Bukan seperti ikatan biasa tetapi entah bagaimana kain songket hijau bertekat benang keemasan itu dilipat sehingga hujung yang mencecah lutut tampak tidak rata antara satu sama lain tetapi jika diteliti ia sebenarnya membentuk lipatan rumit dan barangkali melihat Naufal terjengket-jengket menilik pakaiannya,Tun Indera sempat menyebutkan satu nama khusus untuk pola ikatan tersebut.Ikatan Anak Raja Lima gerangan namanya.

Akhir sekali kepada ikatan tanjak yang melilit kepalanya dan lengkap berpakaian sedemikian membuatkan Naufal merasakan seperti sang raja sehari yang akan menaiki pelamin.Ikatan Helang Menyonsong Angin dengan puncak tanjak yang dikatakan Tun Indera sebagai Lambai Kasih itu jatuh di sebelah kanan kepala Naufal kerana ia adalah etika khusus untuk rakyat biasa berbeza dengan golongan bangsawan yang mana Lambai Kasih pada tanjak masing-masing terletak di sebelah kiri .

Hari itu,di situ-Naufal mendapat satu lagi ilmu dan pengetahuan yang baru dan sangat asing baginya selama ini .Malahan tidak pernah dia mahu ambil tahu pun sehingga hari itu.Selama ini mana pernah dia mengambil tahu tentang hal-hal begitu.

Lagi pula nama dan istilah pemakaian begitu sangat janggal malahan Naufal tidak malu untuk mengakui bahawa ada sebahagian daripada nama yang disebutkan Tun Indera itu tidak pernah didengarinya sebelum ini.

Lalu hendak disalahkan siapa jika anak-anak muda sebayanya mengalami hal yang serupa? Lupa pada asal-usul dan akar umbi budaya sendiri.Malahan tidak pernah tahu keindahan falsafah yang dibawa dalam kehidupan seharian masyarakat dahulu kala.

Wajar sahajalah jika bangsa Melayu dahulu pernah menjadi salah satu bangsa yang tercatat dalam lipatan sejarah dengan segala kemegahannya.Rupanya,segala hal seharian daripada perkataan sehingga kepada tatacara berpakaian memiliki maksud dan perlambangan yang tersendiri.

Mungkin benar apa permaknaan sederet perkataan yang pernah didengar Naufal sebelum ini bahawa Melayu sangat mudah lupa.

Alahai bangsaku Bani Melayu !

"Kepercayaan terhadap kemuliaan pakaian telah menjadi rahsia kehebatan orang Melayu sejak dari dahulu lagi.Ia bukan sekadar pakaian tetapi memiliki rahsia dan falsafahnya yang tersendiri "

Penghulu Paduka Haji menepuk-nepuk bahu Naufal yang telah lengkap berpakaian dan seperti kata Aduka,Naufal memang tampak berbeza dalam persalinan begitu malahan sebenarnya jika dilihat dengan teliti,dia mirip sekali dengan moyangnya Imam Muhammad .

" Mohon maaf diatas ketidakwajaran sikap saya sebelum ini,ayahnda."Naufal tunduk mengetap gigi.

" Justeru ayahndalah yang perlu meminta maaf kerana melibatkan Naufal dalam keadaan begini."

"Jika segalanya sudah rapi,bersegeralah sebelum matahari menjelang tinggi."

Tun Indera yang berdiri tegak dengan kedua-dua tangannya berada di belakang tubuh segera bersuara setelah berdehem perlahan.Mereka perlu bersegera untuk memulakan perlayaran ke Laut Selatan bagi menemui seseorang.

Bukan dia tidak senang dengan perubahan yang dilihatnya pada anak muda bernama Naufal itu tetapi ada hal lain yang perlu mereka lakukan.Dia sedar banyak hal pasti akan berlaku kepada mereka namun mereka tetap tidak mempunyai pilihan lain.

Dengan keberadaan Indah juga Naufal bersama,segalanya tidak akan menjadi mudah bagi mereka.Jika hanya dia dan Aduka sahaja,tidak menjadi masalah bagi mereka berdua untuk sampai ke tempat tujuan-dengan izin Sang Penguasa Langit tentunya namun tetap sahaja wujud kedua-dua mereka yakni Indah dan Naufal itu sangat berbeza daripadanya malahan ada peraturan alam yang perlu dipatuhi.

Kedatangan Indah dan Naufal sahaja sudah cukup menggemparkan seluruh permukiman bahkan khabar tersebut menular dengan kecepatan angin ke desa-desa yang berhampiran.Sebenarnya sesiapa juga pasti akan tertanya-tanya.Kedatangan Indah dan Naufal dari alam sebelah sepertinya bukan sesuatu yang biasa terjadi walaupun bukan tidak pernah .Hanya sahaja sangat jarang berlaku.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now