PROLOG

6.5K 132 9
                                    

PROLOG

SUNGGUH indah sekali dekorasi ruangan itu. Belon-belon terapung di udara. Satu bentuk hati sederhana besar yang terdiri daripada kelopak bunga mawar merah terletak di tengah meja. Kiri dan kanan juga penuh dengan jambangan bunga mawar putih dan merah. Umpama satu taman bunga. Sehingga meruap-ruap haruman manis di udara.

Ruangan itu separa gelap, hanya diterangi oleh cahaya lilin. Berpuluh-puluh lilin kecil di dalam piring terletak di beberapa sudut dan ada pula dua batang lilin merah panjang dan besar di atas meja bulat itu. Pencahayaan untuk ruang itu.

Candlelight dinner. Menjadi impian setiap pasangan yang dilamun cinta. Seperti impianku juga suatu ketika dahulu.

Sungguh romantis rasanya. Diiringi melodi perlahan yang buatkan hati rasa tenang dan terbuai-buai. Menghadap pula keindahan menara tinggi KLCC yang menjadi kebanggaan tanah air itu.

Duduk bertentangan denganku sekarang ini adalah Adri yang segak dengan tuksedo hitamnya. Rambutnya juga distail rapi. Gayanya apabila menghadiri majlis formal atau ketika menjadi model. Lelaki itu sangat kacak. Itu memang tak dinafikan.

Aku masih tertanya-tanya. Apa motif dia mengajakku ke makan malam romantis ini? Bukan tak pernah kami keluar makan malam bersama. Tapi malam ini, rasanya lain macam. Sehinggalah kami habis menjamu selera, dia keluarkan satu kotak kecil berwarna hitam.

Mata terpaku pada kotak itu, sambil menahan dada yang tiba-tiba berdebar hebat. Aku tak bodoh untuk mengetahui apakah isinya itu. Mungkinkah?

Lalu aku mengangkat wajah untuk melihat Adri. Dan Adri sendiri tanpa membuang masa, terus mengesahkan apa yang bermain dalam fikiranku tadi. Tiada langsung kias-kiasannya. Tiada juga bahasa seindah pujangga.

"Kahwin dengan I, Mel. Will you marry me?"

Tapi tetap buatkan aku terkedu. Beberapa saat aku sebegitu, mungkin sehingga lupa cara untuk bernafas. Masih tak percaya! Sehinggalah suara garau Adri memanggil namaku, terusku kembali ke alam nyata.

Adri lamar aku!

Aku pandang sekali lagi matanya yang terbias api lilin yang meliuk-liuk itu.

Tiada kemesraan. Platonik.

Buatkan aku sedar kembali tentang status hubungan kami. Menjunam terus rasa gembira. Hilang terus segala rama-rama di dalam perut.

Macam mana aku boleh lupa?

Aku hanya mampu tersenyum pahit. Namun, itu langsung tak menggoyahkan keputusanku. Lalu dengan penuh yakin, aku menjawabnya.

"Yes, I will."


JIKA ditanya siapakah yang faham tentang perasaan apabila tidak menjadi pilihan pertama, dengan rela hati aku akan menjawabnya.

Aku.

Ya.. aku, Tengku Melisa binti Tengku Junaidi, seorang pelakon terkenal yang mem-punyai ramai para peminat cukup mengerti bagaimanakah rasanya apabila tidak menjadi pilihan pertama.

Pernah sekali aku menjadi pilihan pertama. Ketika detik terpenting dalam hidupku. Ketika detik itu sepatutnya menjadi detik yang paling menggembirakan, tapi malangnya semuanya bertukar sebaliknya.

Ketika aku dilahirkan ke dunia ini.

Arwah ibuku menghadapi komplikasi ketika melahirkanku. Lalu hanya satu pilihan yang diberikan. Aku atau nyawa sendiri? Kasih seorang ibu, sudah pasti sanggup memberikan apa-apa sahaja untuk anaknya. Pilihan ibu ketika itu adalah aku. Demi memberi nafas baru untukku, dia rela korbankan nyawanya.

E-BOOK: KOMBO HEROIN (SAMPLE)Where stories live. Discover now