"Ya?"

"Apa yang awak buat dengan kad kredit yang saya bagi awak dulu?"

Ace sudah menepuk perlahan dahi. Waktu-waktu seperti inilah, Hayden mahu mencari pasal. Kepala digeleng dan dia segera keluar dari bilik itu bersama dengan Sashimi, malas mahu terlibat dalam amukan Hayden. Arabella tidak menjawab pertanyaan Hayden, matanya hanya tertacap kepada Ace yang sedang membawa Sashimi pergi. Kedua-dua tangannya digenggam erat, risau akan keadaan arnab kecilnya itu.

Pap!

Hayden memetik kuat jarinya di hadapan muka Arabella apabila soalannya hanya dibalas sepi, membuatkan wanita itu mengalihkan semula tumpuannya kepada Hayden. Kepala yang tidak gatal, digaru.

"Kad kredit apa? Saya tak ada kad kredit." Jawab Arabella, tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan soalan Hayden tadi. Matanya terus menjeling ke arah jalan yang dilalui oleh Ace.

Wajah Hayden sudah berkerut marah. Arabella ditatap tajam. "Kad kredit apa, awak tanya saya? Kad kredit yang saya pernah bagi awak dua bulan lepas. Masa awak masuk hospital, lepas bunuh Adam!"

Diam.

Arabella terkedu, sebegitu juga Hayden yang kaget dengan bicaranya sendiri. Dia berdecit dan menggigit perlahan bibir bawah, kesal dengan setiap perkataan terakhir yang keluar tadi. Arabella yang masih berdiri kaku di hadapannya dijeling sekilas.

"Listen, money is not my problem. Awak nak belanja sampai seratus juta pun saya tak kisah. Cuma saya nak tahu awak beli apa dengan kad kredit saya tu." Nada suara Hayden kembali normal cuma tetap kedengaran dinginnya.

Arabella terus membisu. Kepalanya ditundukkan ke lantai. Dia masih tidak mengerti soalan Hayden tetapi dia sedar bahawa memori dua bulan lepas yang dimaksudkan oleh lelaki itu tiada lagi dalam kotak ingatannya.

"Saya...saya tak ingat..." Gumamnya perlahan.

Mendengar jawapan Arabella, Hayden mengetap rahang. Amarahnya kembali. "Saya tanya pasal dua bulan lepas bukan dua puluh tahun lepas! Takkan benda macam tu, awak boleh tak ingat?! Apa yang awak beli, apa yang awak buat, takkan tu pun boleh lupa?! Awak ada masalah otak ke?! Cacat?! Ha?!" Jerkah Hayden sambil menunjal sekali kepala Arabella. Arabella mengemam bibir yang bergetar. Kepalanya terus ditundukkan, tidak mahu Hayden melihat dia yang sedang menahan tangis.

"Saya minta maaf..."

Hayden berdengus kasar. "Menyusahkan."

BAM!

Di hadapan muka Arabella, pintu dihempas kuat. Arabella menggenggam hujung bajunya. Mata yang terasa panas digosok perlahan dan langkah segera dibawa pergi mencari Ace.

Ace yang sedang cuba memberi Sashimi makan di luar rumah, mendongak apabila perasan akan figura Arabella yang sedang menghampirinya. Wajah wanita itu muram dan bibirnya mencebik dengan mata yang berair. Ace tersenyum hambar semasa memerhati Arabella yang sudah mendekat dan mengambil Sashimi dari tangannya.

"Tuan masih marah-marah lagi?" Tanya Ace, walaupun dia sudah tahu jawapannya. Arabella mengangguk lemah. "Macam orang tua, kan Tuan Hayden tu? Asyik nak marah je." Cemuh Ace dengan bibir yang dimuncungkan, mengutuk majikannya sendiri membuatkan Arabella tertawa kecil.

"Tak baiklah, awak ni."

Ace tergelak sama dan mereka jalan beriringan masuk ke dalam kereta.




























































"HAI!"

Arabella menoleh. Senyumannya terukir lebar saat pandangannya mendarat kepada sepasang mata hijau itu. "Hai, Aryan!" Balas Arabella mesra.

ARABELLAWhere stories live. Discover now