan baru tersebut.

Ada beberapa corak beralur lurus dari kiri ke kanan permukaan baru itu. Jari-jemarinya akhirnya menyentuh satu alur ke bawah yang menjadi pembahagi kepada permukaan yang disentuh.

MARIONETTEWhere stories live. Discover now