Hal itu tidak pernah diceritakan kepada Ziddan. Yang tahu kisah itu adalah almarhum nenda, orang tuanya dan dua kawannya iaitu Tajul dan Iskandar. Dan dia sangat berharap, Tajul dan Iskandar tidak mendedahkan kejadian itu kepada sesiapa kerana dia sudah memberi amaran kepada mereka.

Sebelum nendanya meninggal, nendanya sudah berpesan agar dia mencari Eisya dan jadikan gadis itu sebagai permaisuri hidupnya. Bagi Zarief, pesanan itu adalah sebagai satu amanat yang mesti ditunaikan.

Saat ini, wajah polos gadis itu terbayang di ingatannya. Zarief ingin sekali menemui gadis itu. Dia ingin memohon maaf atas apa yang berlaku. Dan dia tak akan jemu mengungkapkan kata maaf untuk gadis itu sehingga dia dimaafkan atas apa yang telah berlaku dua tahun yang lalu biar pun kesalahan itu bukan berpunca daripada dia tapi daripada Tajul dan Iskandar.

Namun, dia tetap rasa bersalah. Kerana dia, gadis itu menjadi mangsa. Dia tahu kerana kejadian hari itu juga, Eisya dan Mak Biah telah berpindah dari situ. Sampai detik ini, adakah gadis itu sudah melupakannya atau pun tidak?

"Hmm... jauh kau termenung. Teringatkan girlfriend mana pula ni?" usik Ziddan bila melihat Zarief mengelamun jauh.

"Tak adalah. Aku mana ada special girlfriend. Kau pun tahu kan aku tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan. Mereka yang mendekati aku, aku cuma anggap sebagai kawan dan kenalan. Tak lebih daripada itu," ujar Zarief.

"Habis tu? Kau tak nak cari special girlfriend? Orang macam kau ni Rief, tak susah nak dapat. Petik saja jari, berduyun-duyun yang datang."

Ziddan tetap mengusik.

"Aku tak nak petik jari sebab yang datang tu pastinya tak ikhlas," komen Zarief dengan wajah serius.

"Jadi, kau nak ukur keikhlasan tu macam mana? Pakai inci, meter, atau kilometer?" tambah Ziddan lagi.

Masih dalam mood mengusik kawannya.

"Aku pakai ni."

Zarief terus tayang penumbuk membuatkan Ziddan melambak tawa.

"Okey, kita tutup cerita pasal aku. Kita buka cerita pasal kau. Cerita pasal kau tadi belum habis lagi," tutur Zarief membuatkan Ziddan senyum segaris.

"Hmm, tak ada yang menarik pun untuk aku ceritakan."

Ziddan berdalih seolah-olah seperti menyembunyi sesuatu.

"Ya ke? Macam tak percaya saja. Tengok lubang hidung kau pun, aku tahu yang sekarang ni kau sedang tipu aku."

Secara spontan, Ziddan menyentuh hidungnya, sekali gus mencari lubang hidungnya. Zarief yang melihat melepas tawa.

"Kau tak payah nak kelentong akulah. Kau mengaku saja yang kau sekarang ni sedang dilamun cinta," ujar Zarief lagi dengan niat menyakat Ziddan.

"Muka aku ni macam muka orang sedang dilamun cinta ya?"

Ziddan ulang balik kata-kata Zarief sambil menyentuh wajahnya. Agaknya dia sedang mencari keceriaan di wajahnya.

Zarief mengangkat keningnya sebelum kembali mengukir senyum. Lawak pula dengan tindak balas Ziddan.

"Alah, tak payah nak sembunyikan daripada aku. Kita kan dah lama berkawan. Sejak kecil. Takkanlah benda macam ni kau tak nak kongsi dengan aku? Siapa gadis tu?" gesa Zarief.

Tetap ingin tahu kerana selama ini tak pernah pula dia dengar Ziddan mempunyai teman wanita.

"Erm..." Ziddan mula menggaru kepala. Macam serba salah untuk menyatakannya.

"Macam mana nak cakap ya," sambung Ziddan lagi membuatkan Zarief terus memandang hairan wajahnya.

"Aku kenal ke gadis itu?" ujar Zarief.

Manalah tahu kalau gadis pilihan Ziddan itu salah seorang daripada kenalan mereka.

"Rasanya tak kut sebab aku pun baru saja kenal dia. Tapi..."

Ziddan tetap pamer muka serba salah.

"Ada tapi pula. Apa kena dengan kau ni? Orang lain pun bercinta juga, tapi tak adalah susah nak cakap."

Zarief kembali gelak. Memang lawak betul muka Ziddan. Agaknya ini rupanya orang yang tak pernah dilamun cinta.

"Seronok kau mengata aku. Kau sendiri pernah dilamun cinta ke?"

Kali ini Ziddan cuba mengalih perhatian kepada Zarief pula.

"Ya, pernah."

Dengan penuh yakin Zarief memberi jawapan membuatkan Ziddan terdiam.

"Kau tak pernah beritahu aku pun yang kau pernah jatuh cinta."

Ziddan melahirkan rasa terkilan kerana dia tak pernah kenal siapakah gadis yang berjaya mencuri hati Zarief.

"Tapi sayang, cinta itu tak sempat berputik," ujar Zarief dengan nada pasrah.

"Jadi, kau kecewalah ya?" Ziddan terus menyoal.

Zarief terdiam.

"Hmm... simpati pula aku dengan kau." Ziddan mengeluh perlahan.

"Tapi, bila masa kau jatuh cinta? Aku tak pernah dengar pun. Musykil pula."

"Dah, tak payah nak cakap pasal aku. Kita tadi tengah cakap pasal kau."

Zarief tidak mahu membicarakannya lagi. Itu akan membuatkan dia teringat kembali pada si dia.

Memang Zarief ingin tahu di mana gadis itu berada sekarang. Dia benar-benar berharap, satu hari nanti dia akan menemui gadis itu. Dan harap-harap peluang untuk dia bersama gadis itu masih ada.

"Nantilah, sampai masanya aku akan kenalkan dia dengan kau. Buat masa sekarang, aku tak pasti lagi," tutur Ziddan dengan nada lemah.

"Tak pasti lagi? Kau ni biar betul."

Zarief sudah boleh ketawa.

"Yang sebenarnya... orang tu tak tahu pun aku sukakan dia."

Ziddan mula tersengih malu.

"Hah, macam tu pula. Apalah kau ni."

Mulut Zarief melopong bulat.

"Kalau aku nak gelak kuat-kuat, boleh tak?"

Kali ini Zarief benar-benar melambak tawa membuatkan wajah Ziddan mula cemberut. Bengang betul bila dia diketawakan sesuka hati. Malunya!

"Dah, tak payah nak gelakkan aku."

Ziddan tetap pamer muka masam mencuka.

"Dah kau buat lawak, aku gelaklah." Zarief bersuara dalam tawa.

"Kalau terkena kat batang hidung kau, baru kau tahu," tempelak Ziddan menahan sabar.

"Okey. Aku minta maaf sebab gelakkan kau. Aku faham perasaan kau."

Akhirnya Zarief kembali bersikap tenang. Wajahnya kembali serius. Kata-kata Ziddan itu membuatkan hatinya menjadi resah.

PALING AKU CINTAWhere stories live. Discover now