E-BOOK: KOMBO HEROIN (SAMPLE)

By AnjellHomosapien

153K 4.3K 502

Ini hanyalah sample. Hanya ada beberapa bab sahaja. Kombo Heroin terdiri daripada dua ebook: 1. His Name Is L... More

~ HIS NAME IS LUCCA~
PROLOG
BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9
~ BUKAN PILIHAN PERTAMA~
BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9

PROLOG

6.6K 132 9
By AnjellHomosapien

PROLOG

SUNGGUH indah sekali dekorasi ruangan itu. Belon-belon terapung di udara. Satu bentuk hati sederhana besar yang terdiri daripada kelopak bunga mawar merah terletak di tengah meja. Kiri dan kanan juga penuh dengan jambangan bunga mawar putih dan merah. Umpama satu taman bunga. Sehingga meruap-ruap haruman manis di udara.

Ruangan itu separa gelap, hanya diterangi oleh cahaya lilin. Berpuluh-puluh lilin kecil di dalam piring terletak di beberapa sudut dan ada pula dua batang lilin merah panjang dan besar di atas meja bulat itu. Pencahayaan untuk ruang itu.

Candlelight dinner. Menjadi impian setiap pasangan yang dilamun cinta. Seperti impianku juga suatu ketika dahulu.

Sungguh romantis rasanya. Diiringi melodi perlahan yang buatkan hati rasa tenang dan terbuai-buai. Menghadap pula keindahan menara tinggi KLCC yang menjadi kebanggaan tanah air itu.

Duduk bertentangan denganku sekarang ini adalah Adri yang segak dengan tuksedo hitamnya. Rambutnya juga distail rapi. Gayanya apabila menghadiri majlis formal atau ketika menjadi model. Lelaki itu sangat kacak. Itu memang tak dinafikan.

Aku masih tertanya-tanya. Apa motif dia mengajakku ke makan malam romantis ini? Bukan tak pernah kami keluar makan malam bersama. Tapi malam ini, rasanya lain macam. Sehinggalah kami habis menjamu selera, dia keluarkan satu kotak kecil berwarna hitam.

Mata terpaku pada kotak itu, sambil menahan dada yang tiba-tiba berdebar hebat. Aku tak bodoh untuk mengetahui apakah isinya itu. Mungkinkah?

Lalu aku mengangkat wajah untuk melihat Adri. Dan Adri sendiri tanpa membuang masa, terus mengesahkan apa yang bermain dalam fikiranku tadi. Tiada langsung kias-kiasannya. Tiada juga bahasa seindah pujangga.

"Kahwin dengan I, Mel. Will you marry me?"

Tapi tetap buatkan aku terkedu. Beberapa saat aku sebegitu, mungkin sehingga lupa cara untuk bernafas. Masih tak percaya! Sehinggalah suara garau Adri memanggil namaku, terusku kembali ke alam nyata.

Adri lamar aku!

Aku pandang sekali lagi matanya yang terbias api lilin yang meliuk-liuk itu.

Tiada kemesraan. Platonik.

Buatkan aku sedar kembali tentang status hubungan kami. Menjunam terus rasa gembira. Hilang terus segala rama-rama di dalam perut.

Macam mana aku boleh lupa?

Aku hanya mampu tersenyum pahit. Namun, itu langsung tak menggoyahkan keputusanku. Lalu dengan penuh yakin, aku menjawabnya.

"Yes, I will."


JIKA ditanya siapakah yang faham tentang perasaan apabila tidak menjadi pilihan pertama, dengan rela hati aku akan menjawabnya.

Aku.

Ya.. aku, Tengku Melisa binti Tengku Junaidi, seorang pelakon terkenal yang mem-punyai ramai para peminat cukup mengerti bagaimanakah rasanya apabila tidak menjadi pilihan pertama.

Pernah sekali aku menjadi pilihan pertama. Ketika detik terpenting dalam hidupku. Ketika detik itu sepatutnya menjadi detik yang paling menggembirakan, tapi malangnya semuanya bertukar sebaliknya.

Ketika aku dilahirkan ke dunia ini.

Arwah ibuku menghadapi komplikasi ketika melahirkanku. Lalu hanya satu pilihan yang diberikan. Aku atau nyawa sendiri? Kasih seorang ibu, sudah pasti sanggup memberikan apa-apa sahaja untuk anaknya. Pilihan ibu ketika itu adalah aku. Demi memberi nafas baru untukku, dia rela korbankan nyawanya.

Kerana ibuku, aku dapat dilahirkan ke dunia ini. Namun, seperti yang aku katakan tadi, detik yang sepatutnya menjadi detik paling menggembirakan itu menjadi detik yang paling mendukacitakan. Tarikh lahirku adalah tarikh pemergian ibu. Tarikh yang tak mungkin aku dapat ubah. Tarikh itu harus aku kenang sampai mati.

Dah tentu ada harga yang harus aku bayar setelah itu. Lahirnya aku bermakna hilanglah ibu. Jika aku hilang ibu, papa pula hilang isteri. Isteri kesayangannya. Cinta pertamanya. Akibatnya, papa mengabaikan aku. Mungkin aku menjadi pengingat ibu. Atau mungkin dia salahkan aku untuk pemergian ibu. Papa masih meratap walaupun beberapa tahun sudah berlalu.

Aku adalah anak tunggal dan dibesarkan oleh pengasuh. Tiada kasih sayang ibu. Tiada juga kasih sayang seorang ayah. Papa memberikanku segala-galanya melainkan kasih sayang. Sehingga sekarang. Hubungan kami tak sama seperti anak dan ayah yang lain. Hubungan kami jauh. Makin aku besar, makin ketara jurangnya.

Lebih-lebih lagi setelah kehadiran keluarga baruku. Ketika aku berumur sepuluh tahun, papa membuat keputusan untuk berkahwin baru. Sejak itu, Mama Jihan menjadi ibu tiriku. Dia dibawa masuk ke dalam rumah agam papa. Dia dan anak perempuannya, Suhaili yang berusia setahun lebih tua dariku.

Mama Jihan tak terlalu baik denganku, tapi tak adalah sampai tahap ibu tiri yang jahat. So, yeah! Tipikal kisah Cinderella tanpa bahagian dicaci dan dibuli untuk menjadi hamba abdi. Mama Jihan menerimaku sebagai anak tirinya. Tapi, aku tak rasa kasih sayang daripadanya. Mungkin aku sekadar tanggungjawabnya.

Dan Suhaili adalah segala-galanya untuk Mama Jihan. Selalu inginkan yang terbaik untuk Suhaili. Anehnya, aku tak rasa sakit hati atau benci dengannya! Mungkin aku tahu, kasih sayang ibu tiada taranya. Mana-mana ibu pun pasti sanggup buat apa-apa demi anaknya. Aku yakin kalau arwah ibuku masih hidup, dia juga akan lakukan hal yang sama untukku.

Aku dan Suhaili? Ya.. tipikal kisah Cinderella juga! Kami tak berapa ngam. Bergaduh, tarik-tarik rambut itu biasa. Tapi, tak adalah selalu. Kadang-kadang berebutkan sesuatu. Selalu Mama Jihan yang datang menjadi pendamai. Solusinya mudah saja. Menangkan Suhaili. Aku dari kecil lagi sudah diajar untuk sentiasa mengalah.

Semakin membesar, aku dan Suhaili bagaikan punya kefahaman tersendiri. Sekadar bertoleransi demi keamanan sejagat. Di sekolah, buat-buat tak kenal. Kalau bukan sebab kami datang dari kereta yang sama, pasti orang tak tahu kami adik-beradik tiri. Kami berdua secuba mungkin untuk tidak berada dalam satu ruang yang sama.

Mama Jihan dan Suhaili menceriakan papa. Aku dapat lihat papa mudah tersenyum. Tapi aku rasa aku disisihkan. Aku rasa posisi aku yang selalu tercorot di sisi papa bila-bila masa akan disingkirkan.

Dulu aku sering takut aku akan dilupakan. Aku sering mencuba untuk berada di sisi baik papa. Aku akan selalu lakukan sesuatu untuk puaskan hati papa. Aku, anak kandungnya sendiri cuba mengemis kasih sayang dan perhatian papa kandungku.

Sehinggalah satu masa, aku beputus asa. Bila papa hanya sekadar memujiku seperti seorang bos memuji pekerjanya yang gigih, aku buat keputusan untuk mengalah saja. Sebab aku dapat lihat perbezaannya bila papa dengan Suhaili. Dia betul-betul bangga dengan pencapaian Suhaili.

Jadi, aku berhenti berjuang untuk men-dapatkan perhatian papa! Aku harus terima hakikat yang walaupun aku anak kandung, aku tak akan pernah menjadi pilihan pertama papa.

Suhaili terus-terusan menjadi anak kebanggaan papa. Sekurang-kurangnya usahanya untuk mencuri perhatian papa berhasil. Cemerlang dalam pelajaran. Dihantar belajar ke University of Cambridge. Dia berkecimpung dengan dunia perniagaan seperti papa. Dia mengikut langkah papa menerajui syarikat gahnya. Papa membentuknya menjadi Tengku Junaidi Junior.

Aku? Well.. Aku dah cakap tadi, aku tak peduli. Tapi, aku tak pernah memberontak. Aku masih dikategorikan sebagai anak yang baik. Harus saja berterima kasih kepada Mak Ilah, pembantu rumah merangkap pengasuhku yang mendidikku dengan sempurna. Aku diajar untuk sering berbuat baik dan menjaga adab. Aku dididik supaya selalu mendoakan yang baik-baik.

Sesuatu yang gagal dilakukan oleh papaku sendiri!

Itu bukanlah kali pertama aku tidak menjadi pilihan pertama seseorang. Aku juga pernah gagal dalam percintaan. Dan ya.. kerana orang ketiga dan lelaki itu tidak memilihku. Klise, bukan?

Mizan. Cinta pertamaku. Perkenalan kali pertama kami bermula di perpustakaan universiti. Ketika itu, aku sedang menyambung pelajaran di salah sebuah universiti tempatan. Kami berebutkan satu buku yang sama. Seklise-klise jalan cerita, dari mata turun ke hati. Kami mula berkenalan. Dari perkenalan muncul pula bibit-bibit cinta.

Ketika itu, Mizan di tahun akhir dan aku pula berada di tahun pertama untuk program ijazahku. Umurnya memang lebih tua dua tahun dariku. Hubungan kami baik. Mizan adalah seorang kekasih yang diimpikan oleh setiap wanita. Selalu kami menyulam masa depan. Dan bila dia sudah tamat belajar, dia nyatakan niatnya mahu menyuntingku.

Aku kuatkan hati untuk memperkenalkan Mizan kepada keluargaku. Aku yakin mereka sukakan Mizan. Mizan memang seorang lelaki yang menyenangkan. Dia juga seorang yang bijak. Dan andai mereka tak sukakan Mizan, aku akan pertahankan Mizan. Semuanya demi cintaku pada Mizan.

Aku menjemput Mizan ke majlis makan malam keluarga kecilku. Papa, Mama Jihan dan Suhaili yang baru tamat belajar juga ada. Aku bersyukur semuanya berjalan dengan lancar. Seperti yang aku harapkan. Mereka semua sukakan Mizan.

Malah, terlebih suka!

Aku patut berhati-hati ketika itu. Aku patut membangkang apabila papa menawarkan posisi kerja di syarikatnya kepada Mizan. Aku harus berkata sesuatu sebelum Mizan menjadi anak didik kesayangan papa. Dan semuanya mungkin dapat dielakkan.

Mungkin Mizan tak akan disambar oleh Suhaili, kakak tiriku sendiri.

Aku patut syak bila aku nampak mata Suhaili bersinar-sinar tiap kali memandang ke arah Mizan. Aku patut syak bila Suhaili sering beralasan mahu berdua-duaan dengan Mizan ketika di pejabat. Dia tertarik dengan Mizan. Dan semuanya menjadi mudah bila aku terpaksa pulang ke universiti untuk sambung pengajianku. Memang aku suka tinggal di kolej kediaman walaupun rumahku dekat. Aku tak suka tinggal di rumahku itu! Aku hanya akan pulang bila ada sesuatu yang perlu saja.

Aku masih ingat lagi ketika tembelang mereka pecah. Ketika itu, aku baru pulang setelah tamat belajar. Kegembiraanku terbantut sebaik saja tiba di rumah papa. Aku melihat Mizan ada di situ dan sedang berpegangan tangan dengan Suhaili. Ceria tanpa langsung rasa bersalah.

Dan aku mendapat berita yang cukup mengejutkan, yang hampir saja buat aku terkena serangan jantung.

Mereka sudah berkahwin!

Hampir rebah aku ketika itu. Wajahku pucat tak berdarah setelah mendengarnya. Sukar untuk aku percaya tapi bukti dah di depan mata. Mizan mengaku hatinya sudah beralih pada Suhaili. Katanya, Suhaili selalu ada di depan matanya dan perasaan itu muncul tanpa dipinta.

Jadi, salah aku jika dia tak mampu untuk setia?

Lelaki yang aku cintai juga memilih Suhaili!

Dan tahu apa yang lebih menyakitkan? Hubungan mereka direstui papa dan Mama Jihan. Mizan adalah menantu kesayangan. Mereka tahu tentang semua ini dan merahsiakan daripada pengetahuanku. Malah, aku tak dijemput lang-sung ke majlis perkahwinan Mizan dan Suhaili yang hampir seminggu sudah berlalu.

Move on. Itu kata papa. Dah jodoh mereka. Itu kata Mama Jihan. Alasan mereka tidak memberitahuku adalah kerana mereka tak mahu menggangguku yang sedang mengambil peperik-saan akhir. Entah betul, entahkan helah semata. Papa dan Mama Jihan jelas tersenyum lebar dan gembira dengan penyatuan mereka. Bagaikan perasaanku tiada nilainya!

Akhirnya, aku makan hati sendiri! Tak pernah aku rasa dikhianati seperti itu. Sakitnya.. hanya Allah yang tahu!

Sekali lagi, aku bukan pilihan pertama lelaki yang aku cintai.

Pedih itu memang pedih, tapi hidup harus diteruskan. Kumbang bukan seekor. Selalu aku tanam dalam diriku, aku tak rugi apa-apa kalau setakat hilang Mizan. Ramai lagi lelaki elok di luar sana.

Agak susah memandangkan aku akan selalu melihat pasangan bahagia itu di rumah papaku. Itu menjadi alasan kenapa aku dah tak pulang ke rumah papa lagi. Selain itu, fikiranku akan selalu menjurus ke arah pesimistik. Selalu rasa diriku penuh kekurangan. Apa yang telah berlaku buatkan aku hilang keyakinan diri.

Bukan senang untuk selalu positif!

Tapi, aku harus kuat! Aku sedar kebaha-giaanku adalah di tanganku sendiri. Jadi aku asuh diriku untuk tidak mempedulikan orang seke-liling dan lakukan saja apa-apa yang buat aku bahagia. Pekakkan telinga bila ada yang mengutuk.

Salah satunya adalah berkecimpung dalam dunia hiburan. Dunia yang tak berfaedah dan tak ada masa depan bak kata papa. Papa sangat membangkang keras pilihanku. Dia juga mahu aku ikut jejak langkahnya. Mentadbir syarikatnya dengan Suhaili.

Tapi, ada aku kesah? Langsung tak!

Be selfish! Itulah penguatku untuk terus melangkah.

Kalau dia tak pernah peduli ketika aku cuba untuk menjadi yang terbaik untuknya, kenapa harus dia campur tangan dalam urusan yang aku rasa terbaik untuk diriku? Bila perasaanku tak pernah dipedulikan mereka, aku juga buat keputusan untuk tidak memikirkan perasaan mereka.

Jadi, aku keraskan saja hati untuk mengikut kehendakku. Aku buat pekak sekalipun papa mengungkit dan membandingkan aku dengan Suhaili. Untuk seseorang yang masih berdarah lukanya, semua itu dah tak berbekas. Mungkin hatiku tiada tempat lagi untuk ditoreh. Aku sudah imun.

Tak pernah sekali pun aku terlintas mahu menjadi pelakon. Kalau bukan Zainal Arifin, seorang pengarah drama/filem terkenal yang menyekatku dan mempelawaku untuk menyertai ujibakat terbuka dalam pencarian heroin untuk drama terbarunya, aku tak akan pernah tahu aku punya bakat berlakon.

Mungkin memang semula jadi dalam darahku. Apa boleh buat kalau selama hayatku aku adalah satu lakonan? Berlakon bahagia.

Rezeki menyebelahiku. Aku terpilih untuk meneraju watak utama dalam sebuah drama dua puluh episod. Drama itu diterima penonton. Malah, setiap episod tular di Twitter. Setiap episod makin ramai penontonnya.

Lalu mencanak tinggi popularitiku sebagai seorang artis baru. Namaku sering dicari di Google. Pengikut di Instagramku makin hari makin bertambah. Aku mula dilamar oleh beberapa pihak produksi drama lain. Aku dijemput untuk sesi temubual dan menjadi tetamu di rancangan hiburan. Ada juga yang menawarkanku untuk menjadi duta produk.

Makin tahun berganti, makin aku terkenal. Walaupun aku hanya baru beberapa tahun berkecimpung dalam dunia seni, aku sering juga mendapat anugerah. Popularitiku memang tinggi. Aku menjadi idola ramai. Disayangi mereka semua. Dari semua peringkat umur, sebut saja Tengku Melisa, pasti ramai yang mengenaliku.

Aku gembira dan puas hati. Buat pertama kali dalam hidupku, aku dapat rasa macam mana menjadi pilihan pertama. Pilihan pertama para peminat. Pilihan pertama para penonton. Pilihan pertama para pengarah dan penerbit. Aku rasa sangat dihargai.

Jadi, jangan tanya aku kenapa aku cintakan dunia seni ini!

Namun aku selalu sedar, semua ini adalah sementera. Itulah resmi dunia hiburan. Populariti hanya sebentar. Bila-bila masa akan ada pengganti baru yang lebih hebat. Dan tika itu, mungkin namaku tak akan diingati lagi.

Memang adab dunia. Yang baru dipuja, yang lama dilupa. Tapi, bak kata orang putih..

Enjoy it while it lasts!

Dunia lakonan membawa kepada perke-nalan aku dan Adri. Siapa tak kenal Adri, mula dikenali sebagai penyanyi namun bakat lakonan juga bukan calang-calang. Dia jenis satu dalam seribu. Penyanyi nombor satu, lakonan juga nombor satu. Bonus pula dengan rupa yang kacak dan susuk tubuh yang tinggi. Ramai wanita gilakannya.

Kali pertama kami dipertemukan adalah untuk satu pembikinan drama baru. Dia hero dan aku heroinnya. Ketika itu, kami harus ke Bali untuk penggambaran beberapa adegan. Aku fobia menaiki kapal terbang. Itulah yang menjadi alasan aku membangkang keras ketika papa mahu aku sambung belajar di luar negara dulu. Pada mata papa, aku hanyalah seseorang yang memberontak. Tapi hakikatnya, aku terlalu takut untuk menaiki kapal terbang.

Aku pun tak tahu kenapa. Daya imaginasiku sangat tinggi. Yang buruk-buruk saja yang muncul dalam kepalaku kalau melibatkan kapal terbang. Apatah lagi aku selalu mendengar berita kapal terbang dirampas atau terhempas. Selalu tiada pun mangsa terselamat.

Tapi demi kejayaan drama ini, aku cuba melawannya. Mungkin aku sedar, aku harus lakukan sesuatu untuk jadi lebih berani. Mungkin juga aku tak mahu ada persamaan dengan Melisa yang dulu.

Kebetulan pula di dalam kapal terbang itu, tempat dudukku adalah di sebelah Adri. Adri mungkin perasan aku yang pucat muka menegurku. Lelaki itu sungguh baik dan caring. Dia cuba untuk menenangkanku. Dia ajarkan aku cara-cara untuk mengatasi panik. Dia ajarkan aku cara bernafas untuk menjadi tenang.

Terima kasih kepadanya, ketakutan hilang seketika. Sepanjang penerbangan, kami berbual-bual kosong. Cuba berkenal-kenalan. Juga sebagai ice breaking untuk mencipta chemistry. Pasti senang ketika berlakon nanti. Adri pula bukan jenis yang sombong. Aku sangat senang dengan personaliti Adri.

Sehinggalah tamat pembikinan drama itu, hubungan kami kekal baik. Dan drama pertama kami bersama mendapat sambutan tinggi. Ramai yang sukakannya. Sentiasa menjadi buah mulut orang sekeliling. Bergosip dan menanti apa akan jadi pada episod seterusnya. Semua memuji aku dan Adri yang nampak sepadan. Ramai yang meminta kami digandingkan lagi.

Dari satu drama menjadi dua drama. Aku dan Adri sering ditawarkan untuk berlakon bersama. Walaupun kami sering muncul bersama, tapi memandangkan setiap genre cerita itu adalah berbeza jadi mereka semua tak merungut. Malah, kami dilabel sebagai artis yang sangat versatil. Dan kami juga mendapat satu jolokan baru.

The Golden Couple.

Ramai yang menyokong kami bersama. Siap ada fans club lagi untuk nama itu. Semua mengharapkan hubungan kami lebih daripada kawan. Ramai yang mendoakan supaya kami terus berkahwin. Ada juga yang mengesyaki kami sedang bercinta tapi memilih untuk bermain tarik tali.

Tapi, aku lebih tahu. Semua itu memang mustahil. Adri sendiri pernah mengaku dia sudah berpunya. Adri yang digilai ramai itu jujur denganku walaupun identiti kekasihnya itu disembunyikan. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh lelaki lain. Selalu lelaki mengaku bujang selagi tidak diketahui oleh kekasihnya. Tak kurang juga yang menjadikan popularitinya untuk memainkan perasaan perempuan.

Perasaanku ketika itu, sungguh beruntung wanita itu. Jujur.. aku agak cemburu. Tapi, aku juga gembira untuk Adri. Jika dia mahu bersahabat denganku, aku rasa aku terima tanpa berat hati. Adri pasti percayakan aku sehingga dia sanggup berkongsi rahsia yang tak diketahui orang lain itu.

Dan ya, aku sukakan Adri! Wanita normal mana yang tidak tertarik dengan lelaki serba-serbi sempurna seperti Adri? Berwajah tampan dan berpersonaliti menarik. Dia sangat gentleman dan sopan. Profesional dan tak pernah melayan buruk semua orang. Langsung tak berlagak. Dia juga bersih daripada sebarang kontroversi kotor. Jadi, aku tak pelik kenapa dia disayangi ramai.

Tapi, aku tak pernah terlintas langsung untuk merampas Adri atau buatkan Adri jatuh cinta denganku. Mungkin sebab itu Adri senang denganku kalau dibandingkan dengan pelakon wanita lain yang tergedik-gedik dengannya bila ada peluang. Sebab aku tahu cinta itu macam mana. Sakit dikhianati itu amat menyakitkan dan aku tak mahu kekasih Adri itu merasakan hal yang sama.

Dara Nailufar. Itulah nama wanita bertuah yang memiliki hati lelaki Adri. Wajahnya sering ceria ketika bercerita tentang buah hati kesayangannya itu. Dan aku juga pernah ber-peluang untuk mengenali Dara. Memang aku akui, gadis itu sangat cantik. Aku sukakan Dara kerana wanita itu menghiburkan. Dia kelakar orangnya. Aku tak pelik kalau Adri boleh terpaut.

Adri memang jelas-jelas sangat cintakan Dara. Pernah dia merancang untuk melamar Dara untuk menjadi isterinya. Sanggup menerima andai popularitinya jatuh gara-gara telah ber-kahwin. Mungkin dia juga akan kurangkan aktiviti seninya untuk fokus kepada keluarganya. Dia rela kerana dia mahu hidup bersama Dara.

Dia meminta cadangan daripadaku. Dan sebagai seorang sahabat yang baik, aku tak lokek memberi idea kepadanya. Atau mungkin itulah impianku sebagai wanita. Jika aku tak mampu mencapainya, jadi aku doakan semoga perempuan lain yang lebih beruntung dapat mengecapinya.

Namun, aku tak tahu apa yang dah jadi di antara mereka. Suatu hari, tiada lagi cerita tentang Dara. Adri sendiri sudah berubah. Dia nampak agak dingin. Tiada lagi Adri yang ceria. Atau keceriaannya hanya topeng bila berhadapan dengan khalayak.

Melainkan denganku. Bila aku merisik khabar, katanya Dara menolak lamarannya. Hanya itu yang diceritakannya. Dan aku pun tak mahu korek lebih-lebih. Serius aku terkedu. Aku tak tahu apa yang berada dalam fikiran wanita itu sehingga sanggup menolak lelaki sebaik Adri. Sampai-sampai aku pernah rasa, betapa ruginya wanita itu!

Senyap seketika tentang wanita itu sehinggalah satu hari, buat pertama kalinya dalam sejarah Adri terpalit kontroversi. Namanya terpapar di segenap media sosial. Gambar lama dia dan Dara tersebar. Dan gara-gara itu, namaku terpalit sama.

Semua marah kerana Adri menduakan aku!

Pening aku jadinya. Tapi, aku tahu lagi pening Adri untuk menguruskan hal ini. Aku mendapat tahu Dara diserang oleh peminat-peminat fanatik kami. Aku kasihankan Dara. Tak pasal-pasal terkena tempiasnya sedangkan mereka betul-betul bercinta.

Aku juga tahu yang dalang di sebalik penyebaran berita itu adalah Sofea, pengurus merangkap kawan baik Adri sendiri. Sangat terkejut aku dibuatnya. Adri sendiri rasa sangat dikhianati. Aku tak tahu apa yang mendorong Sofea untuk melakukan semua itu.

Demi Adri, aku membantunya untuk meredakan kontroversi itu. Menyatakan hubung-an kami baik-baik saja, walaupun aku tak tahu bila masa kami menguar-uarkan yang kami sedang bercinta. Aku menyatakan aku mengenali siapa Dara dan wanita itu baik orangnya. Adri tak pernah merahsiakan apa-apa dariku.

Walaupun aku tahu, hakikatnya Adri masih cintakan Dara. Aku dapat melihat cahaya dalam mata Adri bila Dara kembali muncul dalam hidupnya. Buatkan aku tertanya-tanya apa yang dah jadi pada mereka berdua dulu. Tapi sampai sekarang aku tak tahu cerita penuhnya. Sebab aku sedar, aku tak punya apa-apa hak. Jadi, jangan sibuk!

Cinta itu boleh mendorong seseorang untuk melakukan kerja gila. Adri sanggup korbankan masa depannya demi Dara yang masih dicintainya. Adri nampaknya sudah nekad. Alasan kenapa aku berada di sini, pada malam ini dikelilingi suasana romantis ketika dilamar seperti yang aku impikan dulu.

Adri mahu berkahwin denganku. Hanya kerana Dara Nailufar itu. Aku tahu Adri tak mahu kehidupan aman Dara diganggu-gugat lagi kerananya. Dia melamarku untuk menutup mulut orang lain. Supaya mereka hanya fokus kepada kami. Kami yang sudah biasa dengan asam garam dunia hiburan ini mampu untuk menerimanya.

Aku juga tahu, semua ini juga dipengaruhi oleh berita Dara yang mahu berkahwin. Dara sudah mendapat pengganti Adri. Dara sudah menyintai yang lain. Adri patah hati teruk. Dia tahu kisah dia dan Dara sudah tamat dengan rasminya. Jadi, dia mahu menggunakan aku untuk melupakan Dara.

Sekali lagi.. aku bukan pilihan pertama!

Jika aku sedar akan semua ini, kenapa aku tetap bersetuju?

Mudah jawapannya. Sebab aku cintakan Adri. Aku tak tahu sama ada aku harus berterima kasih pada Dara atau tidak, tapi gara-gara dia, aku dapat berkahwin dengan Adri, lelaki yang aku cintai itu. Aku tahu aku hanya memiliki jasad Adri, tapi bukan hatinya. Tapi.. Better something than nothing!

Perkahwinan ini adalah satu pertaruhan. Pertaruhan yang aku akan berusaha untuk menjadi pemenangnya! Aku berdoa semoga hatiku kuat untuk menerima semuanya nanti. Aku harap aku tak menyesal dengan pilihanku ini.

Aku juga harap aku akan bahagia nanti! Persoalannya, mampukah aku?

Continue Reading

You'll Also Like

312K 1K 14
Ini cerita Zink dan Caan yang melakar pertemuan di bangku IPT. Yang si gadis, cemerkap itu sudah sebati dalam diri dan jadi identiti. Yang si jejaka...
1.5K 122 43
start;17 mei 2020 complete;9 julai 2020 "aku tak boleh jaehyun..aku takut aku buang masa lagi.sekarang ni aku harap sangat,kita tak pernah pun mulaka...
242K 10.6K 24
'When a man truly loves a woman, she becomes his weakness. When a woman truly loves a man, he becomes her strength. This is called Exchange of Power...
24.2K 3.3K 12
๐–ณ๐—‚๐—‰๐—Œ ๐—Ž๐—‡๐—๐—Ž๐—„ ๐—Œ๐–พ๐—†๐—Ž๐–บ ๐—‰๐–พ๐—‡๐—Ž๐—…๐—‚๐—Œ ๐–ฝ๐—‚ ๐–ถ๐–บ๐—๐—๐—‰๐–บ๐–ฝ. ๐™จ๐™ฉ๐™–๐™ง๐™ฉ : 2020 ๐™š๐™ฃ๐™™ : ๐—Œ๐—ˆ๐—ˆ๐—‡ ๐™จ๐™ฉ๐™–๐™ฉ๐™ช๐™จ : ๐–จ'๐—…๐—… ๐—Ž๐—‰๐–ฝ๐–บ๐—๐–พ ๐—‚๐–ฟ ๐–จ ๐—...