Namun, dia faham kenapa partnernya menjadi begitu. Sejak dulu, Qarizh Zahwan tidak pernah sukakan perempuan. Baginya, makhluk bernama perempuan menyusahkan hidupnya. Dalam hidup profesor itu, hanya Sarah dan Mek Nab sahaja perempuan yang boleh diterimanya.

Ini semua terjadi tak lain tak bukan disebabkan trauma. Profesor Dr. Qarizh Zahwan fobia dengan perempuan dek peristiwa ketika jejaka itu berusia 10 tahun. Tidak cukup dia ditinggalkan oleh ibunya ketika berumur lima tahun, dia dikerjakan pula oleh pengasuh Sarah.

Pada hari kejadian, Mek Nab terlambat mengambilnya dan Sarah dari rumah pengasuh. Maklumlah, ketika itu Mek Nab bekerja sebagai chef di restoran lima bintang. Sibuk wanita itu memang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Dek keterlambatan Mek Nab, Sarah menangis semahu-mahunya. Dia sudah tidak betah berada di rumah pengasuh. Qarizh pula apabila melihatkan adiknya menangis bagai nak rak, dia berusaha menenteramkan gadis kecil tersebut.

Namun, entah macam mana apabila mendengarkan suara nyaring Sarah menjerit dan meraung, si pengasuh sakit hati lalu menampar-nampar dan memukul si kecil itu. Tidak cukup dengan tangan, dengan garfu pun boleh. Qarizh berang, namun kudrat 10 tahunnya tidak mampu melawan pengasuh si wanita muda berusia lewat 30-an tersebut.

Kerana ingin mempertahankan Sarah, Qarizh mengalami lebam-lebam dan bengkak seluruh badan. Ditambah pula dengan kesan cucukan garfu di lengannya, lagilah membuatkannya sakit hati dengan pengasuh itu. Ada ke patut si pengasuh naik minyak dengan lagak seolah-olah ingin membunuh orang?

Dia tahu pengasuhnya sedang beremosi dek bengang dengan suaminya sendiri, tetapi kenapa kanak-kanak sepertinya perlu menjadi mangsa? Dia tidak bersalah, Sarah juga tidak bersalah. Normallah kanak-kanak menangis kelaparan dek tidak diberi makan sejak dari pagi!

Disebabkan insiden itu, otaknya sengaja disetkan bahawa perempuan menyebalkannya. Disebabkan itu jugalah, dia hanya menerima segelintir sahaja insan bergelar perempuan di dalam hidupnya. Dia... tidak sukakan perempuan!

"Banyaklah kau punya anak mak," dengus Qarizh geram.

Cebikan sahabatnya kembali membawa Rayyan ke alam realiti. Jauh benar dia mengelamun teringatkan kisah yang diceritakan oleh Qarizh sendiri ketika mereka masing-masing berada di dalam Team Satria Hitam.

"Yalah, yalah." Rayyan beralah lalu berjeda sebentar.

"Jadi, kau rasa Black targetkan gegirl kau tu sebab..." Berhati-hati, Rayyan bertanyakan soalan.

"Aku tak tahu, Boss." Qarizh melepaskan keluhan.

"Aku rasa helpless betul kali ni. Bijak sangat kepala otak orang hitam tu. Dia macam bayang-bayang dan serius, aku tak dapat tebak pelan dia." Separa mengeluh, Qarizh menjelaskan situasinya.

Seusai dia bertutur meluahkan buah fikiran, dia terdiam. Rayyan di talian juga tidak berbunyi apa-apa. Namun, dia tahu sahabatnya itu juga sama sepertinya. Masing-masing buntu dalam memecahkan rahsia The Great Father.

"Sekarang ni, aku nampak si Black tu pergi kat gudang lama." Setelah lama terdiam, Rayyan bersuara di talian.

"Ya, aku pun nampak," jawab Qarizh perlahan.

"Kau rasa..." Rayyan kedengaran berjeda.

"Negatif. Mengikut maklumat Sarah, tak ada bilik bawah tanah pun di gudang ni." Laju Qarizh membelek tabletnya. Namun, belekannya terhenti apabila dia perasankan sesuatu.

"Eh, kau nampak si hitam tu?" soal Qarizh pelik. Macam mana Rayyan boleh nampak?

"Aku nampak je. Well, aku kan Rayyan Razien." Sempat Rayyan mengangkat bakul seraya tertawa kecil.

HI, ENCIK PROFESSOR!Where stories live. Discover now