Hazel mengerutkan dahinya. Dia berpaling ingin meneruskan langkah pulang ke rumah tetapi suara itu masih kedengaran.

"Nak pergi ke tak nak?" gumam Hazel perlahan.

"Jangan jadi busy body, Hazel. Kalau orang jahat macam mana?" Hazel menggelengkan kepalanya.

"Kalau dia nak pertolongan macam mana?"

"Jangan pergi, Hazel." halang Hazel. Mulut kata lain tetapi hati kata lain. Kakinya melangkah masuk ke dalam lorong itu.

Lorong itu gelap kerana bangunan di kiri kanannya yang tinggi menghalang cahaya matahari menerangi lorong itu.

Hazel melangkah perlahan agar tidak menghasilkan sebarang bunyi. Semakin dia dekat, semakin jelas suara yang dia dengar.

Dia menyorok di sebalik tong sampah yang kosong itu. Kalau ada sampah, sudah tentu dia tidak akan menyorok di situ dan niatnya pasti akan dibatalkan. Lorong itu rupa-rupanya adalah jalan mati. Patutlah gelap semacam.

"Kau bagitahu cikgu kan kita orang buli kau?"

"Tak sumpah. Aku tak bagitahu."

"Kau tak payah nak menipu! Sebelum ini pun kau pernah nak bagitahu!"

"Sekali itu saja. Selepas itu aku dah tak buat."

"Penipu!"

"Please, jangan buat macam ini!"

"Kau ingat aku kisah ke!"

"Argh!"

"Woi!" Hazel keluar dari tempat persembunyiannya. Terlihat dua orang pelajar lelaki dan dua orang pelajar perempuan sedang berdiri manakala seorang pelajar perempuan duduk di atas jalan tar.

"Kau siapa?" tanya salah seorang pelajar lelaki itu. Wajahnya kelihatan bengis.

Hazel menelan air liur kesat. Dia memang buat kerja gila. Sudahlah tidak reti berlawan. Ada hati pula mahu masuk campur hal orang.

"Kau nak sibuk tahu kenapa? Biarlah aku siapa pun." Hazel terasa mahu menepuk mulutnya kuat-kuat kerana lancang sahaja apabila berbicara.

"Kau..."

"Aku dah rakam! Aku report polis!" Laju sahaja Hazel menunjuk telefonnya. Langkah lelaki itu yang ingin mendekati Hazel terhenti.

"Kau orang blah sebelum aku report polis." ugut Hazel.

Dia sudah berura-ura ingin menelefon polis. Wajahnya menayang reaksi begitu berani tetapi jantungnya begitu berdegup kencang kerana gementar.

"Kita blah saja. Masak kita kalau budak ini report polis." Salah seorang pelajar perempuan itu berkata.

"Kau jangan ingat kau terlepas." Empat orang pelajar tadi berlalu pergi. Tinggallah Hazel dan pelajar perempuan itu.

Hazel memandang ke arah empat orang pelajar tadi ingin memastikan mereka betul-betul sudah keluar dari lorong itu. Dia menarik nafas lega. Dia begitu takut sekali tadi.

The Stupidos | The Hidden CureWhere stories live. Discover now