Badan Akil aku rangkul dengan satu dakapan erat sekali. Hangat tubuhnya mampu menghilangkan rasa dingin subuh hari. Air mata aku tidak henti-henti mengalir deras dari tadi kerana ini kali terakhir aku bakal berada dalam pelukan lelaki ini sebelum kami akhirnya membawa haluan sendiri.
Pelukan itu aku lerai. Mata aku meliar melihat setiap sudut ruang rumah yang selama 5 tahun ini menjadi syurga kecil buat kami berdua. Di sebalik pintu apartmen kecil ini lah kami menjalani sebuah mahligai cinta yang jauh dari penilaian dan campur tangan manusia lain. Di sini dunia kecil kami, hanya kami berdua sahaja.
Satu kucupan lembut hinggap di dahiku. Akil cuba menatap mata aku, memberikan signal bahawa segalanya bakal baik-baik sahaja. Dia cuba berlagak tenang, namun pada raut wajahnya jelas sekali terlihat rasa duka. Sejak dari awal lagi kami sudah tahu hari ini bakal tiba jua, namun kami tetap juga mencuba untuk bersama. Lalu pada akhirnya, kami perlu juga tunduk pasrah dengan fitrah dunia nyata. Kami akur, mungkin takdir kami hanya untuk dipertemukan buat seketika, sekadar belajar apa itu rasanya cinta dan lalu pada akhirnya kami berdua harus berpisah buat selamanya.
Aku dan Akil memang sudah sekian lama bersama, hampir 8 tahun juga. Pertemuan kami berdua bermula sejak kami di Universiti lagi. Di situ lah bermulanya cinta luar biasa kami. Aku ingat lagi perasaan pertama kalinya kami membuat keputusan untuk berpindah dan tinggal bersama setelah masing-masing bekerjaya 5 tahun lalu. Rumah ini lah yang menjadi saksi kepada segala suka dan duka hubungan kami berdua.
Aku melangkah ke ruangan dapur rumah itu, sambil ditemani Akil di sisi. Ruang ini lah tempat yang selalu aku habiskan waktu aku apabila Akil sibuk bekerja. Aku merupakan peniaga atas talian secara kecil-kecilan, maka pejabat kecil aku adalah di rumah sahaja. Di sini juga tempat aku berada setiap pagi dan petang bagi menyediakan sarapan dan makan malam untuk kami berdua, kerana pada siangnya Akil akan sibuk di pejabatnya jadi aku hanya memasak untuk pagi dan malam sahaja. Sesekali rajin juga aku mencuba-cuba resepi baru yang ditemukan di YouTube. Entah menjadi, entah tidak aku hentam sahaja. Nasib baik juga nafsu makan Akil persis buaya. Bagi lah apa sahaja, past ilicin ditelan olehnya.
Kemudian, aku beralih pula ke ruang tamu. Di ruang ini tempat kami meluangkan masa di waktu hujung minggu untuk Netflix and chill jika kami tidak merancang untuk keluar ke mana-mana. Di ruang ini juga menjadi tempat Akil membuat segala kerja-kerjanya dan aku seperti biasa akan menjadi pengacau tetap fokusnya. Kami juga banyak menghabiskan masa di ruang tamu ini untuk berbual dan bercerita tentang apa sahaja, dari hal sekecil-kecil gossip jiran sebelah hinggalah ke isu politik dunia.
Seterusnya kami melangkah ke destinasi terakhir dalam rumah ini, iaitu kamar tidur kami berdua. Ruangan ini lah menjadi saksi akan segala urusan hubungan kami. Di sini lah aku akan berada dalam dakapan hangat Akil setiap pagi bagi menghilangkan dingin subuh yang mula membaluti jasad aku. Andai kata kami ada bermasam muka, di sini lah menjadi medan terakhir perbalahan kami kerana Akil tidak akan pernah membenarkan aku untuk lena dalam keadaan marah padanya. Di ruang kecil ini juga menjadi tempat untuk Akil bercerita tentang hari-harinya di tempat kerja atau tentang apa sahaja. Ini lah antara rutin harian kami berdua sebelum-sebelum ini.
Aku menarik nafas dalam. Tersenyum aku seketika apabila teringat segala rutin harian kami. Namun sayu rasanya kerana semua itu tidak mungkin lagi bakal berlaku. Segenap ruang-ruang ini bakal menyepi setelah aku pergi.
Lalu notifikasi telefon pintar aku berbunyi dan satu pesanan dari aplikasi Grab muncul mengingatkan bahawa e-hailing yang dipesan tadi bakal tiba dalam jangka masa 5 minit sahaja lagi di bawah. Lalu jantung aku berdegup laju kerana aku sedar waktu aku bersama Akil tinggal hanya kurang dari 5 minit sahaja lagi sebelum kami berdua mengucapkan selamat tinggal buat selamanya. Air mata aku mengalir deras kembali.
"Dania, jangan nangis", kata Akil sambil menyapu air mata di pipiku ini.
"Akil tahu ini kali terakhir kita bersama, tapi Akil nak Dania tahu walau apa sahaja yang berlaku, Dania merupakan sebahagian kehidupan Akil. Sesiapa sahaja yang muncul dalam kehidupan Akil selepas Dania mesti terima hakikat bahawa Dania ialah sebahagian dari Akil", sambung Akil.
Hati aku sedikit terguris apabila Akil menyebut tentang kehadiran insan lain yang suatu hari nanti bakal muncul dalam hidupnya bagi mengantikan aku. Aku tak sanggup untuk membayangkan suatu hari nanti bakal hadir susuk lain yang hadir menemani Akil dan lakukan apa sahaja yang kami berdua biasa lalui. Namun aku harus menerima kenyataan bahawa itu lah yang sebetulnya. Kami berdua tidak ditakdirkan untuk bersama selamanya.
"Akil, Dania selalu doakan suatu hari nanti Akil akan ditemukan dengan seorang wanita yang bakal menjadi isteri dan ibu yang baik buat anak-anak Akil" aku menarik nafas menahan sebak. "Yang penting Dania harap dia dapat sayang Akil lebih dari Dania mampu sayang Akil", lalu aku menunduk menahan air mata.
Lalu aku mengucup pipi Akil buat kali terakhir. Aku tahu kucupan ini aku bakal paling rindu. Akil yang sedari tadi menggengam tangan aku menguatkan lagi genggaman tangannya seolah-olah tidak mahu melepaskan aku pergi berlalu. Mata Akil akhirnya kelihatan bergenang menahan air mata jantannya dari gugur. Aku tunduk, tidak mampu lagi memandang raut wajah lelaki ini.
"Sayang, boleh tak kita teruskan sahaja hubungan kita ini? Andai kata satu dunia sekalipun menghalang hubungan kita ini kita lawan sahaja!" kata Akil memujuk aku.
"Tidak, Akil. Hakikatnya sudah 8 tahun kita melawan satu dunia ini. Namun satu sahaja yang kita tak mungkin mampu melawan, iaitu fitrah agama kita." Aku cuba menenangkan Akil.
"Kenapa dunia ini tidak adil buat kita? Kenapa hubungan kita tidak halal buat dunia ini? Kenapa Tuhan bagi rasa cinta ini, namun mengharamkan hubungan kita?" Akil seolah-olah mempersoalkan lagi takdir.
"Entah. Mungkin benar, hidup ini tidak adil buat kita atau mungkin saja Tuhan sudah menjadi adil buat kita, cuma adil Tuhan itu bukan hak kita untuk meneka" aku cuba merasionalkan kembali situasi ini.
Lalu notifikasi baru dari aplikasi Grab muncul lagi. Kali ini pesanan ini mengingatkan bahawa kenderaan yang dipesan aku tadi sudahpun tiba. Lalu genggaman tangan Akil aku lerai, tunduk dan memberikan tanda bahawa masanya sudah tiba.
Aku mengundur lalu mengatur langkah meninggalkan Akil perlahan-lahan tanpa menoleh. Akil setia berdiri kaku di situ tanpa bergerak. Aku tahu hatinya betul-betul terluka kali ini, namun ini lah yang seharusnya kita lakukan. Sudah 8 tahun kita bersama dan selama itu juga kita sudah melawan dunia. Namun kali ini kita tunduk mengalah, kerana sedari awal kita sudah tahu hari ini pasti berlaku. Kita berpisah bukan kerana benci, namun kerana kita akur pada agama kita yang mengharamkan hubungan kita ini. Kadangkala timbul rasa cemburu dalam hati aku pada orang-orang di luar sana, alangkah bertuahnya berpeluang mencintai dan dicintai tanpa perlu bersembunyi.
YOU ARE READING
(Cerpen) Suara dari Kota Rahsia
Short StoryKumpulan cerita pendek (cerpen) yang bertemakan kehidupan masyarakat yang jarang kita dengar, namun mereka ada.
