Dedaun Hijau Di Angin Lalu - Bab 7

9.4K 13 0
                                    

BEBERAPA minit kemudian, ruang tengah

rumah Pak Leman masih terang benderang walaupun

malam telah merangkak agak jauh. Jam dinding telah

menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Beberapa

orang lelaki duduk bersila di atas tikar panjang yang

telah dibentangkan.

Di satu sudut ruang itu duduk seorang lelaki,

berkopiah putih dan kain serba putih berlilit di leher

menunjukkan kewarakannya sebagai seorang haji.

Usianya lebih kurang dalam pertengahan 50-an. Dia

ialah pak imam kampung, Haji Hasyim Khairullah

namanya. Duduk pula bersama-samanya di ruang itu

ialah beberapa orang lelaki, termasuk beberapa orang

lelaki yang telah ke pantai bersama-sama Pak Leman

tadi.

Assad dan ketiga-tiga rakannya duduk di

sudut yang bertentangan dengan mereka. Pemuda

tampan, tinggi dan tegap itu masih mendiamkan diri

dengan wajah dan fikiran yang kejang. Matanya begitu

liar memandang seorang demi seorang lelaki yang

duduk bersetentang dengannya. Hatinya sungguh

marah dan geram. Tingkahnya seakan sedang mencari

siapakah akan menjadi lawannya yang pertama dalam

pertarungan pencak silat di tengah gelanggang.

Ketiga-tiga rakan Assad, yang sejak tadi masih

terpinga-pinga apabila dikejutkan daripada tidur yang

enak, merenung ke arah temannya itu dengan dahi yang

berkerut. Lebih terpegun lagi apabila yang mengejutkan

mereka ialah dua orang lelaki yang tidak dikenali. Lebih

menjadi tanda tanya, kedua-dua lelaki itu menyuruh

mereka bersiap untuk mengikuti mereka. Sedang

mereka pula, tanpa membantah sepatah pun, menurut

sahaja kemahuan orang-orang itu.

Seorang daripada teman Assad mendekatinya

dan berbisik.

"Apa semua ni, As? Kenapa kita dibawa ke sini?

Kita nak dibicarakan? Tapi apa salah kita?" Mazlan

temannya itu, berambut ketak-ketak dan bertubuh

sederhana dengan misai tipis melintang di atas bibir.

Riak wajah terpisat-pisat jelas di raut wajahnya.

"Yalah, As," sampuk Bahrain pula, temannya

yang seorang lagi. "Dan kenapa pula ada tok haji?"

Pemuda yang berkulit cerah, rambutnya lurus disisir ke

belakang dan sedikit kurus itu terpinga-pinga pula.

"Kami harap, kau tak buat sesuatu yang tak

baik," tegur pula rakan Assad yang bernama Suratman,

Dedaun Hijau Di Angin Lalu-Manaf HamzahWhere stories live. Discover now