Lily sematkan pin peniti pada lipatan selendang berwarna hitam di kepalanya. Hujung selendang dibiarkan saja jatuh di depan bahu sebab dia malas nak mencari kerongsang di dalam beg sandang yang dia selalu guna untuk pergi ke kelas. Dia sebenarnya jarang memakai selendang kalau nak ke mana-mana – dia lebih selesa memakai tudung bawal saja. Tapi dek sebab hari ini ada jemputan kahwin anak saudara Aunty Mira, dia terus sambar selendang hitam ini.

Dia selalu mengingatkan dirinya sendiri – jangan sesekali memalukan Uncle Said dan Aunty Mira dengan gayanya yang selalu selekeh. Lebih-lebih lagi kalau ada jemputan kahwin macam hari ini. Adat menumpang di rumah orang, haruslah pandai menjaga air muka tuan rumah kan?

"Kak Lily dah siap ke?" tanya Sofea apabila nampak Lily dah pun duduk 'melepak' di tepi kaki katil.

"Dah."

"Alaaa... kenapa siap awal sangat? Kak Lily suka buat orang kelam kabut." Sofea mencebik main-main sambil kelam kabut membetulkan selendangnya di depan cermin.

Lily ketawa. Memang itulah yang akan dikatakan oleh Sofea setiap kali dia bersiap dulu sebelum gadis itu. Kalau bersiap untuk pergi ke kelas pun, itulah 'modal' Sofea untuk membuatkan dia rasa bersalah sebab bersiap awal sangat. "Mana ada akak suka buat Fea kelam kabut? Fea je yang rasa macam tu la."

"Tak apa, lepas ni orang berazam nak siap dulu sebelum Kak Lily. Kalau tak tercapai jugak azam tu tahun ni, orang bawak ke tahun depan."

"Pandai la. Kalau macam tu, sampai bila-bila pun azam tu tak tercapai."

"Kak Lily jangan cakap macam tu. Bagi la semangat kat orang nak capai azam tu."

"Ha, okey. Akak bagi semangat." Lily berkata sambil tergelak-gelak. Dua bulan lebih dia menumpang di rumah ini – atau lebih tepat lagi, di bilik tidur Sofea – dia dah boleh bergurau mesra dengan gadis itu. Lagipun jarak umur mereka berdua tak adalah jauh mana, setakat dua tahun saja. Sebab itu dia senang saja mencipta bonding dengan si bongsu dalam rumah ini.

Cuma... bonding dengan si bujang saja yang dia tak jumpa-jumpa lagi. Walaupun dah dua minggu si bujang yang bernama Affiz atau Achik (nama panggilan lelaki itu di rumah) tinggal di sini, mereka berdua jarang bertembung. Atau mungkin lelaki itu sebenarnya yang mengelak untuk bertembung dengan dia?

Siapa tahu?

**********


"Siapa tu?" tanya Adib sambil menunjuk ke arah meja yang diduduki oleh babah, mama, Sofea, dan Lily. Tak perlu IQ tinggi pun, Affiz boleh tahu siapa sebenarnya gerangan yang ditanya oleh Adib. Takkanlah Adib tak kenal babah, mama, dan Sofea kan? Dah sah-sah sepupunya itu bertanya tentang seorang lagi itu – yang memakai baju kurung berwarna merah gelap.

"Lily." Dia menjawab dengan nada malas. Dia berdiri di sebelah Adib sambil masukkan tangannya ke dalam poket baju Melayu birunya. Sampin yang dipakai tadi dah selamat dicampak ke dalam kereta selepas habis sesi bersanding tadi. Dek sebab dia menjadi pengapit si Adib inilah, dia kena pakai segak-segak – siap berbaju Melayu, bersampin, dan bersongkok. Kalau tak, mahu saja dia datang ke majlis persandingan Adib ini dengan kemeja dan jeans. Senang.

"Okey, nama dia Lily. Dan dia ialah...?" tanya Adib lagi, siap angkat kening.

"Anak kawan babah."

"Hmm... aku rasa macam tak cukup je info kau tu."

Affiz mengeluh. Ikutkan hati, dia malas nak bercerita tentang Lily kepada Adib. Tapi sebab dia tahu yang Adib ini boleh tahan penyibuk juga orangnya, jadi tak ada gunanya pun kalau dia tak bercerita. Terus dia ulang semula apa yang diceritakan oleh mama semasa dia sendiri yang bertanya siapa gerangannya si Lily itu.

Cerpen 2016Where stories live. Discover now