Sepuluh Tahun

2K 53 0
                                    

"Jom masuk."

"Tak apa la, aku tunggu luar je."

"Masuk la, Muz. Singgah kejap, borak-borak dengan abah aku."

Muz menghela nafas. "Okey."

**********


Shifaa menyusun beberapa biji gelas di atas dulang. Dari ruang dapur ini lagi dia dah dengar suara orang berborak di ruang tamu. Mesti Abang Dzul baru saja sampai dengan keluarga barunya – Kak Ara, Ijat, dan si comel Yusoff. Memang kalau diikutkan rancangan, Abang Dzul dengan keluarga barunya akan tidur di rumah abah malam ini. Sebabnya, esok akan diadakan majlis persandingan Abang Dzul dan Kak Ara.

Abang Dzul dengan Kak Ara dah bernikah minggu lepas, di rumah Kak Ara. Jadi minggu ini (a.k.a esok), majlis persandingan akan diadakan di rumah pihak lelaki pula. Abah antara orang yang paling gembira. Yalah, anak sulungnya dah pun berkahwin dan akan bersanding esok. Kali terakhir dia nampak abah gembira macam itu ialah...

... semasa majlis pertunangan anak kedua abah (a.k.a dirinya sendiri) tiga tahun lepas.

Okey, lupakan tentang hal itu.

Shifaa membuka pintu peti sejuk dan keluarkan satu jag besar air Sunquick. Dia meletakkan jag itu di atas dulang, di sebelah gelas yang dia dah susun tadi. Selepas itu, dia meletakkan cucur bilis yang baru digoreng tadi ke dalam bekas sederhana besar. Banyak juga cucur bilis yang dia goreng. Sebabnya, adik bongsunya, si Aboi suka sangat makan cucur bilis yang dibuat sendiri oleh Shifaa. Kalau dia hidangkan sepinggan, belum tentu cukup untuk Aboi seorang.

Semasa Shifaa tengah mencuci tangan di sinki, Abang Dzul masuk ke ruang dapur. Abang Dzul dengan selambanya terus mencapai sebiji cucur dan masukkan ke dalam mulut.

"Pakai tudung." Abang Dzul berkata dengan mulutnya yang penuh.

"Tahu." Sepatah Shifaa menjawab sambil menunjuk pada tudung sarung yang tersangkut di kerusi. Sebelum turun ke dapur tadi, dia dah siap pakai baju lengan panjang dan membawa tudung itu turun sekali. Bukannya dia tak tahu yang Ijat akan datang sekali. Kalau Ijat tak datang, tak adalah dia pakai baju lengan panjang di dalam rumah.

"Bila diorang pasang pelamin tu?" tanya Abang Dzul lagi, sambil tangannya sekali lagi mencapai cucur dari dalam bekas.

"Pagi tadi, dalam pukul sebelas macam tu. Ingat nak suruh abang datang, tengok sekali diorang pasang pelamin tu. Kak Ara cakap abang keluar?"

Abang Dzul tertelan terus cucur yang baru saja dia masukkan ke dalam mulut. "Err... ha, abang keluar tadi. Jumpa member kejap."

Bukannya Shifaa tak perasan yang abangnya macam kalut sikit semasa berkata-kata tadi. Tapi dek sebab dia malas nak menyibuk, dia diamkan saja perkara itu. Dia memakai tudung dan membetulkan tudung itu di depan cermin kabinet dapur. Selepas itu, dia mencapai dulang air untuk dibawa ke ruang tamu. Belum sempat dia nak minta tolong Abang Dzul bawakan bekas berisi cucur bilis, Abang Dzul dah menyampuk dulu.

"Bak sini dulang tu, biar abang yang bawak." Abang Dzul berkata sambil menghulurkan tangan untuk mengambil dulang dari tangan Shifaa.

"Eh, tak payah. Abang tolong bawak cucur tu."

"Tak apa, biar abang bawak dulang air ni. Kau bawak cucur tu."

Shifaa terpinga-pinga. "Sama je la, abang. Dua-dua pun nak kena bawak pergi depan."

"Tak sama. Nanti tumpah pulak air ni kalau kau yang bawak. Dah, bak sini." Abang Dzul terus merampas dulang air dari tangan Shifaa.

Shifaa perhatikan saja Abang Dzul yang dah mula bergerak ke ruang tamu. Pelik pula dia dengan Abang Dzul. Bila masa pula dia pernah tumpahkan air semasa bawa dulang? Dek sebab dia malas nak bergaduh hanya sebab hal sekecil itu, dia terus mencapai bekas berisi cucur dan mengikut langkah Abang Dzul ke ruang tamu. Sambil melambai pada Yusoff yang tengah bermain-main di atas pelamin, Shifaa meletakkan bekas yang dia bawa tadi di atas meja kopi.

Cerpen 2016Where stories live. Discover now