"Bila—bila masa ada rumah dekat situ? Hah! Penatnya!"

Arabella menjeling Ace tajam. "Awak tu yang suka sangat petik-petik bunga. Habis penuh dah beg saya ni."

"Saya cuma nak puan gembira." Balas Ace yang masih mendongak ke atas. Nafasnya sudah kembali stabil tetapi kakinya pula yang terasa lenguh. Mahu sahaja dia rebah di situ.

Ace mengalihkan pandangannya apabila Arabella sudah tidak lagi membebel. Keningnya terangkat saat melihat Arabella sedang tersengih-sengih sebelum ketawa wanita itu pecah.

"Tapi, kelakarlah! Hahaha!" Arabella menampar perlahan dada Ace sambil tertawa kuat.

Ace yang keliru tadi, ikut sama tergelak. Mereka hampir mencuri sebuah pasu bunga tetapi tertangkap pula oleh pemiliknya. Ini akan menjadi satu memori yang tak akan dia dan Arabella lupakan.

Ace bangun dan menghulurkan tangannya untuk membantu Arabella. Arabella menyambut huluran tangan Ace.

"Jom, kita pergi kerja. Hari pertama tak boleh lambat. Ini, biar saya yang bawakan." Ace mengambil beg mini milik Arabella lalu digalas pada bahunya. Arabella mengangguk laju dan mereka menyambung perjalanan yang terhenti tadi.

"Kita dah sampai!"

Arabella berlari menuju ke bangunan yang tertulis Il Caffè.

"Kai!" Panggil suara lembut itu saat mata birunya menangkap kelibat Kai yang sedang membersihkan meja di luar kafenya.

Senyuman Kai terukir. Apron pada pinggangnya dibuka dan bajunya dikemaskan. Dia berjalan mendapatkan Arabella.

"Arabella. Hai." Tangannya dilambaikan buat Arabella, dan kepada Ace yang sedang berdiri di belakang wanita itu, dia menghadiahkan segaris senyuman mesra. Ace membalas singkat senyuma itu.

"Saya bawa kawan saya hari ini. Ini, Ace. Ace, ini Kai." Arabella menarik lengan Ace supaya berdiri di sisinya. Kai dan Ace berjabat tangan.

"Saya Kai."

"Ace." Balas Ace pendek.

"Arabella, awak boleh mula bila-bila masa yang awak nak. Saya dah sediakan semuanya dan satu cawan coklat panas untuk awak. Ace, awak nak kopi?" Kai memandang Ace yang kelihatan agak kekok di hadapannya.

"Saya tak minum kopi. Saya nak coklat panas, sama macam Puan Love." Jawab lelaki itu dalam nada yang perlahan. Matanya naik turun, mengimbas Kai. Dia masih dalam proses untuk menilai lelaki itu, sama ada Kai itu orangnya baik dan selamat buat Arabella atau sebaliknya.

Kening Kai bertaut saat mendengar panggilan Ace buat Arabella.

'Puan?'

Dia menilik cara pemakaian Ace. Lelaki yang memakai suit mewah dengan tubuh yang agak fit itu, sekali pandang sahaja dia boleh membuat tanggapan bahawa profession Ace itu sama ada sebagai pengawal peribadi atau seorang usahawan. Yang penting, lelaki itu bukan orang biasa-biasa.

Bahunya diangkat. Tidak kisah. Yang penting lelaki itu bukan teman lelaki Arabella, itu sudah cukup untuk membuatkan dia berasa lega. Dia masih ada peluang untuk mencuri hati Arabella.

ARABELLAWhere stories live. Discover now