Dedaun Hijau Di Angin Lalu - Bab 5

542 1 0
                                    

SEORANG pemuda keluar dari khemah yang

dikongsi dengan tiga orang rakannya. Rakan-rakannya

telah pun lelap dan mungkin sedang diulit mimpi

masing-masing. Mereka terlalu letih akibat banyak

berjalan dan meneroka pulau itu siang tadi. Sebenarnya

pemuda-pemuda ini sedang memenuhi satu jadual

perkhemahan di pulau itu. Jadual mereka ialah selama

tiga hari.

Khemah mereka didirikan di tepi pantai, di

sebelah utara pulau itu. Tempat yang sesuai dan elok

dan selalu menjadi tumpuan belia-belia dari tanah

besar Singapura untuk berkhemah. Kini telah dua hari

pemuda-pemuda ini berkhemah dan jangkanya esok

tengah hari mereka akan kembali ke tanah besar.

Pemuda itu berdiri di satu tempat tinggi sambil

mengenakan jaketnya untuk mengurangkan rasa dingin

yang menikam sampai ke tulang hitam. Hujung lengan

jaket diselak sedikit untuk melihat jam tangannya.

Sudah pukul 11 malam.

Dia mengeluh perlahan, tetapi segera tersenyum

sambil menyeluk kedua-dua tangannya ke dalam saku

seluar. Kemudian, langkah diatur ke arah unggun api

yang masih bernyala di hadapan khemah.

Malam ini gilirannya mengawal khemah hingga

ke pukul 1. Tunggul pohon kelapa yang telah tumbang

di hadapan unggun api menjadi tempat duduknya.

Direnungnya ke arah api yang sedang memakan

ranting-ranting kayu. Beberapa batang ranting ditambah

ke atas api itu untuk menyemarakkannya lagi supaya

dapat memberi kehangatan yang lebih selesa.

Bosan duduk di hadapan unggun api, pemuda itu

bangkit sambil membuat sedikit senaman meregangkan

ketegangan otot-ototnya. Dia kembali membawa

langkah hingga ke gigi pantai. Nafas ditarik dalam.

Mendongak ke langit dan menghirup udara yang segar.

Selepas itu dia menyusuri pula pantai dengan

langkah yang lambat. Membiarkan kakinya yang hanya

beralaskan selipar dibasahi air laut. Malam itu sungguh

indah baginya. Suasana begini sesungguhnya begitu

romantik. Langit yang dihiasi bulan dan kerdipan

bintang-bintang, tidak perlu membawa sebarang lampu

suluh. Lagipun dia tidaklah berhasrat pergi jauh sangat.

Pada mulanya, dia telah menolak. Agak berat

mengikuti ajakan rakan-rakannya untuk berkhemah di

pulau ini. Rakan-rakannya itu adalah teman sekuliah

dan walaupun masing-masing telah memegang jawatan

tinggi, namun perhubungan mereka masih rapat malah

Dedaun Hijau Di Angin Lalu-Manaf HamzahWhere stories live. Discover now