"Jom lah. Tempat ni dah nak tutup." Ajak Arabella. Ace terngadah dan cepat-cepat mengangguk.

Sedang mereka jalan beriringan, mata Ace hanya memerhati Arabella dari belakang. Sekarang, baru dia faham mengapa wanita itu sering mengenakan baju berlengan panjang. Di rumah pun begitu, tidak pernah lagi dia melihat wanita itu berpakaian seksi atau sekurang-kurangnya baju T berlengan pendek.

Semasa di set penggambaran pun, Arabella tidak senang betul jika penggaya fesyen menyuruhnya memakai baju berlengan pendek dan memakai gelang atau perhiasan di lengannya.

"Ace, tak nak masuk kereta ke?"

Panggilan Arabella menamatkan lamunan Ace. Dia mendongak memandang Arabella yang sedang merenungnya. Kereta di hadapannya dipandang pula. "Oh! Sorry!" Segera Ace menekan punat untuk membuka kunci kereta dan berlari ke arah tempat pemandu. Dia memulakan pemanduan untuk menghantar Arabella ke studio penggambaran pula.

"Saya tunggu dekat tempat biasa, ya?" Ace menunjuk ke arah tempat duduk di belakang barisan jurukamera. Arabella mengangguk kemudian melangkah menuju ke sebuah bilik di studio itu untuk bersiap. Kerusi di hadapan cermin yang tertulis nama Lucia diambil. Dia hanya merenung pantulan dirinya di dalam cermin sementara menunggu giliran untuk disolek.

"Hai."

Arabella menoleh. Seorang lelaki dengan iris mata hijau yang sedang duduk di sebelahnya sedari tadi dipandang.

"Hai." Balasnya dengan senyuman mesra. Lelaki itu membalas senyumannya manis dan wajah bak patung porselin milik Arabella terus direnung penuh minat membuatkan Arabella mula rasa kekok. Arabella diam berfikir jika lelaki kacak bermata hijau di sebelahnya itu adalah kenalan Lucia kerana dia juga seorang model.

Dia terus membisu dan menunggu lelaki itu bersuara lagi tetapi lelaki itu hanya duduk menatapnya. Arabella menyerah dan berpaling menghadap lelaki itu.

"Erm...kita kenal ke?"

Senyuman lelaki itu melebar. "Saya kenal Lucia tapi tak kenal awak." Balasnya bersahaja membuatkan Arabella terkedu. Mata hijau milik lelaki itu dipandang lama.

"Saya Aryan Mosses. Awak boleh panggil Aryan. Saya kawan rapat Lucia dan Lucia pernah tunjuk gambar awak pada saya. Awak Love, kan? Love Arabella? Kembar Lucia. Betul tak?" Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Aryan tadi terus bersuara tanpa sedar bahawa wanita di hadapannya itu sedang cemas kerana ada yang mengenali dirinya.

Senyuman Aryan memudar apabila melihat wajah pucat Arabella. "Tapi awak jangan risau. Saya tak akan beritahu sesiapa. Jatuhkan awak sama je macam saya jatuhkan kawan baik saya sendiri, jadi rahsia awak selamat dengan saya. Saya janji." Aryan mengukir senyuman semula sehingga menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

"Betullah yang dekat hospital sekarang ni Lucia. Dia selalu cakap yang dia tak sabar nak bekerja untuk Cherryl & Jhoanna. Bukan rezeki dia agaknya." Sambung Aryan tetapi dalam nada separa berbisik. Arabella terus membisu. Wajah Aryan dipandang tanpa berkedip. Dia sendiri masih ragu-ragu dengan lelaki itu.

"Aryan, your turn."

Arabella dan Aryan serentak menoleh ke arah seorang wanita yang memanggil Aryan untuk masuk ke dalam set. Aryan mengangguk lalu memalingkan wajahnya kepada Arabella semula. Senyuman manis masih setia terukir di bibir lelaki itu.

"Tapi awak lebih layak dapat projek ni. Awak sangat cantik, Love. Macam nama awak." Tutur Aryan bersama senyumannya sebelum melangkah keluar dari bilik itu.

ARABELLAWhere stories live. Discover now