" Indah duduklah.Nanti kita ambilkan."

Tun Indera bangkit menegapkan kakinya seraya menapak pantas ke arah bungkusan di tepi geladak yang berisi buah-buahan sisa makan mereka siang tadi.Dengan kesal,Indah melangkah semula ke arah sisi geladak dan kembali duduk merapatkan belakangnya ke dinding lancang.

Melihat Naufal melingkar kedinginan,Indah sempat hairan bagaimana pemuda yang satu itu dapat melelapkan mata dalam keadaan begitu.Mungkin kerana dia terlalu letih terpekik-pekik ketakutan membuatkan dia pantas tertidur.

Selepas meletakkan bungkusan di hadapan Indah, Tun Indera melangkah pantas ke bahagian belakang lancang tersebut lalu melonggarkan ikatan tali yang merentang tegang menghubungkan tiang layar dengan geladak Raja Segara.

Dipusingkan tiang layar tersebut sedikit ke kanan lalu mengikat tali tersebut kepada cecincin besi yang dipacak ke bahagian kemudi.Tiupan angin subuh yang dingin menolak perut layar dan dapat dirasakan lancang tersebut membelok .

Ketika Tun Indera memusingkan tiang layar  di bahagian kemudi,Aduka sudah bergerak-gerak .Menggeliat sebentar lalu kembali bingkas bangun sambil mengurut-urut bahunya dan daripada gestur begitu,Indah pasti bahu pemuda itu lenguh apabila tertidur dalam keadaan duduk.

Aduka menoleh ke arah kiri  lalu menguap lagi.Menepuk-nepuk bahu Naufal bagi menggerakkan pemuda itu dengan mengatakan bahawa Subuh sebentar lagi akan menjelang.Naufal bingkas bangun ,terpisat-pisat menggosok kedua-dua kelopak matanya dan dalam masa yang sama dia juga menguap beberapa kali.

Bangun dengan berpaut pada tubir lancang,Indah menuju semula ke kabin dan dilihatnya Tun Fatimah sudah terjaga dan sedang mengemaskan tempatnya.Dalam olengan lancang yang dibadai ombak,solat Subuh pagi itu ditunaikan bersama bunyi deburan air dan derakan kain layar yang mengembang ditiup angin.

Merasa tidak nyaman berseorangan di dalam kabin begitu,walaupun dengan ajaibnya mata Indah mulai mengantuk entah mengapa - dia mengekori Tun Fatimah naik ke geladak.

Ketika itu matahari perlahan-lahan muncul dari sebalik garisan di langit Timur menebarkan cahaya keperakan ke segenap penjuru alam.Anjung hadapan Raja Segara berupa jolong tirus nan rapi itu lurus membelah dingin hawa pagi yang masih bersisa.Warna biru kehijauan merajai penglihatan terbentang dari hujung ufuk ke hujung ufuk yang lain.

Tengkolok Naufal tidak lagi membaluti kepalanya dan hal itu adalah hal pertama yang menyapa indera penglihatan Indah.Rambut hitam pemuda itu walaupun pendek tetapi tampak tidak lagi terurus sementara baju luar yang dipakainya sudah berlonggok di tepi tiang seri menyisakan hanya baju tanpa lengan memadani seluar berpotongan tidak isbal  dan kepala pending perak di pinggangnya sementara songket yang diikat menjadi samping itu tersandang senget pada bahu kanannya ke pinggang kiri.

Serta-merta lintasan imej  Jebat derhaka dalam filem purbawara Hang Tuah hinggap sebentar pada susuk Naufal sehingga lambat-lambat menghadirkan senyuman samar pada bingkai bibir Indah.

Siapa menyangka betapa percaturan Tuhan yang bersemayam di langit ke tujuh itu membawa mereka sejauh ini? Beberapa hari yang sudah,nama Naufal pun dia tidak tahu namun lihatlah kini.Mereka sudah berada di dalam perut lunas Raja Segara yang gagah membelah ombak.Membawa mereka berlayar entah ke mana dengan Tun Indera berdiri tegak di haluan perahu sementara Aduka melabuhkan duduknya pada pangkal jolong.

Namun,entah dari mana tiba-tiba sahaja indera pendengaran Indah dipenuhi bunyi gamelan yang sayup-sayup di bawa angin. Ada pula bau Melur yang meringin tajam menusuk hidungnya.Bunyi ketukan gamelan itu berdesir antara bunyi derakan kain layar dan juga deburan ombak membuatkan Indah tertoleh ke kiri dan ke kanan namun tidak semena-mena bertembung dengan tatapan gusar Tun Indera yang tertuju kepadanya.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now