Aira memandang aku. Logiknya lima hari ini memang Aira rapat dengan aku tapi mana ada sampai bersandar. Bersentuhpun tidak.

"Laki mana ni ayah? Along kerja dekat tempat banjir tau bukan kelab malam," sambung Aira.

"Lelaki tinggi pakai baju bomba. Cuba ayah hantar gambarnya. Nanti Along telefon balik." Aira mematikan telefon.

Dia terus melihat gambar yang dihantar ayahnya lalu menunjukkan gambar itu kepada aku.

Gambar itu telah disunting di mana gambar Aira ditindih di hadapan gambar aku jadi nampak macam dia bersandar pada aku padahal tidak. Jadi sekarang ini ayahnya sudah salah faham.

Aira terus menelefon ayahnya untuk merungkai salah faham itu namun lain pula jadinya sebab gambar-gambar yang lain memang menunjukkan aku rapat dengan Aira terutama gambar bayi bertukar tangan.

"Ayah, boleh tak malam ni Along jelaskan. Along tengah kerja ni ayah. Iya malam nanti kalau ayah nak cakap dengan lelaki dalam gambar tu pun boleh. Memang tak ada apa la ayah. Bayi tu bukan bayi kamipun. Tu bayi mangsa banjir. Apa yang nak heboh sangat dekat Facebook tu?" Aira agak tertekan. Panggilan telefon dimatikan.

Aik? Apahal aku ditarik sekali?

"Habis bertugas hari ni kau jangan nak lari. Terangkan dulu dekat ayah aku tentang benda ni. Dah viral dekat Facebook katanya." Aira bercekak pinggang.

Nak memeriksa akaun media sosial waktu kerja ni rasanya tak patut jadi kami biarkan sahaja dahulu.

Telefon di hadapan kami berbunyi. Terus aku sambut.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera Balai Bomba dan Penyelamat Siber Raya. Apa boleh saya bantu?" Aku memberi ayat template terlebih dahulu.

Aku mendengar aduan yang diberi sambil membuat catatan lalu aku serahkan kepada Aira untuk membuat pengumuman.

"Perhatian, perhatian, perhatian! Panggilan khidmat khas pintu bilik terkunci di alamat No. 22, Jalan Jaya Setia 5U, Taman Mergastua. Semua anggota bertugas diminta untuk bersiap sedia." Aira membuat pengumuman.

Aku mula menyediakan laporan.

"Aku nak kena cakap apa dengan ayah kau nanti?" Aku bertanya kepada Aira memandangkan dia yang melibatkan aku dalam hal ni.

"Manalah aku tahu kau kena cakap apa. Apa ayah aku tanya kau jawab je la. Mana nombor telefon wartawan semalam tu? Aku cubit baru tahu. Dah tangkap gambar asing masuk asing la. Gigih sangat nak editkan tu buat apa?" Aira dari semalam memang tak berpuas hati dengan wartawan itu.

Ada emel yang masuk melalui telefon lalu aku buka. Seperti yang dijanjikan oleh wartawan semalam, dia menghantar artikel dan gambar-gambar yang diambil ketika operasi bencana. Tajuknya Perwira Tidak Didendang.

Aku membaca artikel penuh yang ditulis. Semuanya elok sahaja cuma mungkin gambar kami yang ayah Aira kurang berkenan.

Satu jam selepas panggilan khidmat khas tadi berlalu, Cik Razak dan Kumar datang ke bilik kawalan untuk memberi laporan lisan.

"Ada mangsa ke tadi?" Aku bertanya.

"Tak ada sesiapa. Bilik kosong dia tertinggal kunci kereta dalam tu." Kumar kedengaran hampa.

Aku faham perasaan itu. Hampa bukan sebab tiada mangsa dan tak boleh jadi hero tapi hampa kerana panggilan itu tidak sepatutnya dibuat. Panggilan khidmat khas pintu terkunci hanya patut dibuat sekiranya ada mangsa dalam bilik yang terkunci.

Bayangkan jika mendapat panggilan pintu berkunci lalu lima ke enam anggota bomba datang ke lokasi tiba-tiba berlaku kecemasan yang lebih genting melibatkan nyawa. Ada orang yang lebih memerlukan khidmat anggota bomba bukankah sudah merugikan masa dan mengancam nyawa?

ALPHA 122Where stories live. Discover now