" Apa kelebihan yang kau ada sehingga membuatkan si jahanam Penghulu Paduka Haji itu berfikir kalian adalah orang yang layak untuk menghalang aku? "

Susuk tubuh tanpa bingkai wajah yang jelas itu tertawa nyaring sekali lagi dan memaksa Naufal mengetap giginya kerana suara itu kedengaran tajam dan membuatkan giginya ngilu.

" Wwwaallalauu apphha sajjaaa uurusaaan kkkalian, aaakhuuu tiddak mmahu mmasuk cammppurrr"

Naufal menjawab dengan bibir yang menggeletar.

" Jawapan yang salah!! "

Tempik susuk tubuh tersebut dan dengan hanya satu kibasan tangan, Naufal melayang tinggi lalu mendarat pada belakangnya. Terlentang di atas pemukaan jalanraya bersama rasa sakit pada belakang dan hadapan dadanya bagaikan tubuhnya baru sahaja dirempuh oleh beberapa ekor kerbau jantan yang tidak kelihatan.

Sambil menghela nafasnya yang singkat, Naufal mengengsot menjauhi batang tubuh tersebut walaupun rusuk kirinya sakit sekali setiap kali dia cuba untuk bergerak. Tulang dan sendinya seperti terpisah antara satu sama lain. Cairan suam dan berbau hamis mulai meleleh dari sudut bibir Naufal sementara pandangannya mulai berpinar-pinar.

" Arrkkhhhhhghhhh.. "

Suara pemuda itu tersangkut di kerongkong dan sepasang kaki serta tangannya hanya mampu menguis-nguis lemah apabila tangan kanan susuk tubuh tersebut sudah hinggap ke leher Naufal. Entah bagaimana dia sudah berada di sebelah Naufal,separa melutut dan memerhatikan wajah pemuda itu dengan tatapan meremehkan.

Bingkai wajah tanpa raut yang jelas itu mencengkam leher Naufal tanpa kasihan sambil menyeringai sinis. Melihat wajah Naufal sudah bertukar pucat kebiruan, cengkaman tangannya dilonggarkan lagi dan pemuda itu kembali tercungap-cungap menyedut udara dengan air liur bercampur darah meleleh setiap kali dia terbatuk.

Dengan sisa tenaga terakhir, Naufal mencengkam pergelangan tangan susuk tubuh misteri itu bagi meleraikan jari-jemari tajamnya daripada terus meliliti leher namun segala-galanya menjadi sia-sia kerana cengkaman itu sama sekali tidak kunjung longgar.

Malahan dengan seringai aneh, Naufal merasakan pipinya ditoreh dengan sesuatu yang sejuk tapi tajam. Dalam pandangan yang semakin mengabur, Naufal melihat ada hujung jari berkuku tajam mencolek darah yang mengalir pada pipi kirinya lalu dibawa ke mulut. Merasa darah segar Naufal yang meleleh dari luka yang sangat baru lalu menyungging senyum puas.

" Manis.. "

Bisiknya ke cuping telinga pemuda itu yang sudah hampir hilang nafas.Terlentang dengan sekujur tubuh yang luka dan berdarah di sana-sini.

Namun tatkala dia mahu menghabiskan riwayat pemuda itu, satu bau yang amat dikenalinya tiba-tiba muncul bersama rempuhan angin hangat yang membuatkan dia tercampak meniarap beberapa meter daripada Naufal.

Bersama makian kesat, dia bingkas bangun lalu menoleh.

Nun di hadapannya ketika itu berdiri satu susuk tubuh dalam pakaian longgar berwarna hitam sementara sehelai kain hijau melilit dahinya. Udara malam mendadak terasa panas dan bulan yang menyorok di sebalik awan itu muncul semula.Lolongan anjing serta suara burung hantu yang sahut-menyahut senyap mendadak.

Dengan mata yang mengernyit bingung, tubuh berselubung itu kembali menegakkan diri lalu menyeluruhi penampilan pemuda di hadapannya ketika itu.

" Sejahtera ke atas kamu, wahai Mumbala."

Mumbala, susuk tubuh berselubung hitam dengan bingkai wajah tidak jelas itu meludah penuh kebencian.

" Tun Indera."mata kemerahan Mumbala menyepet benci "Jangan berani-berani mencampuri
urusanku! "

" Tuan sudah terlalu jauh tersasar wahai saudaraku. Allah itu Maha Pengampun dan akan menerima taubat selagi mana matahari belum terbit dari Barat "

Mumbala tertawa kering. Kata-kata daripada pemuda itu langsung tidak diendahkannya malahan peringatan itu dibalas dengan kata cacian.

" Pergi sebelum aku menamatkan riwayat mu wahai anak tikus! "

" Tiada daya upaya dan kekuatan kita sesama makhluk tanpa keizinan daripada Allah SWT, Mumbala.Berhentilah membuat kerosakan seperti ini. Sesungguhnya Allah SWT benci kepada mereka yang suka berbuat kerosakan. "

Mumbala menyeringai tidak perduli lalu tanpa berkata apa-apa, dia melompat tinggi dan hanya sekelipan mata dia sudah berada di hadapan pemuda tersebut.

Tun Indera memusingkan tubuhnya sedikit dengan membawa bahu kirinya ke hadapan sementara kaki kanannya dibuka selebar bahu ke arah belakang sambil tangan kanannya menepis juluran sepantas kilat tangan Mumbala ke arah wajahnya itu.

Dengan satu tumbukan tangan kiri yang disertakan dengan ungkapan mengagungkan Tuhan Penguasa Langit dan Bumi serta segala apa yang berada didalamnya, Indera menyauk kaki kanannya ke arah kaki Mumbala yang terbuka lebar dan sepantas itu jugalah susuk tubuh Mumbala terhempas ke permukaan tanah.

Kuda-kuda segera ditegapkan sambil sepasang matanya menyorot tajam. Membaca setiap gerakan Mumbala yang nyata sedikit terkejut dengan kepantasannya mengelak serangan tiba-tiba begitu hanya dengan satu tepisan dan diakhiri tumbukan padu pada perut lalu berjaya membuatkan tubuhnya terlentang kasar.

Mumbala menatap tajam wajah pemuda itu. Hairan kerana buah pukulan yang berjaya menepis serangannya itu amat dikenali.Langkah serta bunga kuda-kuda dipamerkan Tun Indera tidak lain adalah antara bunga dan jurus daripada kumpulan Perguruan Tariqqah Darul Raudah.Buah dan langkah persilatan yang....

Mustahil!

Tidak mungkin!!

Apa mungkin Tun Indera adalah....

Mumbala berdiri terhuyung-hayang apabila merasakan tanah di bawah tapak kakinya sedikit bergegar dan puncak-puncak pohon di sekitar tempat tersebut mendadak meliang-liuk ditiup angin yang berhembus kasar entah dari mana membuatkan dia meligas ke kiri dan ke kanan. Hairan. Terperanjat dengan suasana sekitar yang berubah tiba-tiba.

" Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.."

Sayup-sayup telinga Mumbala menangkap kumat-kamit ulas bibir Indera membacakan sesuatu dan ketika itu jugalah Mumbala merasakan ada haba panas yang meruap mengelilinginya.

" Jahanam!! "

Tempik Mumbala dengan sekujur tubuh seperti dilempar bara dan dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan melarikan diri dari situ apabila tiba-tiba sahaja satu susuk tubuh separuh usia yang mengenakan jubah dan kopiah putih muncul dari sebalik pohon. Sehelai kain hijau terselempang kemas pada bahu kanannya manakala pada pergelangan tangan kanannya seutas tasbih melingkar kemas. Raut wajah lelaki itu tenang sekali tetapi tatapan matanya tajam dan tidak menyiratkan rasa ragu-ragu.

" Indera.."

" Ayahnda.. "

Sepantas kilat Tun Indera menoleh ke belakang apabila kedengaran suara ayahnya mengungkapkan namanya.Dan dalam masa yang sama juga sepasang jalur cahaya yang berpunca daripada sebuah kenderaan menyorot dari hadapan lalu berhenti tepat di sebelah Indera. Pintu kereta ditolak tergesa-gesa menyerlahkan wajah pucat Tuan Sallehuddin.

Tanpa mengatakan apa-apa,tubuh longlai Naufal segera diangkat ke dalam perut kenderaan tersebut meninggalkan Indera yang tegak di sebelah sang ayah yang menoleh untuk ke sekian kali ke arah bayang-bayang sebatang pohon di mana susuk tubuh berselubung itu lenyap begitu sahaja seperti asap dalam kegelapan malam.

" Dia? "

" Sangat pasti, ayahnda.Memang dia! "

+ + +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now