BAB 10

1K 14 0
                                    

ZARIEF menyuap roti canai ke dalam mulutnya. Sudah lama dia tak merasa roti canai sesedap ini. Ziddan yang berada di hadapannya juga nampak begitu berselera menghabiskan dua biji roti canai telur.

"Sedap. Lain kali kita datang makan lagi kat tempat ni ya." Zarief memberi usul.

"Kan hari itu aku dah cakap yang roti canai mamak kat sini sedap. Sekali kau merasa, memang nak cuba berkali-kali."

Ziddan melepas gelak. Dia pun seronok melihat Zarief berselera makan. Dia teringat akan pesanan Datin Maria supaya tengok-tengokkan Zarief kerana sejak ketiadaan nendanya, Zarief seperti hilang selera makan. Hilang nikmat untuk hidup.

Zarief meneguk teh tarik yang masih berasap. Memang sedap dan rasa penuh nikmat.

"Kau apa cerita sekarang?"

Zarief mengubah topik selepas menyandar badannya di kerusi. Matanya tepat memandang wajah Ziddan yang sudah berubah riak. Nampak begitu ceria.

"Aku?" Ziddan menuding jari ke dadanya sambil mengukir senyum.

"Ya, kaulah. Bila nak kahwin?" aju Zarief membuat Ziddan terus tersedak.

Kalut Ziddan mencapai air putih yang ada di sebelah.

Melihat betapa kalutnya reaksi Ziddan, terus Zarief melepas tawa. Ziddan melurut dadanya yang terasa perit.

"Weh, apasal teruk sangat tindak balas kau ni?"

Mata Zarief tepat memandang wajah kawannya itu.

"Kaulah punya pasal." Ziddan menarik muka masam.

"Aku? Kau salahkan aku? Kenapa? Apa yang aku dah buat?" Zarief terpinga-pinga.

"Yalah. Tiba-tiba kau tanya aku soalan maut. Apa hal?"

Ziddan masih lagi berwajah cemberut.

Sekali lagi Zarief melepas tawa. Makin kuat pula dia ketawa. Macamlah kata-kata Ziddan itu kelakar.

"Tanya macam tu pun kira soalan maut. Dahsyat. Tak sangka, tanya soalan macam tu pun boleh bawa maut. Kalau ya, kaulah orang pertama yang akan masuk kubur sebab soalan tu."

Zarief tetap dengan gelaknya.

"Kau ni kan."

Ziddan menarik nafas seketika. Namun, kemarahannya terus reda melihat wajah ceria Zarief.

"Kau dah boleh ketawa sekarang. Itu terapi yang cukup baik. Sejak nenda kau tak ada, kau asyik monyok saja. Ini kali pertama aku dengar kau gelak dalam masa tiga bulan ni."

Zarief mengukir senyum.

"Ya. Aku sedar aku sudah banyak susahkan hati orang lain, terutama mummy aku. Kesian dia."

Zarief sandar badannya di kerusi sambil menarik nafas.

"Mulai sekarang, aku nak kau kembalikan Zarief yang dulu. Zarief yang sentiasa ceria, yang nakal, yang sentiasa berusaha untuk dapat apa yang dia nak. Itulah Zarief yang aku kenal sejak kecil," ujar Ziddan membuatkan Zarief mengukir senyum.

"Ya, aku akan kembalikan Zarief yang dulu. Tapi, Zarief yang akan wujud sekarang, bukan Zarief yang nakal lagi. Aku dah matang sekarang dan aku masih berusaha nak dapatkan apa yang aku nak," balas Zarief.

"Aku tak kisah kalau kau nak terus bersikap nakal, tapi biarlah nakal yang bertempat. Sebab setahu aku, senakal-nakal kau dulu, kau tak pernah aniaya mana-mana perempuan, kan?"

Mata Ziddan tepat memandang wajah Zarief membuatkan Zarief segera menelan liur. Kata-kata itu mengingatkan dia pada kejadian dua tahun lepas.

Ya, kejadian itu akan diingatinya sampai bila-bila.

PALING AKU CINTAWhere stories live. Discover now