1

29 0 0
                                    

BALIK. ABAH NAZAK!

Whatsapp ringkas itu menggegarkan jantungku. Tanpa berfikir panjang, aku terus bersiap dan bergerak pulang ke kampung. Perjalananku bertemankan sunyi. Sengaja aku mematikan radio kerana aku ingin menyendiri. Hatiku terlalu berkecamuk hatta alunan bacaan al-Quran pun tidak mampu menenangkan perasaanku ketika itu.

Sebelum sampai di plaza tol untuk keluar dari lebuh raya, telefon pintarku berdering. Aku jawab dengan menekan loud speaker.

"Along, kamu ada kat mana?" Suara Norman, adik kedua bongsuku memecah suasana. Dia yang paling rapat denganku. Suara anak dan isterinya dapat aku dengar pada latar belakang.

"Dekat dah. Abah macam mana?"

"Tak tahu. Aku baru je sampai kampung. Belum sampai rumah lagi. Call deme pun deme tak angkat." Ada sedikit kekesalan dalam nada suara Norman.

"Aku call tadi pun takde siapa angkat." Terlepas keluhan dari mulutku. "Telefon rumah rosak lagi kut. Kadang telefon tu rosak." Aku cuba menyedapkan hati kami dua beradik.

"Telefon rumah tu memang le selalu rosak. Tapi takkan handphone deme pun rosak jugak?" balas Norman, keras. Dia marahkan orang lain tetapi aku yang disemburnya.

"Takde line kut kat sana." Aku ketawa hambar. Tetap cuba positif.

"Takkan semua line tak masuk!"

"Entah le, Man. Tak tahu aku nak cakap macam mana."

Serentak, telefon bimbitku menyiarkan panggilan azan. Maghrib sudah tiba.

"Kejap, Man. Azan," kataku.

Kami mengunci mulut tanda hormat sehingga laungan azan maghrib tamat.

"Yang lain-lain dah sampai ke?" Aku menyambung semula perbualan.

"Dah. Ijam kata deme dah lama dah sampainya."

Norman memang rapat dengan Ijam, anak jiran abah. Dahulu Ijam duduk di bandar. Sejak berpindah balik ke kampung, Ijam rajin menolong abah dan mamaku. Selalu jugalah Ijam menyalurkan maklumat tentang mama dan abah, jika dia membawa mereka ke hospital atau ke mana-mana.

"Kejap lagi aku sampai. Apa-apa kamu update le." Aku matikan panggilan.

Tengok jam, aku menggeleng. Mukaku cemas. Dianggarkan dalam masa setengah jam lagi baru aku akan sampai ke kampung halaman. Dalam situasi aku, setengah jam sangat panjang. Macam-macam boleh terjadi dalam masa setengah jam. Abah sedang nazak. Sempatkah aku berjumpa dengannya sebelum dia dipanggil menghadap Ilahi? Sempatkah aku meminta ampun dan maaf sebab aku ini seorang anak yang sangat berdosa pada abahnya. Banyak perbuatan dan kata-kataku yang telah mengoyakkan hati serta perasaan abah.

Tetapi apabila aku sampai, aku lihat abah sedang tidur. Tanpa berbaju, hanya memakai kain pelikat yang dibiar lepas pada bahagian pinggangnya, menampakkan sedikit bahagian atas lampin pakai buang yang disarungkan. Air muka abah tenang, tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa sebentar tadi dia berhadapan dengan sakaratulmaut. Rumah pun tidak dipenuhi sanak saudara atau jiran tetangga. Hanya ada kami anak-beranak sahaja.

Aku terpinga-pinga. Tidak faham. Marah pun sama sebab berasa dipermainkan, lebih-lebih lagi yang dipermainkan itu nyawa abah tercinta.

Sedang aku termangu-mangu, kebetulan Zaimah, adik bongsuku yang menghantar Whatsapp tadi keluar dari bilik tidur hadapan dengan menggendong anak bongsunya yang baru selesai dimandikan. Terus aku mendapatkan Zaimah.

"Mah, apa ni? Kata abah nazak," kataku dengan suara yang sangat perlahan, menuntut jawapan. Ingat kelakarkah buat cerita abah nazak?

Tetapi semua adik-beradikku balik dengan keluarga masing-masing, menyebabkan kekeliruanku berganda-ganda. Takkanlah mereka semua sanggup balik pada hari bekerja jika berita yang diterima itu tidak benar. Cucu-cucu abah ramai yang sudah bersekolah.

ABAHWhere stories live. Discover now