We've updated our Content Guidelines.
Review the latest guidelines to keep sharing stories safely.

Prolog

187 20 0
                                        

Derap kaki kuda bergema memecah sunyi pekarangan istana. Belum sempat tunggangannya berhenti sepenuhnya, Faleq sudah melompat turun. Rahangnya terkatup rapat, wajahnya merah padam menahan gelora di dada sebaik sahaja perkhabaran genting daripada pengawalnya tiba sebentar tadi.

Tanpa menghiraukan mata - mata yang memandang, dia berlari sekuat hati menuju ke medan hukuman.

Dada Faleq berombak kencang. Setiap langkah dirasakan begitu berat bagaikan bumi menahan kakinya daripada terus mara. Tiba - tiba, telinganya menangkap sayup - sayup teriakan dan tangisan seorang wanita dari arah gelanggang utama.

Langkah Faleq terhenti seketika.

Jantungnya berdegup kencang bagai mahu pecah. Dia cam suara itu. Itu bukan suara isterinya. Itu suara Ratna.

Dengan sisa tenaga yang ada, Faleq merempuh masuk ke perkarangan medan hukuman. Sebaik sahaja melangkah masuk, pemandangan di hadapannya seakan meragut seluruh nyawanya.

Di atas singgahsana persada hukuman, kelihatan Raja Fateh dan Permaisuri Khadijah bersemayam dengan wajah dingin tanpa sebarang riak.

Namun, pandangan Faleq tidak bertahan lama di situ. Langkahnya serta - merta menjadi lemah, longlai menahan lutut yang mahu tersembah ke tanah.

Di tengah - tengah medan, Ratna sedang melutut, menangis teresak - esak dengan kepalanya menunduk rapat ke tanah. Tangannya mengeletar, meratapi apa yang ada di hadapannya.

Dan tepat di hadapan Ratna...

...terbaring sekujur tubuh di atas tanah kotor tanpa sebarang alas.

Darah Faleq terasa hilang. Jantungnya berdegup kencang, menolak kenyataan pahit yang kini terlayar di depan mata.

Wajah itu...

wajah yang sentiasa menjadi penawarnya, kini pucat lesi bagaikan tiada titisan darah yang tinggal. Bibirnya yang selalunya mengukir senyuman manis, kini putih memucat dan kaku. Matanya terpejam rapat, seolah - olah sedang tidur dalam lena yang sangat panjang.

Dunia Faleq terasa kabur. Suara bisikan orang sekeliling terus hilang, digantikan dengan bunyi dengungan halus di dalam kepalanya. Dengan langkah yang terhuyung - hayang , Faleq mendekati tubuh itu.

Sebaik sahaja tiba di hadapan jasad tersebut, seluruh kekuatannya runtuh. Badannya terus rebah ke tanah.

"Tak... tak mungkin..." bisiknya perlahan, suara bergetar hebat.

Dengan tangan yang menggeletar, Faleq menarik tubuh dingin itu ke dalam pangkuannya. Dipeluknya jasad itu seerat - eratnya, mahu menyalurkan kehangatan nadinya sendiri. Namun, apabila dia cuba meraih jemari wanita itu, tangan yang selalunya hangat menyambut pelukannya kini terkulai lemah di sisi tanah, kaku dan tanpa sebarang respon.

Serta-merta, pertahanan terakhir Faleq pecah. Dada lelaki itu berombak hebat sebelum satu raungan yang amat derita terhambur keluar dari kerongkongnya.

"Sayang!"

Raungan Faleq bergema di segenap pelosok medan hukuman yang cengkerama itu, memecah langit yang kian menggelap.

The Crown PrinceStories to obsess over. Discover now