BAB 3

103 6 0
                                    

"Boring." Nazrin melepaskan kuapan malas. Dia sedikit mengantuk. Kalau diikutkan hati, dia mahu tidur sahaja.

"Pening juga Biologi tadi, kan?" Thoriq di sebelahnya menambah. Dia tidak faham apa pun yang dipelajarinya sebelum zuhur tadi.

"Hey, bro, shut up. Aku malaslah nak sembang fasal belajar." Nazrin menolak bahu Thoriq.

Thoriq sekadar tersengih-sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jelas, Nazrin juga berkongsi keadaan dengannya. Sama-sama pening-pening lalat.

Bertukar dari tingkatan tiga ke tingkatan empat, masuk pula ke aliran Sains, mereka seperti terpinga-pinga dengan segala subjek baharu. Mereka bukanlah pelajar yang cemerlang sangat. Keputusan PMR mereka hanya cukup-cukup makan untuk melayakkan mereka menduduki aliran Sains.

Sekarang, kepala mereka masih berasap walau sudah dibasahi wudhu' dan melakukan solat Zuhur berjemaah sebentar tadi.

Mereka berdua menuruni tangga dari tingkat dua musolla bersama-sama sekumpulan pelajar yang lain. Semuanya mahu ke dewan makan. Ada juga sebahagian pelajar yang menggunakan masa ini untuk tidur sementara menanti kelas disambung pada pukul 2.30 petang sebentar lagi.

"Apalah nasib kena masuk kelas Sains. Why the heck my parents force me to do it. Haih." Nazrin menyambung rungut. Nampak sangat dia memang tidak suka akan keadaannya yang terkini.

Masa kecil Nazrin banyak dihabiskan di Amerika Syarikat, memandangkan dia lahir di sana. Ayahnya, berkahwin semasa masih di pengajian ijazah dengan warganegara Amerika, dan tinggal di sana sehingga tamat pengajian pada peringkat doktor falsafah (Ph.D). Kerana itu rambut Nazrin berwarna kuning oren, kerana dia anak kacuk.

Dia sebenarnya seorang yang punya kecerdasan, tetapi Nazrin ada sikap pemalas yang tinggi. Dia sentiasa melayari kelas-kelasnya dengan tidur. Malah, segala kerja dan latihan yang diberikan oleh guru tidak dilakukannya.

Namun begitu, kerana kecerdasannya yang semula jadi, dia berjaya mendapat keputusan yang sederhana dalam PMR. Hal itu menyebabkan dia dipaksa untuk mengambil aliran Sains, kerana ibu bapa Nazrin percaya, Nazrin boleh menebus kegagalan PMR-nya dengan cemerlang di aliran Sains, seterusnya menjadi doktor.

Thoriq merupakan sahabat karib Nazrin semenjak tingkatan satu. Walau tidak semalas Nazrin, Thoriq mempunyai masalah disiplin dan gemar membuatkan guru-guru tidak mengendahkannya. Pencapaian akademiknya sederhana sahaja. Dia juga tidak minat aliran Sains, tetapi mengikutinya atas paksaan keluarga. Dia mempunyai masalah dengan semua guru yang mengajarnya, juga mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ibu bapanya. Motivasi Thoriq di dalam kelas subjek Sains hanyalah Nazrin, sahabat karibnya.

Sebaik sahaja mereka berdua menuruni anak tangga terakhir, kedengaran bunyi yang agak riuh dari arah hadapan lobi. Apabila mereka melangkah ke tempat itu untuk keluar dari musolla, kelihatan ruang itu sesak. Papan kenyataan utama yang terletak di situ dikerumuni ramai. Ditambah pula aliran pelajar yang baru turun dari tingkat dua seusai solat Zuhur, membuatkan kawasan itu menjadi padat.

"Biar betul!"

"Susahkah kalau nak masuk?"

"Tapi kalau pandai main, seronok tahu!"

"Ada peluang!"

Suara-suara itu bertingkah dalam kalangan pelajar yang memenuhi lobi tersebut. Semua seakan teruja dengan apa yang dilihat.

"Why?" Nazrin memandang Thoriq.

Thoriq menjungkit bahu. Dia cuba memanjangkan leher, hendak melihat apa yang tertampal di papan kenyataan. Namun, oleh kerana posisinya yang agak jauh dari papan kenyataan, ditambah pelajar yang berasak-asak hendak membaca pengumuman, bersama dengan aliran pelajar yang turun dari tingkat atas, dia langsung tidak dapat mengetahui apa yang menjadi tarikan semua di situ.

Gelombang Baru: Membina ArusWhere stories live. Discover now