Asap berkepul-kepul memenuhi perkampungan Setiawan, mengaburi pandangan sesiapa yang melihat. Hampir kesemua rumah di situ habis dibakar sementara mayat penduduk kampung bergelimpangan di persekitaran, masing-masing terendam di dalam kolam darah merah yang pekat.
Dua beradik kecil yang dalam ketakutan bersembunyi di sebalik belukar, menahan tangisan dan kesakitan yang dialami. Risau andaikata sang pembunuh menjumpai mereka seterusnya mencabut nyawa mereka yang kini sudah bergelar yatim piatu.
"Abang... adik takut..." Suara si adik terketar-ketar ketika berbicara dengan si abang.
"Jangan risau, Allah bersama kita" Si abang berkata dengan nada yang tegas sambil menyembunyikan ketakutannya sendiri.
Tiba-tiba muncul sekumpulan tebuan berwarna kehitaman perlahan-lahan terbang menghampiri mereka, seolah bersedia untuk menyengat kedua beradik tersebut.
"Abang, banyaknya tebuan!!" Jeritan si adik akhirnya memecahkan misteri lokasi persembunyian mereka kepada kumpulan pembunuh.
"Ada yang terlepas di sana! Kejar!!" Jerit seorang lelaki yang kelihatan seperti ketua kepada mereka yang lain di situ.
Wajahnya dilitupi sebuah topeng yang bertaring. Badannya tegap lagi sasa, otot lengannya yang besar yang dipenuhi corak cacahan hitam kelihatan begitu menakutkan sementara sebelah lengannya lagi kudung dan hanya diikat dengan lilitan kain berwarna merah pekat.
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Si abang terus berlari sekuat hati sambil memegang erat tangan si adik, namun kudrat seorang kanak-kanak masakan dapat menandingi kudrat seorang dewasa, apatah lagi mereka yang terlatih sebagai askar pembunuh. Dalam masa beberapa detik sahaja, kedua beradik tersebut telah dikepung oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang kelihatan begitu bengis sekali.
"Adik..apa-apa yang berlaku, jangan lepaskan tangan abang!" Si abang cuba memberi ketenangan kepada si adik meskipun keadaan mereka umpama telur di hujung tanduk.
"Sampai masa untuk kau bertemu dengan orang tua kau, budak!" Teriak salah seorang daripada lelaki bengis tersebut sambil mengayunkan goloknya kepada dua insan yang kerdil itu.
"Tangg!" Bunyi besi berlaga yang amat membingitkan telinga tiba-tiba kedengaran dan tanpa diduga, golok milik lelaki bengis tersebut kelihatan dihalang oleh sebilah keris yang utuh menahan tetakan pemiliknya daripada mengenai kedua beradik yang sedang menangis ketakutan.
"Cis! Berani kau kacau urusan Tuan Raksa Bisa!" Jerit lelaki bengis pemilik golok tadi. Lelaki pemilik keris itu hanya mendiamkan diri, wajahnya tenang di sebalik sejalur parut yang panjang pada bahagian pipi kanannya.
Dengan sekelip mata, dia menundukkan diri dan melakukan satu sepakan pantas seolah menyapu kaki pemilik golok itu hingga lawannya itu hilang keseimbangan lalu jatuh terhampar di atas tanah. Belum sempat dia bangkit, satu tikaman keris yang begitu pantas lagi bertenaga hinggap di dadanya, menembusi badannya yang sasa. Rakan-rakannya tergamam dan terpana melihat lelaki bengis itu dibunuh tanpa sempat membalas.
"Bertenang, kalian akan selamat inshaAllah. Lari terus ke arah sungai yang berhampiran, ada rakan di sana yang akan membantu" Lelaki berparut itu berkata dengan penuh lemah lembut kepada kedua beradik yang masih tergamam dan ketakutan.
Si abang yang merasakan beban tanggungjawab melindungi adiknya dengan ketiadaan ibu bapa mereka terus membuka langkah sambil memegang erat adiknya, mengambil risiko untuk mempercayai sang penyelamat yang tidak dikenalinya. "Terima kasih tuan hamba" Si abang sempat melontarkan kata-kata terakhir sambil teringat akan pesan ayahnya; "Siapa yang tidak pandai berterima kasih kepada manusia, bererti ia belum bersyukur kepada Allah".
Lelaki berparut itu tersenyum nipis atas penghargaan yang diberi oleh si abang. Namun wajahnya bertukar tegang dengan pantas setelah melihat ketibaan ketua kumpulan pembunuh itu. Lelaki bertopeng yang memberikan arahan sebelum ini mula menghampiri lelaki berparut itu dengan perlahan-lahan.
"Hebat. Daripada berita yang disampaikan kepada aku beserta rupa kau yang berparut, aku kira engkau orang yang sama yang telah tumpaskan Sang Buaya?" tanya lelaki yang digelar sebagai Raksa Bisa oleh pengikutnya itu.
Lelaki berparut itu terus mendiamkan diri tanpa mengiyakan mahupun menafikan pertanyaan tersebut.
"Aku Raksa Bisa, juga dikenali sebagai Sang Tebuan. Aku juga adalah abang seperguruan Sang Buaya. Ayuh, tunjukkan kehandalan kau kepada aku. Aku ingin tahu bagaimana kau boleh kalahkan pahlawan berpangkat ketiga dalam gagasan Raja Rimba Berempat." Raksa Bisa berbicara sambil memberi isyarat kepada pengikutnya agar tidak campur tangan di dalam pertarungannya dengan pendekar berparut itu.