"Beli set ke nak pilih ala carte?" Akhirnya Aira meminta aku menjadi talian hayatnya.

"Kita ambil Set C 6 orang makan lepastu add on apa yang kau nak makan." Aku menunjukkan set 6 orang makan.

6 pinggan nasi, sayur campur, tomyam campur, ikan siakap masak tiga rasa dan telur dadar.

Aku dan Aira bangun meninggalkan ibu bapa kami untuk ke tempat memilih makanan laut. Di restoren ini, pelanggan boleh memilih makanan laut sendiri. Semuanya segar-segar belaka.

"Ambil la apa kau nak. Aku bayar hari ni." Aku mengambil raga plastik berlubang dan meletakkannya di hadapan Aira.

"La, kau kan tetamu. Aku la yang bayar." Aira menolak sambil tangannya memilih udang yang gemuk-gemuk.

"Kau ni, bagilah aku nampak gentleman sikit." Aku menolak sambil memilih sotong.

"Ala, nanti lain kali kau belanja la aku." Aira tidak mahu mengalah.

"Split bill tapi aku bayar dulu nanti aku bagi resit." Aku memberi jalan tengah. Malas nak gaduh.

Aira segera bersetuju.

"Ikan bakar nak?" Aira bertanya.

"Ikan kecil je la nanti tak habis. Kau nak ikan apa?" Aku bertanya kembali.

"Pari bakar." Aira memilih ikan pari sebesar tapak tangan aku.

"Kerang bakar satu pinggan cukup?" Aku menunjuk ke arah kerang segar.

"Cukup tu. Banyak dah ni. Boleh buat mukbang." Aira melihat kembali makanan laut yang telah kami pilih.

Mentang-mentang baru gaji semalam boleh la nak berjoli macam ni. Self-reward kata orang.

Selesai membuat tempahan, kami kembali ke gazebo. Rancak benar orang tua kami berbual. Tengah mengenang zaman dahulu. Almaklumlah, sekarang dah jadi veteran. Kami dengar sahajalah cerita operasi masuk hutan keluar hutan.

Kerang bakar sampai terlebih dahulu. Para ibu bapa tak berminat nak makan kerang bakar, Maka sambil mendengar cerita mereka, aku dan Aira menelan kerang bakar panas panas cicah air asam.

"Ni bahagian aku, ni bahagian kau." Aira membuat sempadan di tengah-tengah antara kerang. Macam buat pembahagian harta rampasan perang.

Mata aku membandingkan kerang aku dengan kerang dia.

"Apahal kau punya besar-besar?" Aku tak puas hati.

"Sebab kau adik, aku along." Jawab Aira sambil membuka kulit kerang.

Logik apakah yang dia guna ni? Aku ni lahir lebih awal daripada dia kut. Aku yang kenal dunia ni dulu. Aku yang makan makanan pejal dulu.

"Nanti kau makan kerang gemuk-gemuk, kau kenyang tak boleh makan benda lain baru tahu." Aku memberi peringatan tak berapa mesra.

"Kalau kenyang boleh tapau. Kau tak nampak ke aku bawa bekas tu?" Aira menunjukkan beg eko yang dibawanya tadi.

Ish, panjang akal betul dia ni.

20 minit juga kami menunggu untuk hidangan kami sampai. Bukan salah aku, salah Aira sebab dia yang buat banyak sangat pesanan. Mungkin salah aku juga sebab aku ada buat tambahan menu.

"Allahu akbar... Nak buat kenduri terus ke macam mana ni? Banyaknya tempah, siapa nak habiskan semua ni?" Cik Imah terkejut dengan jumlah makanan yang sampai ke meja.

"Akmal Aira." Aku menunjuk ke arah Aira.

"Akmal Harith." Aira menunjuk ke arah aku.

"Tak apa, Akmal bayar." Aira menyambung.

ALPHA 122Where stories live. Discover now