" Segala pujian bagi Allah,Tuhan Semesta Alam.Kami baik-baik sahaja walaupun terpaksa mengambil jalur perjalanan yang sedikit jauh dari biasa."

Nik senyap sahaja tetapi pandangan matanya merayapi setiap bingkai wajah yang satu persatu menyalaminya ketika itu dan ada pula yang mendakap batang tubuhnya kejap diiringi ungkapan penuh kesyukuran kerana dia selamat sampai ke situ.

Seorang demi seorang memperkenalkan diri kepadanya dan ia semakin membuatkan Nik menyedari bahawa dia bukan seorang yang asing kepada mereka yang berada di situ .Abu Wassim yang segak lampai berkulit sawo matang.Lalu ada pemuda yang memperkenalkan diri sebagai Tun Indera dan Aduka.Abu Zarr ,Tun Nila ,Datuk Penghulu Bijaya Diraja dan akhir sekali Naufal dan Indah.

Ketika menjabat kejap jari-jemari Naufal dan sedikit mengangguk kepada Indah di hujung beranda,imbasan imej tubuh kedua-duanya yang terbujur kaku di ruang tengah rumah Pakchu Deris beberapa jam lepas membuatkan Nik mengerjapkan matanya sedikit bingung.

" Silakan mencicip sedikit juadah kami yang tidak seberapa,anaknda."

Lelaki berwajah cerah dan menyenangkan untuk ditatap lama-lama itu menyua satu dulang berisi satu cawan dan teko serta buah-buahan yang telah dibersihkan.Melihat Naufal mengangguk sekilas,perlahan-lahan dia mencapai tangkai cawan lalu membawanya ke tubir mulut.Ada air yang manis tetapi hangat menuruni rengkungnya membawa bersama haruman melur dan pandan yang samar-samar.

" Terima kasih.."

Sekilas senyuman pemuda itu melintasi bibirnya lalu kesenyapan kembali merajai ruang beranda luas rumah bertiang tinggi tersebut.Dan yang lebih tepatnya,dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan apatah lagi jika menyangkut soal Sapta Adhasta dan kaitannya dengan mereka bertiga.

Segala-galanya tampak seperti terlalu tidak masuk akal.Mengingati bagaimana ada seekor harimau jantan dengan bahu kukuh baru sahaja melenggang malas lalu hilang dalam kegelapan malam,dia menghela nafasnya berat.

Waima ketika merebahkan tubuhnya ke atas permukaan tikar mengkuang di sebelah Naufal yang sudah lama lelap,Nik masih terkebil-kebil.Dia,seorang anak muda yang terdidik dan membesar dalam dunia moden entah bagaimana boleh terlibat dengan sesuatu yang sangat asing kepadanya dan sedikit tidak masuk akal pula.

Sebenarnya dia tidak tahu bagaimana hendak menyikapi hal tersebut lebih-lebih lagi ia merupakan hal yang agak sensitif untuk dibicarakan dalam lingkungan masyarakat moden masa ini.Hal-hal ghaib yang tak kasatmata sedikit tabu bagi mereka.

Golek ke kiri golek ke kanan,mata Nik tetap tidak kunjung lelap.Sepasang matanya merayapi alang ruangan di mana tikar mengkuang untuk mereka merebahkan tubuh dibentangkan sementara telinganya menangkap suara satwa malam saling sahut-bersahutan antara satu sama lain.

Sehingga hari yang menginjak dinihari mulai beransur terang-terang tanah dan bunyi kokokan ayam melengking-lengking dibawa angin dingin dari Timur sementara suara Abu Wassim melaungkan azan memasuki relung pendengarannya,Nik bangkit dalam keadaan separuh mamai.Terpisat-pisat menggosk matanya yang terasa gatal kerana tidak cukup tidur akibat berkalih ke kiri dan ke kanan hampir sepanjang malam.

Dingin air telaga yang dicurahkan ke arah tadahan tangannya oleh Abu Zarr membuatkan mata Nik segar semula hampir serta-merta.Saf dirapatkan dan Iqamah segera mengisi keheningan subuh di permukiman tersebut.Berimamkan Tun Indera yang terjaga jauh lebih awal memenuhi rutin sepertiga malamnya seperti biasa.

Namun,tepat ketika mereka mengaminkan doa pada penghujung solat,jeritan nyaring dari halaman membuatkan saf mereka bubar dan masing-masing berlari ke arah beranda.Melihat dua susuk tubuh saling memapah sesama mereka dan berdiri senget pula di atas kaki sendiri.Berdarah pula seperti baru berjaya menyelamatkan diri daripada sebuah perkelahian bersenjata.

" Abu Hussin. " Abu Zarr bersegera menangkap tubuh anak muda tersebut yang hampir terjelepok ke atas permukaan tanah. " Kenapa dengan tuan hamba? "

" Mmukkkkimmmm... mukkimmmmm kitthaa di serrangg, Pengghulluu.. "

Lelehan darah dari sudut mulutnya membuatkan perkataan yang terbata-bata itu hampir tidak jelas pada pendengaran mereka.Dan ketika jari berlumuran darah pemuda itu menunding satu arah, mereka tergamam.

Di antara rekahan bilah sinar matahari yang masih samar, asap hitam berkepul-kepul naik ke udara di sebelah utara permukiman tersebut. Malahan ada pula kelihatan lidah api yang sesekali menjulang tinggi dan sayup jerit pekik para warga menyelamatkan diri masing-masing.

Mendengar gumaman takbir dari Tun Indera, Naufal serta-merta menoleh. Tanpa menunggu digamit, pemuda tersebut mengorak langkah kakinya menyaingi Aduka dan Abu Wassim yang sudah berlari kencang ke hadapan.

*              *            *

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now